suria

Diperlekeh rakan serumah, ditipu pembekal semuanya kerana bisnes jeruk mangga... kini jualan siswi ini makin kencang, siap beli kereta baharu - "Nak bawa mak ayah tunai umrah"

Kereta kancil yang digunakan Nor Farah semasa memulakan bisnes jeruk mangga. Foto ihsan Nor Farah Atika Saparudin

WALAUPUN bisnes secara kecil-kecilan, setiap peniaga pasti mempunyai matlamat dan impian untuk dicapai.

Bukan sekadar mengejar kekayaan semata-mata, malahan juga membahagiakan ibu bapa mereka di dunia dan akhirat.

Seperti yang dikongsikan oleh seorang gadis di laman sosial, dia mahu mengumpul wang bagi membiayai kos untuk ibu bapanya menunaikan umrah di Makkah.

ARTIKEL BERKAITAN: Guna mic bukan nak persenda abang jual mangga asam boi, mujur peniaga di lampu isyarat tak ambil hati - "Kalau terjerit-jerit orang kata gila"

ARTIKEL BERKAITAN: Lihat budak basah kuyup jual mangga asam boi, guru suruh 'jalan terus' - "Ingin aku duduk dalam ribuan penonton dengar kisah perjuangan kau"

Gadis berkenaan, Nor Farah Atika Saparudin berkata, dia telah lama menyimpan hasrat untuk membawa kedua ibu bapanya menunaikan ibadat itu hasil titik peluh sendiri.



(dari kiri) Nor Farah bersama bapa, kakak dan ibunya.

Namun katanya, ebelum ini wang simpanannya digunakan untuk menyambung pengajian di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) di Nilai, Negeri Sembilan.

"Saya ada buat bisnes kecil-kecilan, jual jeruk mangga secara sambilan sejak 2018. Masa tu, ada kawan-kawan pandang rendah persoalkan jual buah je ke, potong-potong buah je kan?

"Mereka ingat jual jeruk mangga ni semudah seperti membelinya. Sebenarnya tidak kerana banyak prosesnya termasuk pemilihan buah yang sesuai untuk dijadikan jeruk," kata graduan Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang itu kepada mStar.

Nor Farah berkata, mangga muda adalah paling sesuai untuk dijadikan jeruk tetapi jika tersalah membeli bekalan boleh mengakibatkan kerugian.



Bisnes jeruk mangga dilakukan secara kecil-kecilan.

Anak bongsu daripada lima beradik itu berkongsi kisahnya pernah ditipu dengan pembekal yang hanya membekalkan sebahagian besar mangga yang telah masak ranum.

"Masa tu saya masih belajar dan duduk di rumah sewa di Nilai. Bayangkan saya pandu kereta hampir dua jam untuk ke Selayang di Selangor semata-mata untuk mendapatkan bekalan.

Ada kawan-kawan pandang rendah persoalkan jual buah je ke, potong-potong buah je kan?

NOR FARAH ATIKA SAPARUDIN

"Dalam kotak, bahagian atas semua mangga muda. Tapi bila dah balik saya periksa di bahagian bawah mereka bekalkan mangga yang sudah masak termasuk yang busuk.

"Memang terduduk saya ketika itu. Tapi saya anggap ia sebagai pengalaman untuk lebih berhati-hati dan jangan terlalu percayakan orang," katanya yang berasal dari Ampang, Selangor.



Kereta yang banyak berjaya semasa permulaan bisnes Nor Farah.

Gadis itu turut diduga dengan diskriminasi oleh bekas rakan-rakan rumah sewanya sebelum berpindah menyewa ke lokasi baharu di Nilai.

"Mereka tak bagi saya guna peti sejuk di rumah sewa untuk simpan jeruk mangga, jadi saya terpaksa beli kotak ais sendiri.

"Mereka bukan sahaja tidak menyokong usaha saya, malah memperlekehkan kemampuan saya. Bila saya pindah ke rumah sewa yang baharu, syukur rakan-rakan serumah lebih memahami, malah menyokong saya dengan menjadi ejen, ” tambahnya.



Dari kereta kecil (kanan), Nor Farah berkemampuan untuk membeli kereta lebih besar (kiri) dengan hasil bisnes jeruk mangga.

Menggunakan kereta kancil terpakai semasa belajar, Nor Farah pernah merasai pengalaman terpaksa berhenti di tepi jalan kerana kenderaan itu bermasalah.

"Masa tu tengah hari panas nak ambil stok mangga, tiba-tiba kereta bermasalah tengah jalan. Memang berpeluh-peluh tunggu mekanik datang periksa dan baiki.

"Semuanya cabaran untuk saya menjadi seperti hari ini, dari jualan secara purata 400 balang sebulan, sekarang mencecah 300 balang seminggu dengan bantuan ejen-ejen.

"Sekarang saya juga mampu beli kereta baharu yang lebih besar untuk memudahkan urusan bisnes saya, syukur Alhamdulillah," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain