TANGGAL 8 September lalu merupakan hari ulang tahun perkahwinan pasangan ini yang ke-2. Sepatutnya, Mohd Izrul Mat Taib menyambut momen penuh bermakna tanda ikatan cinta bersama isterinya itu dengan bayi sulung mereka. Namun takdir Allah mengatasi segala-galanya. ARTIKEL BERKAITAN: Cinta hingga nafas akhir! Anak sedar sesuatu selepas lihat bapa teresak, tak lepas peluk keranda ibu - “Mereka lupa suami yang bersamanya lebih 35 tahun” ARTIKEL BERKAITAN: Perginya mengejut, bapa tunggal hiba anak 4 bulan demam panas rindukan ibu – “Saya gantung baju arwah tepi baby cot, pakai minyak wangi arwah” Isteri Mohd Izrul iaitu Norehan Zainal menghembuskan nafas terakhir pada 14 Januari lalu, 40 hari selepas melahirkan cahaya mata sulung mereka, Annur Ayesha. "Hari ini (8 September) ulang tahun perkahwinan kita sayang, yang ke dua tahun. Sedih tak dapat sambut dengan awak. Tahun lepas pun kita sambut biasa-biasa je. Awak cakap tak apa, tahun depan (2020) kita sambut bertiga meriah sikit sebab ada anak. "Tapi tahun ini kita sambut dekat sini je cuma alam kita berbeza. Kadang hati ni rasa reda, kadang tak... saya sayang awak sangat-sangat. "Terbayang-bayang awak ada lagi dengan saya. Dah lama nak melawat awak tapi hari ni saya ambil cuti nak bawa Ayesha jumpa awak sebab hari ni ulang tahun perkahwinan kita," demikian sebahagian coretan Mohd Izrul di Facebook, sambil memuat naik beberapa keping gambarnya bersama anak sulung menziarahi pusara isterinya sempena hari ulang tahun perkahwinan mereka. Annur Ayesha, permata hati yang menjadi pengubat rindu Mohd Izrul kepada arwah isterinya. Perkongsian tersebut yang meraih sehingga 1,900 shares turut mengundang rasa sayu di hati netizen, dengan rata-ratanya memberi kata-kata semangat buat bapa tunggal itu. Berkongsi cerita dengan mStar, Mohd Izrul berkata arwah isterinya meninggal dunia akibat darah beku pada jantung. "Isteri melahirkan anak kami secara normal namun pramatang iaitu ketika 34 minggu. Dia berpantang seperti biasa, namun dua minggu sebelum meninggal dunia, dia ada mengalami tumpah darah namun tak serius. "Pada tanggal 13 Januari, isteri demam. Sebelum itu, dia mesej saya minta pulang kerja awal. Saya tanya sama ada dia tak sihat, tapi dia kata anak rindu. Sebaik tiba di rumah pada pukul 5.30 petang, terdengar ibu menjerit beritahu dia rebah," cerita bapa muda berusia 30 tahun ini. Ketika itu dia masih sedar dan dengar apa yang doktor cakap. Kemudian dia tanya 'saya dah tak ada harapan nak hidup ke?'. Dia juga minta nak lihat anak kami dan minta ahli keluarga tunggunya di Kuantan. MOHD IZRUL MAT TAIB SUAMI Menurutnya yang berasal dari Felda Keratong, Pahang, ketika di hospital, doktor memaklumkan keadaan isterinya 50-50, dan perlu dihantar ke Hospital Kuantan untuk tindakan lanjut. "Ketika itu dia masih sedar dan dengar apa yang doktor cakap. Kemudian dia tanya 'saya dah tak ada harapan nak hidup ke?'. Dia juga minta nak lihat anak kami dan minta ahli keluarga tunggunya di Kuantan. "Saya minta dia berehat dan tidur, jangan fikir banyak sebab tekanan darahnya terlalu tinggi. Tapi dia enggan tidur, bimbang tak bangun lagi. "Saya dah sebak, nak menangis tapi tahan. Saya keluar sebentar, beritahu keluarga dan kawan-kawan untuk doakan isteri. Sebelum doktor masukkan ubat tidur untuk hantarnya ke Kuantan, kami berbual. Pasangan ini diijabkabulkan pada 8 September 2018. "Saya beritahu saya ampunkan semua salah silapnya, halalkan makan minum. Isteri hembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 1 pagi ketika tiba di Hospital Kuantan. Itulah perbualan terakhir kami... hasratnya nak lihat anak juga tak kesampaian," ceritanya. Sungguhpun hampir sembilan bulan sejak pemergian isteri, Mohd Izrul berkata semuanya ibarat baharu sahaja berlaku dan kelibat isteri masih terbayang-bayang di ruang mata. "Kalau duduk seorang diri, pasti tak semena-mena perasaan rindu pada arwah timbul. Tambahan pula pusaranya jauh di Felda Jengka 19, saya pula menetap di Keratong bersama ibu bapa. "Sebab itu saya ambil cuti untuk ziarah pusaranya ketika hari ulang tahun perkahwinan kami dengan membawa Ayesha. Terubat sedikit perasaan rindu," ujarnya. Sungguhpun hanya sempat berkongsi saat manis selama setahun lebih, namun pemergian arwah isterinya cukup memberi kesan kepada Mohd Izrul. Tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular, Mohd Izrul berkata ia adalah salah satu cara untuknya meluahkan rasa rindu kepada arwah isteri. "Lihat wajah anak pun dapat mengubat rasa rindu pada arwah isteri... selain baca dan dengar kembali mesej-mesej kami dulu. Saya bersyukur, Ayesha seorang anak yang mudah nak dijaga, tak meragam. Macam faham pula. "Ibu dan bapa yang tolong jagakan Ayesha ketika saya bekerja. Tidak dinafikan, memang akan timbul satu perasaan yang sukar nak diungkap... ada masa macam down. "Tapi anaklah yang jadi kekuatan selama ini, selain teringat pesan arwah yang amanahkan saya untuk menjaga anak kami dengan baik," ujarnya mengakhiri bicara. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!