suria

Mula gali kubur sejak umur 12 tahun, pemuda usia 22 tahun tak terfikir cari kerja lain - “Saya minat urus jenazah”

Ramai netizen memberikan pujian kepada Amir atas usaha murninya menjalankan tugas sebagai pemandu van jezahah.

USAHA murni seorang pemuda berusia 22 tahun yang menjalankan khidmat van jenazah di sekitar negeri Kelantan menerima pujian ramai.

Menerusi perkongsian tular di Facebook, Mohd Amirul Mohd Sani melakukan khidmat itu secara percuma di sekitar jajahan Gua Musang.

Bagi kawasan luar Gua Musang, anak bongsu daripada tujuh beradik itu hanya mengambil bayaran bagi kos minyak sahaja.

ARTIKEL BERKAITAN: “Bukan kereta yang dia bagi, tapi amanah” - Pemuda lega tiba-tiba dapat bantuan selepas van bawa jenazah terlibat kemalangan

ARTIKEL BERKAITAN:Ustaz Ebit ni macam-macamlah! Baru buka pasar raya dengan harga barang tak masuk akal, pendakwah tawar khidmat ambulans, van jenazah percuma pula

Bercakap kepada mStar, dia yang mesra disapa Amir mengakui sudah meminati lapangan kerja itu sejak masih kecil lagi.

"Saya minat menguruskan jenazah dari kecil lagi. Kali pertama, tolong orang kampung gali kubur masa umur 12 tahun. Rumah saya pun dekat kubur, tepi kubur sahaja.

"Perkhidmatan ni baru lagi. Ia bermula selepas seorang individu wakafkan Toyota Estima kepada Masjid Ar-Rahman di Felda Chiku 3. Jadi saya mula jadi pemandu van jenazah ni sekitar tahun lepas," ujarnya.

Menurut Amirul, dia tidak terfikir untuk mencari pekerjaan lain sebagaimana anak muda di luar sana memandangkan dia mahu berkhidmat kepada masyarakat sebagai pemandu van jenazah.

Amir mengakui sudah meminati bidang pengurusan jenazah sejak kecil lagi.

Malah katanya, dia selesa menetap di kampung bagi menemani ibunya, Nik Jah Muhammad, 61, yang tinggal berdua bersamanya.

"Memang nak duduk sini sebab saya minat urus jenazah. Nak jaga mak, sebab ayah dah meninggal. Adik beradik saya bekerja dan menetap di tempat lain.

"Saya kalau boleh nak tarik orang muda buat kerja macam ni. Kita kalau boleh nak cari orang muda. Makin ramai makin seronok," ujarnya yang turut diberi jolokan Mat Jenazah oleh penduduk setempat.

Kali pertama, tolong orang kampung gali kubur masa umur 12 tahun. Rumah saya pun dekat kubur, tepi kubur sahaja.

MOHD AMIRUL MOHD SANI

Dalam pada itu, Amir mengakui dia turut menerima sedekah wang ringgit untuk digunakan bagi mengisi petrol kenderaan tersebut.

"Duit minyak dari tok imam, duit sendiri... ada juga orang sedekah. Saya juga terbuka kalau ada orang nak sedekah.

"Kalau baiki (van) pun ada orang sponsor. Ada sebuah bengkel bagi perkhidmatan percuma buat saya," ujarnya lagi.

Posting mengenai Amir dikongsi oleh Facebook Wan Cai dan turut mendapat perhatian ramai.

Amir menjalankan perkhidmatan penghantaran jenazah percuma di dalam kawasan Gua Musang.

Malah, rata-rata netizen memberikan pujian kepada Amir atas usaha murninya menjalankan tugas sebagai pemandu van jenazah..

"Kerja ini pahala besar sahabat. Ganjaran di sana menanti. tahniah anak muda Kelantan.

"Syabas atas jasa adik. Sedia mencurah bakti di dunia untuk kebahagiaan hidup alam akhirat.

"Terbaik. Semoga dipermudahkan urusan," tulis beberapa netizen.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain