MENANTIKAN kehadiran cahaya mata tentunya menjadi detik terindah buat setiap pasangan yang berumahtangga. Namun hasrat sepasang suami isteri untuk menyambut kelahiran anak lelaki mereka pada Selasa tidak kesampaian apabila bayi tersebut disahkan meninggal dunia semasa dalam kandungan. Insiden sedih itu dikongsi menerusi Facebook pengurusan jenazah Islam, MR Wan Cai Official yang menjadi tular dan mengundang sebak netizen. ARTIKEL BERKAITAN: “Doktor tarik uri terputus, bermulalah episod saya kena korek hidup-hidup” - Tragedi 6 tahun lalu berulang, ibu derita hilang seorang lagi bayi Lebih memilukan tarikh bayi tersebut sepatutnya melihat dunia pada 27 Oktober menjadi hari dia kembali menemui pencipta-Nya. "Sepatutnya 27 Oktober 2020 adalah tarikh untuk anak syurga ini melihat dunia. Namun tarikh kelahiran itu telah Allah tetapkan sebagai tarikh untuk menguruskan pengebumian jenazah anak syurga ini. "Ibu mana yang boleh menerima kenyataan apabila mengetahui anak yang dikandung selama sembilan bulan sudah tidak lagi bernyawa? Bapa mana yang boleh menahan rasa kesedihan apabila anak yang baru dilahirkan sepatutnya dipangku untuk diazankan tetapi dipangku untuk dibawa ke tanah perkuburan? Si ayah meratap wajah bayinya buat kali terakhir. "Tidak boleh digambarkan dengan kata-kata kesedihan yang dilalui oleh pasangan suami isteri yang juga ibu bapa kepada anak syurga tersebut," demikian menurut posting tersebut. Menurut perkongsian itu, si suami telah membawa isterinya ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang pada pukul 2 pagi 24 Oktober kerana ada tanda-tanda mahu bersalin. Namun mereka diarah doktor untuk pulang ke rumah atas alasan belum tiba masa isterinya untuk bersalin. "Doktor memaklumkan belum ada bukaan atau tanda-tanda awal anak di dalam kandungan si ibu akan dilahirkan. "Doktor juga memaklumkan kepada si ibu anak di dalam sihat lalu menyuruh si ibu pulang ke rumah," katanya. Pada 25 Oktober, wanita itu merasakan anak di dalam kandungannya tidak bergerak dan memaklumkan perkara itu kepada suaminya. Bayi lelaki itu disahkan meninggal dunia semasa dalam kandungan ibunya. Namun suami membawa isterinya untuk berkeluar sarapan terlebih dahulu dengan harapan selepas makan anak di dalam kandungan akan bergerak dan aktif semula. "Kebiasaannya sebelum ini jika anak di dalam kandungan tidak bergerak si ibu akan terus makan atau minum. Tujuannya supaya anak di dalam kandungan akan sentiasa bergerak dan aktif. "Setelah makan dan minum si ibu mendapati anak di dalam kandungannya tetap sama tidak bergerak seolah-olah seperti ada yang tidak kena," katanya. Sepatutnya 27 Oktober 2020 adalah tarikh untuk anak syurga ini melihat dunia. Namun tarikh kelahiran itu telah Allah tetapkan sebagai tarikh untuk menguruskan pengebumian jenazah anak syurga ini. Facebook Disebabkan keadaan masih tidak berubah, tanpa melengahkan masa suaminya terus membawa isterinya ke hospital untuk mendapatkan kepastian tentang keadaan anaknya itu. "Setelah pemeriksaan dilakukan doktor telah mengesahkan bahawa anak dalam kandungan si ibu sudah lagi tidak bernyawa. "Punah harapan si suami disusuli dengan suara tangisan si isteri selepas mengetahui anak yang menunggu masa untuk dilahirkan telah pun pergi buat selama lamanya. "Kalau diikutkan tinggal kurang daripada 48 jam untuk si ibu melahirkan anaknya mengikut pada kiraan hari yang diberi oleh pihak doktor," katanya. Jenazah bayi cukup bulan itu dikebumikan pada petang Selasa. Prosedur untuk melahirkan bayi yang sudah tidak bernyawa itu perlu dilakukan segera. Namun selepas si ibu bertarung nyawa selama 48 jam bayi itu masih belum berjaya dilahirkan. "Dua kali ubat dimasukkan bertujuan untuk mengeluarkan anak syurga dari kandungan secara normal. "Pada 27 Oktober tepat jam 12.00 tengah hari doktor terpaksa membuat keputusan untuk mengeluarkan anak syurga yang ada di dalam kandungan menggunakan cara pembedahan. "Ini kerana risiko si ibu melahirkan secara normal tanpa tenaga selepas 48 jam dan hanya akan membahayakan nyawanya," katanya. Akhirnya kira-kira pukul 1.30 petang Selasa, bayi tersebut berjaya dikeluarkan menerusi kaedah pembedahan. Jenazah anak syurga yang diberi nama Aulian Arsy Mohamad Fariz itu juga selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Selat Klang pada Selasa. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar! TONTON VIDEO PILIHAN!