suria

Penangan video motivasi ‘suka negatif’... mentor bisnes dikritik cakap pelat, pakai Airpods pun jadi isu – “Bukannya ikut skrip”

(kiri) Klip video Andika yang dikritik netizen. (kanan) Andika mula menjadi mentor bisnes sejak awal tahun ini. Foto ihsan Muhamad Andika Putera Salleh

KECOH mengenai video seorang penceramah motivasi muda dikecam netizen berikutan gaya penyampaiannya.

Namun, apa yang dipersoalkan netizen adalah klip video yang tular di media sosial itu lebih memberi tumpuan kepada hal negatif berbanding positif untuk berjaya.

"Saya suka nangis, saya suka gagal, saya suka kawan tak ada dengan saya, saya suka famili tak support saya, saya suka orang burukkan saya, saya suka orang tipu duit saya, saya suka jatuh banyak kali dan saya suka semua negatif," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak pernah dibuat orang! Dr Azizan singgah tepi highway, beri motivasi depan billboard ucapan hari jadi sendiri

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya 'fuhhh' macam buat dalam dewan besar - "Kami tak nak tangguh kejayaan anda"

Susulan video yang tular itu juga, pemuda berkenaan turut dikritik kerana pelatnya dan penggunaan fon telinga tanpa wayar Airpods turut dipertikaikan serta tutur katanya yang disebut 'seketul-seketul' sehingga memakan masa.

"Dia tengah suruh orang salin ayat dia ke apa ni? Lambatnya nak tunggu dia cakap," komen seorang netizen.



Muhamad Andika sudah lali dengan kritikan segelintir masyarakat.

Pemuda berkenaan, Muhamad Andika Putera Salleh berkata, penggunaan kata-kata 'negatif' itu merupakan sebahagian daripada tagline ketika menyampaikan seminar.

Anak muda berusia 23 tahun itu menjelaskan bahawa segelintir masyarakat juga sebenarnya tidak boleh menerima kegagalan dalam hidup.

"Apabila negatif, pasti akan datang sesuatu yang positif kepada diri kita. Kecaman merupakan sebahagian daripada negatif. Apa yang kita buat pasti akan dikecam.

"Jadi, kita letak diri kita yang menerima unsur negatif itu, dan menanganinya dengan sabar, reda dan istiqamah. Kita yakin bahawa Allah SWT itu Maha Merancang dan Maha Mengatur," katanya kepada mStar.



Muhamad Andika sedang memberi penerangan kepada peserta.

Lebih mesra dengan panggilan Dika, pemuda yang dibesarkan di Butterworth, Pulau Pinang itu sudah lali dengan kritikan yang mengaitkan tutur katanya yang pelat.

"Manusia sentiasa menilai manusia. Manusia akan menilai apa yang 'cacat' dekat manusia, tak kisahlah pelat R S, gemuklah, hitamlah, hidung besarlah atau tangan kecillah.

Manusia sentiasa menilai manusia. Manusia akan menilai apa yang 'cacat' dekat manusia. Tapi kejayaan itu datang daripada Allah SWT

MUHAMAD ANDIKA PUTERA SALLEH

"Tapi kejayaan itu datang daripada Allah SWT, bukannya manusia yang menilai kita. Saya reda dengan pelat R dan S yang dikurniakan kepada saya.

"Saya lebih rela bersama dengan manusia-manusia yang dikatakan 'cacat' berbanding manusia yang hanya mementingkan kesempurnaan. Kita perlu bangga dengan diri sendiri, reda dan istiqamah kerana Allah penentu segalanya, termasuk kejayaan kita," ujarnya.



Muhamad Andika berpengalaman dalam bidang perniagaan sejak berusia 14 tahun.

Mempunyai pendidikan setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), anak bongsu daripada tiga beradik itu menceburi bidang perniagaan kecantikan dan kesihatan sejak berusia 14 tahun serta berpengalaman sebagai jurulatih kecergasan.

Sementara itu, Dika yang mula menjadi mentor bisnes sejak Februari lalu mendedahkan video yang tular itu sebenarnya adalah sebahagian daripada web seminar (webinar) membabitkan kira-kira 80 peserta.

"Klip video yang tular adalah sebahagian daripada webinar yang saya kendalikan mengenai penjenamaan peribadi untuk mereka yang mahu menceburi bidang perniagaan. Saya pakai Airpods sebab saya pakai mikrofon dan mahu mendengar suara saya lebih jelas.

"Saya cakap satu persatu kerana menunggu peserta selesai mengikut apa yang saya perkatakan. Saya minta ikut apa yang saya katakan, bukannya saya ikut skrip atau ikut apa yang orang cakap di sebalik pakai Airpods tu," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain