suria

“Mana awak?” - Terkandas di Singapura, ramai beremosi lihat kegigihan lelaki ini nak ‘bertemu’ anak isteri di Malaysia... terima kasih adik beri idea!

Mohd Izwan membuat panggilan video kepada isterinya dari Woodlands Waterfront Park di Singapura.

"SUDAH tentu saya akan peluk mereka selama yang boleh."

Itulah perkara pertama yang akan dilakukan oleh Mohd Izwan Sarip sebaik sahaja bertemu kembali dengan isteri dan dua cahaya matanya.

Mohd Izwan yang bekerja di Singapura sudah hampir lapan bulan terpisah dengan keluarganya kerana terkandas di republik itu sejak penutupan sempadan antara dua negara bermula 18 Mac lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Langsung tak cam! Momen selepas ibu tak kenal anak datang beli nasi lemak digerainya gara-gara 9 bulan terpisah buat ramai emosi

ARTIKEL BERKAITAN: Penyatuan ketika PKP... 15 tahun terpisah, anak telefon ibu kandung jam 2 pagi - “Masa kecil dulu saya keliru”

Beberapa hari lalu, kisahnya menjadi tular di media sosial selepas dia berkongsi video 'pertemuannya' bersama keluarga menerusi Facebook.

Menerusi posting yang dimuat naik menerusi laman sosial itu, Mohd Izwan membuat panggilan video kepada isterinya dari Woodlands Waterfront Park di Singapura, sementara isteri dan dua anaknya berada di seberang laut.

Kedengaran Mohd Izwan bertanya 'mana awak?' sambil melambaikan tangan kepada isterinya, Liana Idris dan kedengaran suara wanita tersebut memberitahu posisi tempatnya berdiri.



Mohd Izwan sudah hampir lapan bulan tidak bertemu dengan keluarganya kerana terkandas di Singapura.

Perkongsian berkenaan nyata menyentuh hati netizen yang seolah-olah turut sama merasai beban rindu yang ditanggung si ayah kepada keluarganya.

Berkongsi cerita dengan mStar, lelaki berusia 32 tahun ini berkata idea 'pertemuan' tersebut dicadangkan oleh adik perempuannya yang turut melalui situasi yang sama.

"Sebelum 'pertemuan' itu, adik saya Shafikah telah bertemu dengan suaminya dengan kaedah yang sama sehari sebelumnya. Dia yang memberi idea suruh saya buat kaedah yang sama.

"Tak sangka pada hari saya 'bertemu' dengan isteri itu dirakam secara senyap oleh adik ipar. Dan video itu saya dapat dan kongsi di Facebook untuk suka-suka. Tak sangka cerita ini viral," katanya.

Saya sebelum ni tak pernah merasai kerinduan seteruk ini sebab tak pernah berpisah.

MOHD IZWAN SARIP

Cerita Mohd Izwan, 'pertemuan' tersebut adalah yang pertama sejak lapan bulan lalu.

"Saya sebelum ni tak pernah merasai kerinduan seteruk ini sebab tak pernah berpisah.

"Selain membuat panggilan telefon dan video untuk melepaskan rasa rindu kepada keluarga, saya banyak menghabiskan masa lepak bersama kawan-kawan sekolah di sini. Masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ni la saya dapat bertemu rakan sekolah balik.

"Aktiviti yang dibuat seperti bermain PS4 dan berbasikal mengelilingi Singapura," ujar bapa kepada dua cahaya mata ini.



Dua orang buah hati Mohd Izwan.

Bercerita lebih lanjut, Mohd Izwan yang bekerja sebagai pembantu gudang di Redmart Lazada berkata, dia sendiri tidak menyangka bakal terkandas berbulan lamanya di Singapura.

"Pada waktu kerajaan umumkan penutupan sempadan Malaysia-Singapura, saya tak ambil port sangat sehingga leader tempat kerja saya telefon mengatakan saya dikehendaki masuk Singapura dan stay dua minggu sahaja. Jadi saya bawa pakaian untuk dua minggu saja ketika itu," katanya yang sudah sembilan tahun mencari rezeki di republik berkenaan.

Lapan bulan berpisah bukan satu jangka masa yang pendek, dan Mohd Izwan berkata dia bersyukur serta berteima kasih kepada isterinya kerana mengambil peranan sebagai ibu dan bapa kepada dua anak mereka sepanjang ketiadaannya.



Mohd Izwan sering membuat panggilan telefon dan panggilan video untuk melepaskan kerinduan kepada keluarganya.

"Sering kali apabila berhubung, saya pesan kepadanya supaya jaga diri selalu, jaga kesihatan. Dan saya ucapkan terima kasih banyak-banyak kepadanya sebab menjaga anak-anak dan sentiasa membuat anak-anak tak merasai kehilangan seorang ayah.

"Saya ucapkan terima kasih banyak kepada netizen yang telah mendoakan saya. Harapan saya biarlah Covid-19 ini berlalu pergi dengan pantas kerana disebabkan kes ini ramai orang kehilangan kerja dan saya boleh dikategorikan bertuah kerana masih ada pekerjaan

"Pada yang senasib dengan saya, kita jaga kita. Anda semua hebat, berkorban apa saja untuk keluarga," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain