suria

Wow! Inspirasi Sailor Moon, Harry Potter juga filem Marvel, gadis ID jadi ‘model’ karya sendiri – “Semua koleksi DIY ya!”

Syamimi menggayakan fesyen unik berinspirasikan lukisan Sailor Moon (kiri) dan Stark Tower (kanan). foto ihsan Syamimi Harni Zulkifli

BUKAN parti kostum, tetapi seorang gadis menarik perhatian netizen dengan penampilannya yang unik mengikut tema.

Dari karakter filem adiwira Marvel, anime Jepun Sailor Moon, filem fantasi Harry Potter hingga ke fesyen Inggeris, semuanya digayakan dengan penuh yakin bersama lukisannya.

"I dress like my art, we are a package. (Saya berpakaian seperti lukisan saya, kami umpama satu pakej)," tulisnya menerusi satu ciapan di laman Twitter sehingga menjadi tular.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai kagum lukisan pemuda ini ketika di Tingkatan 4, kehilangan 3 karya di kolej kekal misteri - "Teringin Bront Palarae, Remy Ishak jadi model... ada market"

ARTIKEL BERKAITAN: "Siap buat research, pasang target sebelum pergi ke Jepun" - Wow! Baru darjah 5, lukisan bakal animator jadi perhatian

Gadis berkenaan, Syamimi Harni Zulkifli berkata, lukisan-lukisan tersebut dihasilkannya sejak bekerja dari rumah sebagai pereka dalaman berikutan pandemik Covid-19.



Fesyen dan lukisan berinspirasikan filem Harry Potter.

Walaupun lukisan dihasilkan secara peribadi, tetapi karya itu boleh juga dijadikan sebagai hiasan untuk rekaan dalaman (ID).

"Saya tonjolkan watak bagi setiap lukisan yang saya hasilkan. Sekarang ni ramai yang berbakat dan boleh melukis, maka saya perlu lebih kreatif dan ada penjenamaan sendiri.

"Saya menggabungkan karya seni dan fesyen. Jadi, setiap penampilan mengikut karakter juga kesesuaian dan inspirasi lukisan tersebut," ujarnya yang berasal dari Alor Setar, Kedah.



Gaya ala Inggeris dengan lukisan bangunan ikonik Big Ben.

Mengenai empat lukisan yang tular itu, Syamimi berkata, lakaran Stark Tower daripada filem Marvel dan pakaian berinspirasikan karakter Sinthea Schmidt; karya bertemakan Harry Potter dengan busana berinspirasikan Slytherin iaitu salah satu empat rumah di sekolah ahli sihir Hogwarts, manakala lukisan Sailor Moon pula bersama kostum Pricess Serenity.

Sementara itu, katanya, lakaran bangunan ikonik Big Ben di London, United Kingdom itu digayakan bersama fesyen ala Inggeris berinspirasikan filem drama biografi Tolkien.



Syamimi gemar berfesyen.

"Saya memang suka berfesyen dari dulu. Teringin nak jadi model, tapi sebelum ni tak ada masa. Jadi sekarang ni saya jadi model untuk setiap karya seni saya.

"Tiada ikon fesyen yang diikuti, namun saya gemarkan fesyen, gaya dan penampilan dalam siri popular Emily in Paris dan filem Hollywood, The Devil Wears Prada.

Saya menggabungkan karya seni dan fesyen. Jadi, setiap penampilan mengikut karakter mengikut kesesuaian dan inspirasi lukisan tersebut

SYAMIMI HARNI ZULKIFLI

"Saya mahu setiap karakter yang saya bawa dihidupkan menerusi gaya, aksi dan pemakaian saya. Oh ya, semua busana adalah koleksi saya dan DIY (buat sendiri) ya!" ujar graduan Ijazah Sarjana Muda Senibina di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak itu.

Menurut anak bongsu daripada dua beradik itu, dia akan meneruskan konsep berkenaan bagi mengekalkan penjenamaannya dan mempromosikan karya seninya di pasaran.



Pereka dalaman yang gemar berfesyen dalam karya seninya.

Malahan, Syamimi turut berkongsi rancangannya pada masa akan datang untuk melakukan konsep yang sama tetapi bertemakan Malaysia dan negeri-negeri.

"Maksudnya, saya akan membuat lakaran mengenai sesuatu yang melambangkan sesebuah negeri di Malaysia dan kemudian saya akan memakai baju budaya dari negeri itu.

"Contohnya, kalau saya hasilkan lukisan mengenai Kedah, saya sendiri akan menjadi model bergambar dalam persalinan baju kurung Kedah bersama lukisan tersebut.

"Jadi, konsep ini bukan sekadar tentang filem atau karakter semata-mata, tetapi juga boleh menonjolkan budaya di Malaysia menerusi pendekatan seni yang unik," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain