suria

“Kami ni buta, jika Covid besar bangunan tetap tak nampak” - Doktor terdiam ditanya saiz Covid-19 dalam satu majlis, cemburu mata hati OKU penglihatan

(kiri) Dr Ahmad Samhan dijemput berkongsi pengetahuan tentang Covid-19. -Foto facebook Ahmad Samhan (kanan) Seorang peserta buta bertanyakan soalan tentang Covid-19. -Gambar hiasan

PANDEMIK Covid-19 menggemparkan seluruh dunia sejak berbulan-bulan lalu, namun masih ada yang belum memahami secara jelas tentang virus yang membawa maut itu.

Kita yang sering mengikuti perkembangan semasa mengenai Covid-19 mengetahui tantang jumlah kes harian, kematian dan discaj termasuklah kluster yang terbentuk disebabkan jangkitan itu.

Dek kerana masih belum ada vaksin untuk virus itu pada masa ini, pelbagai perkara terus menjadi tanda-tanya dalam fikiran segelintir masyarakat.

ARTIKEL BERKAITAN: "Kami dituduh pembunuh" - Doktor kongsi tak mudah berdepan saat kematian, sampai satu tahap perlu patuh pada ketentuan

ARTIKEL BERKAITAN: Doktor bingung pesakit tanya soalan cepu emas, tapi jawapan yang diberikan lebih sukar nak 'hadam' - "Ada orang lebih banyak pahala daripada saya"

Begitulah yang dilalui seorang doktor sewaktu menjadi tetamu jemputan dalam sebuah kursus untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan mengenai virus baharu itu.

Masih ada golongan yang ingin mendapatkan penjelasan mengenai virus Covid-19. -Gambar hiasan/Foto Bernama

"Doktor, saya ada soalan. Terdengar sayup. Kedudukan kerusinya paling belakang. Ya, teruskan.

"Covid ini memang kecil sampai tak nampak ya?" tulis Dr Ahmad Samhan menerusi perkongsian di halaman Facebook beliau.

"Iya. Dengan mata kasar memang kita tak nampak. Sebab itu kita perlu pakai pelitup muka. Salah satu langkah untuk cegah dari dijangkiti.

"Kami ini buta. Jika Covid itu sebesar bangunan pun kami tetap tak nampak," tulis beliau memetik percakapan OKU tersebut.

Berkongsi pengalaman itu, Dr Ahmad Samhan Awang menyedari sebahagian hadirin pada hari itu terdiri daripada Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan.

Ketika itu, beliau dijemput oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam Kursus Tahsin Al-quran dan Fiqh Ibadat di Kuala Terengganu, Terengganu baru-baru ini.

"Tetapi ketika itu saya benar-benar tidak menyangka dia akan tanya saya tentang saiz dan bentuk Covid-19. Bila dia cakap dia tak nampak sebab buta, saya memang tersentap.

"Maksudnya saya terdiam untuk memikirkan apakah contoh atau gambaran yang mudah untuk mereka faham sedangkan mereka tidak dapat melihat," katanya kepada mStar.



Dr Ahmad Samhan Awang.

Doktor berusia 34 tahun itu mengakui meneliti hadirin di dewan itu yang turut disertai OKU lain serta kakitangan-kakitangan Jakim yang sebahagiannya bergelar ustaz.

"Tidak lama kemudian, saya kembali bersuara. Saya tanya semula kepada peserta lelaki itu, pernah pegang pasir? Cuba bayangkan saiz untuk sebutir pasir.

Walaupun mata mereka buta tapi hati mereka cerah.

DR AHMAD SAMHAN AWANG

"Dia jawab kecil sangat. Saya kemudian jelaskan kepada dia dan hadirin bahawa Covid-19 itu berkali-kali ganda kecilnya sampai tak nampak langsung apatah untuk dipegang," katanya yang berpengalaman bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurut Dr Ahmad Samhan yang mengusahakan sebuah klinik di Kuala Terengganu, sesungguhnya betapa besar nikmat penglihatan kerana dengan melihat, manusia itu dapat mengambarkan menggunakan otak.



Pelitup muka merupakan salah satu langkah untuk mencegah jangkitan Covid-19. -Foto Bernama

"Tanpa melihat, tiada signal atau gambar dapat dibayangkan dalam otak. Gelap, sukar untuk huraikan gambar itu dengan kata-kata tanpa melihat.

"Walaupun sukar untuk mereka bayangkan, sekurang-kurang mereka faham untuk mengelakkan diri dari dijangkiti. Walaupun mata mereka buta tapi hati mereka cerah.

"Mereka buktikan bukan asbab perlu mata untuk al-Quran dibaca dan dihafal. Sungguh, diri ini mencemburui kecerahan mata hati mereka," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain