suria

“Pandanglah Sabah dengan mata hati” - Tak sanggup lihat bayi merana tiada susu, lelaki ini beri gambaran penderitaan di tempatnya... rayu bantuan semenanjung

Orang kampung beratur menunggu bantuan dihulurkan kepada mereka.

PENULARAN Covid-19 terus memuncak di negeri Sabah sehingga memberi kesan mendalam buat penduduk di sana.

Tersentuh dengan apa yang berlaku, seorang pemuda yang sebelum ini mengusahakan khidmat kereta percuma ke hospital di sekitar Sandakan aktif menghulurkan bantuan buat keluarga miskin yang terjejas akibat pandemik itu.

Muhamad Khadir Abd Jalil, 24, menerusi Pertubuhan Kebajikan Marhaen Sandakan yang dipengerusikannya bergerak di sekitar daerah itu bersama 20 sukarelawan yang lain untuk menghulurkan bantuan makanan asas.

ARTIKEL BERKAITAN: Bawa calon UPSR makan KFC, lelaki ini tersentak dengar alasannya tak selera makan ayam, “Saya terus pakai spek hitam...”

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu kelu, 2 kali tumpah air mata lihat bapa daif 5 jam peluk jenazah anak, “Dia masuk van, kami dah mula menangis”

Yang paling menyentuh hati katanya, ada kaum ibu yang menghantar mesej meminta bantuan kerana bayi mereka kelaparan tanpa susu dan makanan.

"Kami fokus di sekitar Sandakan sahaja sebab tak boleh merentas daerah. Sepanjang beberapa minggu bergerak menghulurkan bantuan, memang boleh nampak terlalu ramai yang terjejas.

"Mereka yang bergantung kepada pendapatan harian sangat terkesan. Apatah lagi yang ada bayi. Ada yang sampai bagi minum teh kosong. Ada juga yang suap air gula dan air kosong untuk bayi.

Wan sebelum ini aktif menyediakan khidmat kereta percuma ke hospital buat penduduk Sandakan.

"Kami terima hampir 1,000 WhatsApp. Terlalu banyak. Ada yang merayu kerana tiada susu untuk diberikan kepada bayi mereka," ujarnya kepada mStar.

Mesra disapa Wan, dia turut diuji apabila salah sebuah kenderaan yang digunakan dalam projek kebajikan mengalami kerosakan dan terpaksa dihantar ke bengkel.

Malah katanya, ada dalam kalangan sukarelawan yang mengalami kepenatan melampau dan enggan pulang ke rumah kerana risau risiko penularan wabak kepada ahli keluarga.

Pandanglah ke Sabah dengan pandangan mata hati.

MUHAMAD KHADIR ABD JALIL

"Kereta untuk penghantaran pesakit secara percuma ke hospital sebelum ini kami gunakan untuk hantar bantuan kepada penduduk yang terjejas akibat Covid-19.

"Ada dua buah kereta, tapi salah satunya rosak dan kini ada di bengkel. Tengah disiapkan. Dugaan pula bila kotak gear rosak.

"Kami sukarelawan memang penat, sebab belah malam kami turut fokus bantu gelandangan pula.

Ada ahli pertubuhan itu yang enggan pulang ke rumah kerana risau risiko penularan wabak kepada ahli keluarga.

"Ada yang tak balik rumah sebab takut berjangkit Covid-19 pada ahli keluarga. Kebetulan kami ada satu pondok untuk lepak, mereka tidur di situ," ujarnya lagi.

Menurut Wan, dia sejujurnya sebak melihat keadaan terkini warga Sabah yang cukup terkesan dengan Covid-19.

Malah, dia turut menyeru mana-mana pihak agar tampil sama-sama membantu khsusunya buat keluarga miskin yang kini hilang mata pencarian akibat pandemik yang melanda.

Wan bersedia menerima sumbangan pihak luar untuk membantu warga Sandakan yang terjejas.

"Pandanglah ke Sabah dengan pandangan mata hati. Bantuan anda di semenanjung sangat diperlukan di saat ini.

"Sangat kesian. Ada ibu tunggal tiada pendapatan, anak yatim pun ada... kami sangat terjejas.

"Kami terbuka untuk kerjasama dengan mana-mana kumpulan atau pertubuhan, sesiapa yang mahu membantu sangat dialu-alukan," ujarnya lagi.

Wan (kiri) bersama pasukannya sewaktu keluar menyampaikan sumbangan.

Dalam beberapa siri posting di Facebook, Wan turut memuat naik beberapa foto proses bantuan yang dihulurkan mereka.

Bagi sesiapa yang mahu mendapatkan info selanjutnya mahupun memberikan bantuan, Wan boleh dihubungi di talian 010-9417284.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan