suria

Trauma ular ‘lepak’ ruang tamu rumah, tak mudah wanita ini nak buka cerita... kini baru ada kekuatan kongsi detik cemas anak dipatuk

Nana dipatuk ular jenis Naja Sumatra semasa bermain di ruang tamu rumah.

HATI ibu mana yang tidak luluh apabila melihat anak perempuan tersayang yang berusia empat tahun mengerang kesakitan akibat dipatuk seekor ular yang tiba-tiba muncul di ruang tamu rumah mereka.

Menurut Syakira Abu Samah, kejadian menimpa anak keduanya, Naira Nur Aleena Mohd Fitri, kira-kira pukul 3.45 petang pada 24 Ogos lalu berlaku dengan pantas.

"Tak sampai dua minit, kejadian berlaku sekelip mata. Masa tu Nana (nama panggilan anak) dengan nenek dia di ruang tamu tengah main bubble wrap.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas tegur anak asyik korek hidung, ibu terkejut lihat keluar cecair hitam bau asap rokok... dah X-ray baru nampak bateri! - “Doktor guna wayar dan besi”

ARTIKEL BERKAITAN: Demam berlarutan, bapa terkejut Google simptom Kawasaki selepas 5 hari anak di wad - “Sedih dia terpaksa makan ubat jantung orang dewasa”

"Saya kebetulan baru lepas keluar toilet dan terus ke ruang tamu. Saya tengok keadaan seperti kelam kabut. Tiba-tiba Nana datang peluk saya sambil menangis.

"Dia kata ada ular patuk dia. Saya terus campak barang yang ada kat tangan. Masa tu jantung pun berdegup kencang. Saya terus capai tudung, start enjin kereta dan terus pergi klinik," katanya kepada mStar.



Keadaan kaki Nana bengkak selepas dipatuk haiwan reptilia itu.

Jelas Syakira, ular jenis Naja Sumatra itu yang tiba-tiba keluar dari bawah kerusi di ruang tamu rumah kemudian berjaya dibunuh bapanya.

"Mak saya pun tak perasaan kehadiran ular tu. Tahu-tahu Nana dah kena patuk dan menangis.

"Lepas tu barulah ular tu lalu depan mak saya. Mak saya dan abah berusaha bunuh ular tersebut," katanya.

Sebaik tiba di Klinik Kesihatan Sanggang dekat Temerloh, Syakira berkata anaknya itu diberi suntikan oleh pegawai perubatan bertugas sebelum dihantar ke Hospital Temerloh.

"Masa tu meraung Nana. Doktor beritahu Nana perlu dihantar ke Hospital Temerloh. Lima minit kemudian ambulans pun sampai.

"Dalam ambulans tu saya rasa macam duduk bilik kebal. Tak kisahlah janji nyawa Nana selamat dan cepat sampai hospital.



Nana terpaksa menjalani pembedahan untuk mengeluarkan bisa ular tersebut.

"Tapi saya lega sebab Nana langsung tak muntah atau menangis tak henti-henti. Saya tahu dia kuat," katanya.

Sampai di hospital, Syakira berkata Nana dimasukkan ke zon kecemasan dan doktor memasukkan ubat ke dalam badan anaknya itu.

"Nana terus meraung bila nampak sekumpulan doktor dan jururawat kerumun dia. Bila dah dikenal pasti jenis ular dan antivenom tu, doktor pun masukkan ubat dalam badan Nana.

Dia kata ada ular patuk dia. Saya terus campak barang yang ada kat tangan. Masa tu jantung pun berdegup kencang. Saya terus capai tudung, start enjin kereta dan terus pergi klinik.

SYAKIRA ABU SAMAH

Ibu

"Dari pukul 4 petang sampai 8 malam saya duduk dalam wad kecemasan. Ubat last sekali tu memakan masa selama satu jam untuk dihabiskan tapi saya cuba kuat untuk Nana," katanya.

Hari keempat di hospital tersebut, Syakira berkata doktor buat keputusan untuk menjalankan pembedahan di kaki kiri Nana untuk membuang bisa ular tersebut.



Luka pembedahan di kaki kiri Nana perlu dicuci setiap hari selama lebih sebulan.

"Hari-hari doktor check nak pastikan pembengkakan tu semakin naik atau surut. Alhamdulillah bengkak dah semakin surut. Jadi doktor buat keputusan untuk jalani pembedahan.

"Bila dalam bilik OT saya pun teringat pesanan ibu kepada seorang bayi berusia sembilan bulan duduk satu wad dengan Nana yang turut dipatuk ular. Dia suruh fokus baca surah Maryam sampai habis.

"Nana diberi ubat tidur. Saya pun keluar dan duduk di ruang menunggu terus baca surah Maryam. Alhamdulillah pembedahan berjaya," katanya.

Selesai pembedahan, Syakira berkata anaknya ditolak ke wad semula dan dibenarkan balik ke rumah pada 2 September lalu.

"Dah discharge, luka Nana hari-hari kena dressing. Jadi bermulalah episod ulang alik ke klinik kesihatan selama lebih sebulan.



Nana sudah beransur pulih tetapi masih trauma dengan kejadian menimpanya.

"Bila luka semakin mengecut, saya pun beritahu klinik kesihatan nak buat sendiri. Kalau kat rumah ayahnya yang jadi MA (medical assistant)," kata wanita berusia 33 tahun itu.

Meskipun insiden itu sudah lebih sebulan berlalu, Syakira berkata dia baru mendapat kekuatan untuk berkongsi detik hitam itu.

"Saya baru ada kekuatan untuk cerita sebab Nana baru sembuh sepenuhnya. Luka pembedahan ambil masa lebih sebulan untuk sembuh.

"Alhamdulillah Nana semakin sihat cuma dia masih trauma. Terima kasih di atas doa semua. Semoga pengalaman yang saya lalui menjadi iktibar buat semua," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain