suria

Siswa kecewa, plogging 700 meter dapat pungut 121 kg sampah, mask banyak dibuang merata-rata! - “Saya tak rasa hina buat aktiviti ini”

Lebih 100 kilogram sampah berjaya dikutip menerusi program yang disertai pelajar itu pada Sabtu lalu.

DALAM jarak kurang satu kilometer, kutipan sampah terkumpul mencecah lebih 100 kilogram (kg).

Kedengaran teruk, namun begitulah realiti yang disaksikan menerusi aktiviti mengutip sampah sambil berjogging atau plogging di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor pada Sabtu lalu.

Usaha murni oleh komuniti perumahan Suakasih Outdoor Quest (S.O.Q) dan Ploggers BTHO itu menjadi tular setelah ia dikongsi oleh seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM), Muhammad Aqil Muhammad Nizar, 20, menerusi Twitter.

ARTIKEL BERKAITAN: Berbasikal sambil kutip sampah, pengarah Matic terkilan face mask bersepah di ibu negara... kumpul-kumpul, siap eja ‘Merdeka’ - "Anggap macam rumah sendiri"

ARTIKEL BERKAITAN: Lupakan parti, pemuda kutip sampah 23 hari sempena hari lahir - “Orang cakap ini kerja paling hina... tak sangka ramai hon, tunjuk isyarat bagus”

Mesra disapa Aqil, dia mengakui kecewa apabila mengenangkan semula pelbagai sampah yang dibuang di tepi jalan termasuklah pelitup muka yang kini digunakan secara meluas akibat pandemik Covid-19.

"Penggerak utama program ini ialah Puan Rafidah, beliau merupakan kaunselor di Universiti Putra Malaysia (UPM) yang juga mak kepada kawan saya.

"Program Sabtu lalu merupakan penyertaan ketiga saya. Sangat kecewa sebenarnya. Kita selalu ingatkan orang ramai supaya menjaga kebersihan khususnya sewaktu Covid-19 sedang melanda.

Aqil gembira perkongsiannya di Twitter mendapat maklum balas positif netizen.

"Namun realitinya, pelitup muka dibuang merata-rata. Botol plastik, straw dan topi keledar pun ada," ujarnya kepada mStar.

Menurut penuntut bidang Perniagaan itu, dia terpanggil untuk berkongsi mengenai aktiviti yang dilakukan bersama sekitar 17 sukarelawan pada Sabtu lalu bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kebersihan alam sekitar.

Malah katanya, dia gembira apabila ramai warga Twitter menunjukkan minat mereka mengenai aktiviti itu sehingga dia dihujani pelbagai pertanyaan mengenainya.

Ada juga yang rasa kutip sampah ibarat merendahkan martabat diri. Sejujurnya saya tak rasa hina buat aktiviti ini.

AQIL

Rata-rata komen netizen di Twitter turut meluahkan rasa kecewa dengan sikap sesetengah pihak yang selamba membuang sampah di tepi jalan.

"Inisiatif plogging ni dah lama dilakukan. Saya cuba guna platform yang ada, cuba sebarkan kesedaran menerusi Twitter.

"Ternyata, Aqil terima banyak mesej. Ramai yang berminat. InsyaAllah selepas berakhirnya Covid-19, kami rancang untuk buat dalam skala besar secara serentak dari beberapa lokasi.

Aktiviti plogging yang disertai Aqil pada Sabtu lalu.

"Sekarang agak terbatas. Tapi boleh mulakan dari kawasan rumah sendiri. Plogging tak mahal, dengan kos bawah RM10 pun boleh buat," katanya lagi.

Dalam pada itu, Aqil berpendapat rakyat Malaysia perlu mengubah mentaliti mereka ke arah kesedaran menjaga alam sekitar.

"Mungkin ada dalam kalangan kita yang fikir sudah ada individu dibayar untuk kutip sampah di tepi jalan.

121 kg sampah berjaya dikutip Sabtu lalu.

"Ada juga yang rasa kutip sampah ibarat merendahkan martabat diri. Sejujurnya saya tak rasa hina buat aktiviti ini.

"Ia refleksi kepada diri kita semula, kena ingat bahawa alam ini dipelihara dengan baik dari awal dahulu, kenapa kita tak boleh jaga?

"Cuba bayangkan... kutip 700 meter dapat 121 kg, kalau kutip seluruh Selangor?" soalnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
plogging, kutip sampah tepi jalan,

Artikel Lain