SUAMI di Singapura manakala si isteri pula setia menunggu di Johor Bahru namun kedua-duanya 'bertemu' semula selepas lapan bulan terpisah dalam situasi berbeza dan sangat menyayat hati. Dalam pertemuan kali ini, si suami hanya dapat melihat sekujur tubuh isterinya yang sudah dikafankan pada Jumaat lalu. Momen sebak itu diceritakan, Nija Tahar anak kepada pasangan ini menerusi satu perkongsian di Facebooknya sehingga mengundang simpati netizen. ARTIKEL BERKAITAN: Cinta hingga nafas akhir! Anak sedar sesuatu selepas lihat bapa teresak, tak lepas peluk keranda ibu - “Mereka lupa suami yang bersamanya lebih 35 tahun” ARTIKEL BERKAITAN: Selepas meninggal lahir bayi kembar, barulah suami perasan isterinya berperangai pelik sejak awal pernikahan - “Tak sempat lihat anak sulung kami” Berdasarkan posting wanita itu di Facebook, ibunya, Saniah Arshad terpisah dengan bapanya yang juga warganegara Singapura disebabkan penutupan pintu sempadan negara sebagai usaha membendung penularan wabak Covid-19. Ayah Nija tidak dapat pulang ke Malaysia susulan penutupan pintu sempadan negara sebagai usaha membendung wabak Covid-19. Malah kata Nija, kali terakhir ibu bapanya bertemu adalah pada sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negara ini pada Mac lalu. "Setelah 241 hari mereka tak berjumpa, akhirnya mereka berjumpa kembali tapi dalam situasi yang berbeza. Kali terakhir mak jumpa ayah pada 17 Mac lalu. "Masa tu aku hantar ayah untuk kuarantin di Singapura memandangkan ayah adalah warganegara Singapura. Mak bye-bye ayah kat balkoni dengan menyimpan harapan bertemu kembali selepas dua minggu kuarantin dijalankan," tulisnya. Sejak hari itu Nija berkata harapan ibunya untuk berjumpa semula dengan bapanya selepas dikuarantin selama dua minggu tidak kesampaian. "Dari minggu ke minggu, bulan ke bulan, mak terus berharap untuk ayah pulang. Setiap kali video call, mak mesti menangis dan tanya bila ayah boleh balik. "Setiap kali tu kami akan pujuk mak suruh bersabar dan doa banyak-banyak. Sampailah di hujung-hujung hayat mak bila video call mak dah tak tanya lagi bila ayah nak balik," katanya. Gambar kenangan Nija (dua dari kiri) dan keluarga bersama ibunya semasa sambutan Aidilfitri pada Mei lalu. Bagaimanapun, Nija berkata ibunya ada memberitahu bapa mereka bahawa dia tetap akan setia menunggu kepulangan suaminya itu. "Mak cakap ‘Ani akan tunggu abang balik’ ayat tu sedikit melegakan ayah. Ayah cakap kat aku dengan harapan mudah-mudahan tahun baru nanti ada pelepasan pada orang macam ayah. "Ayah nak pulang jumpa mak. Ayah cakap tak dapat balik Singapore lagi sampai bila-bila pun tak apa. Ayah nak jaga mak. Tapi kami tak sangka mak akan pergi secepat ni," katanya. Ayah sangat tenang, dalam hati ayah hanya Allah je yang tahu tapi air mata ayah gugur melihat jasad mak. NIJA TAHAR Anak Menurut Nija lagi, ibunya menghembuskan nafas terakhirnya pada pagi Jumaat lalu. "Mak tak ada sakit tenat, mungkin mak tak nak susahkan semua orang. "Alhamdulillah mak pergi dengan tenang, di hari Jumaat, hari yang dia selalu idam-idamkan," katanya. Pada masa sama, Nija berkata dia cukup kagum dengan bapanya yang kelihatan tenang sebaik melihat jasad ibu mereka. Jenazah ibu Nija selamat dikebumikan pada Jumaat lalu. "Rindu antara mereka sangat mendalam. Aku sendiri tak pasti aku akan dapat lalui situasi macam mereka. "Ayah sangat tenang, dalam hati ayah hanya Allah je yang tahu tapi air mata ayah gugur melihat jasad mak. "Ayah kuat sebab ayah nak anak-anak dia sekuat dia dan terima takdir Allah. Tapi ayah, anak-anak ayah tak sekuat ayah," tulisnya. Lebih menyedihkan, Nija berkata bapanya menjalani kuarantin wajib selama dua minggu sejurus selepas pengebumian ibunya. "Semalam (Jumaat) selepas pengebumian mak, ayah terus dibawa kuarantin dua minggu. Aku tak dapat bayangkan keadaan ayah dan adik aku yang masih dikuarantin di Singapore. "Semoga mereka terus kuat dan tabah. Semoga Allah anugerahkan mereka kekuatan yang luar biasa. Cinta, kasih dan sayang mak dan ayah sangat luar biasa. "Semoga kami akan berjumpa mak semula di syurga. Kami sayang mak sampai syurga. Al-Fatihah," tulisnya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar! TONTON VIDEO PILIHAN!