BUKAN biasa-biasa, seorang graduan mengadakan 'majlis konvokesyen' bersama seorang petugas Pos Laju di pekarangan rumahnya. Hanya berselipar, pemuda yang berbaju kemeja polo dan berseluar sukan itu kelihatan gembira menerima sampul yang mengandungi skrol pengajiannya. "Hari ni dalam sejarah. Selepas dua tahun menghabiskan pelajaran. Akhirnya hari ni berjaya konvo dengan abang Pos Laju di adat istiadat konvokesyen khas bertempat di Bintong," tulisnya di halaman Facebook sehingga menjadi tular. ARTIKEL BERKAITAN: "Saya acah-acah macho, first time pakai kasut kulit tumit tinggi" - Graduan 'ghaib' selepas jatuh tangga masa konvo tergelak tengok diri sendiri ARTIKEL BERKAITAN: "Eh! Mana skrol?" - 'Graduan terlajak' hairan jalan berlenggang, alasan 'nervous' ketika dipeluk ibu Graduan berkenaan, Tengku Muaz Tengku Bahizalsah memberitahu, dia menamatkan pengajiannya dalam Ijazah Sarjana Muda Sains-Pengurusan Seni Kulinari di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh di Pulau Pinang, pada akhir 2018. Sampul Pos Laju mengandungi skrol pengajian. Pemuda berusia 24 tahun itu berkata, dia sepatutnya menyertai Istiadat Konvokesyen ke-92 pada Mac lalu, tetapi ia terpaksa ditangguhkan berikutan pandemik Covid-19. "Selepas beberapa bulan tertangguh, pihak UiTM memberi pilihan kepada graduan untuk memohon penganugerahan ijazah secara janji temu atau penghantaran skrol ke rumah. "Namun disebabkan pandemik ini juga, saya berpendapat adalah lebih selamat untuk saya mendapatkan skrol tersebut selain prosesnya lebih cepat," katanya kepada mStar. Lebih dikenali sebagai TMB, katanya, dia membuat permohonan untuk penghantaran skrol tersebut pada minggu lalu dan menerimanya pada pagi Selasa. Foto filter yang diedit oleh rakan TMB. "Masa tu sekitar pukul 9.30 pagi. Saya baru balik rumah untuk bersarapan selepas joging. Tiba-tiba dengar bunyi hon abang Pos Laju hantar bungkusan. "Bila tengok sampul dari UiTM, saya memang teruja dan gembira sangat. Saya secara spontan minta abang Pos Laju tu untuk tunggu sekejap sebab saya nak ambil gambar sebagai kenang-kenangan. "Saya sempat tukar baju lima minit sebelum foto kami berdua diambil oleh ibu. Terima kasih kepada abang Pos Laju sanggup tunggu sekejap walaupun tengah rushing nak hantar banyak bungkusan lain," ujar anak kelahiran Kangar, Perlis itu. Anak bongsu daripada dua beradik itu turut menerima sekeping foto yang menggunakan filter menerusi aplikasi laman sosial Instagram dalam persalinan jubah konvokesyen. TMB (kanan) sambil memegang skrol, bersama ibu bapanya. Ditanya sama ada mempunyai perancangan untuk menyunting gambarnya dalam persalinan jubah konvokesyen UiTM, TMB bagaimanapun hanya mahu berpakaian sut lengkap untuk bergambar bersama ibu bapanya di studio di Kangar. "Gambar jubah pakai filter tu jelas nampak edit. Jadi kalau saya edit gambar saya dengan imej jubah UiTM, nanti orang kata fake (palsu) pula. Sejak kecil lagi saya bercita-cita untuk menjadi pensyarah. Dengan skrol pengajian ini, ia menaikkan semangat untuk meneruskan impian saya TENGKU MUAZ TENGKU BAHIZALSAH "Jadi, biarlah saya ambil gambar bersama ibu bapa saya di studio, tapi berpakaian rasmi seperti menghadiri majlis konvokesyen tanpa jubah. "Kalau orang tanya kenapa tak pakai jubah UiTM, barulah saya perjelaskan perkara sebenar. Apa yang lebih penting skrol saya asli, bukan fake," ujarnya secara berseloroh. TMB (hadapan, tengah) bersama para pelajarnya. TMB yang kini menyambung pengajian dalam peringkat Ijazah Sarjana bagi Pengurusan Perkhidmatan Makanan di UiTM Puncak Alam, Selangor, berpengalaman sebagai pensyarah sambilan di UiTM Permatang Pauh selama satu semester dari Februari hingga Ogos lalu. "Saya turut terkesan dengan pandemik apabila kontrak saya tidak disambung. Sejak September lalu, saya bekerja sebagai tukang masak di dewan makan asrama di sebuah sekolah di Kangar. "Sejak kecil lagi saya bercita-cita untuk menjadi pensyarah. Dengan skrol pengajian ini, ia menaikkan semangat untuk meneruskan impian saya," katanya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!