suria

Geram kereta ‘dicucuk’, lelaki ini tak bagi peluang! Rupa-rupanya pemandu Myvi elak bayar tol dah ‘disekolahkan’ sebelum videonya tular

Kamazuki berkongsi pengalaman apabila kenderaannya cuba 'dicucuk' oleh sebuah perodua Myvi yang mengelak mahu membayar tol.

KEJADIAN membabitkan pemandu tidak bertanggungjawab yang sengaja 'mencucuk' kenderaan lain di hadapannya untuk mengelakkannya membayar tol sudah beberapa kali dipaparkan di media sosial.

Terbaharu, tular pula satu klip video memaparkan tindakan seorang pemandu Perodua Myvi yang cuba mengambil kesempatan berbuat demikian dengan mengekori rapat kenderaan di hadapannya setibanya di pondok tol di sebuah lebuh raya.

Namun percubaan pemandu Myvi berwarna perak itu gagal selepas ia disedari pemandu kenderaan di hadapannya yang kemudiannya memberhentikan keretanya betul-betul selepas melewati palang.

ARTIKEL BERKAITAN: Pecut dan lepas! Tak perlu bayar tol, pemandu kereta Mercedes berjaya lepasi palang

ARTIKEL BERKAITAN: “Tak tahu apa masalah dia” - Suami bertumbuk di plaza tol, isteri dedah kisah awal insiden... akhirnya 2 pemandu naik mahkamah

Malah lebih 'memalukan', pemandu tidak bertanggungjawab tersebut 'disekolahkan' pula oleh pemandu kenderaan terbabit kerana tindakan tidak bertanggungjawabnya itu.

Sehingga kini video yang dimuat naik di Facebook Kamazuki Junuh yang juga pemandu kenderaan berkenaan meraih 895 perkongsian.

Ketika berkongsi cerita dengan mStar, Kamazuki berkata insiden berlaku di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berhampiran susur keluar tol Kuala Terengganu, beberapa hari lalu.



Kamazuki memuat naik perkongsian mengenai insiden berkenaan di Facebook.

"Sebelum exit LPT di tol Kuala Terengganu, mereka memotong saya dengan laju. Myvi ni dan satu lagi Honda Jazz kelabu. Bila saya sampai tol mereka berdua beratur belakang sebuah kereta di lorong manual ada jurutol. Myvi kereta ketiga. Jadi saya ke lorong kanan mereka yang tiada jurutol.

"Tiba-tiba bila nampak saya di lorong sebelah, Myvi terus ke kanan di belakang saya. Semasa saya nak sentuh kad Touch 'n Go, saya perasan kawan dia di lorong manual sudah terlepas dengan mengikut dekat kereta di depan. Saat itulah saya perasan mereka memang tak mahu bayar tol.

"Selepas palang buka, saya perlahan bergerak dan saya nampak Myvi tu memang sangat rapat di belakang saya dan saya terus berhenti. Myvi terpaksa undur dan pergi ke lorong manual sebab kad Touch 'n Go dia tak cukup kena tambah nilai dulu.



Pemandu Myvi berkenaan terpaksa 'berpindah' ke lorong manual selepas gagal percubaan untuk 'mencucuk' kenderaan Kamazuki.

"Masa dia tambah nilai, saya ambil kesempatan untuk rakam video dan memarahi pemandu Myvi tersebut," cerita Kamazuki mengimbas kembali insiden berkenaan.

Ujarnya, ketika itu dia memandu seorang diri dan sedang dalam perjalanan ke Pengkalan Kubur, Kelantan untuk menghadiri majlis perkahwinan adik perempuannya.

Menurut kontraktor bangunan ini, dia mengambil pendekatan untuk bersemuka dan menegur perbuatan pemandu berkenaan kerana mahu memberi pengajaran dan tidak mahu membiarkan perbuatan tidak bertanggungjawab itu semakin menjadi-jadi.

Masa dia tambah nilai, saya ambil kesempatan untuk rakam video dan memarahi pemandu Myvi tersebut.

KAMAZUKI JUNUH

PEMANDU

"Saya sempat tanya jurutol perempuan di situ, berapa jumlah tol yang pemandu tu elak bayar kalau mereka tak ada duit untuk bayar. Manalah tahu, genuine case tak ada duit dan bukan saja-saja tak nak bayar.

"Kalau tak silap saya dalam RM18.10 dan pemandu itu dah bayar sebelum saya rakam. Selepas itu saya pun terus berlalu meneruskan perjalanan saya," katanya sambil menambah, insiden seumpama itu adalah yang pertama kali dialaminya.



Kamazuki bersemuka dengan pemandu berkenaan dan memberi teguran di atas tindakan tidak bertanggungjawabnya.

Tambah Kamazuki, tindakannya memuat naik video berkenaan di media sosial bukan untuk mengaibkan mana-mana pihak, sebaliknya demi memberikan pengajaran kepada pemandu lain agar tidak mengulangi perbuatan tidak bertanggungjawab seumpama itu.

"Saya harap kita janganlah buat kerja tak baik macam ni. Mak ayah kita tak pernah ajar kita buat kerja macam ni. Kalau mak ayah kita tahu, sedih mereka.

"Tapi saya terpaksa share benda ni supaya mereka yang bercadang nak buat macam ni fikir dua kali sebelum buat," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain