suria

Hampir 2 tahun stok baju kurung masih tak laku, ibu pula dijemput ilahi... pesanan arwah suntik semangat anak sulung, pastikan bisnes bundle jadi kenyataan!

(kiri) Arwah ibu Nurul yang semasa terlantar di hospital. (kanan) Nurul berusaha untuk menghabiskan stok baju kurung.

DUGAAN dan ujian itu ada di mana-mana, bila-bila masa. Malah, sebelum pandemik Covid-19 lagi sudah ada yang terkesan dengan kesulitan.

Hampir dua tahun berniaga secara kecil-kecilan, stok baju kurung yang mahu dijual gadis ini masih belum habis meskinpun pelbagai cara dilakukannya.

Berkongsi kisah itu, gadis berkenaan, Nurul Sabrina Abdul Rahim berkata, dia mula berniaga pada 2018 selepas tamat pengajian di Kolej Vokasional Kemaman di Terengganu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak ada duit sambung belajar, pemuda balik kampung dan buka kedai kopi dalam bilik tidur... kini harapkan rezeki di lorong belakang

ARTIKEL BERKAITAN: Sepatutnya gembira bisnes 'kencang' selepas diberhentikan kerja, anak terkejut ibu sedih dapat tahu tweet promosi pastri blow up

Peniaga berusia 22 tahun itu memberitahu, dia memberanikan diri untuk mengambil stok 80 pasang baju kurung dengan harapan hasil jualan dapat meringankan beban keluarganya.

"Tapi hampir dua tahun berniaga, stok masih tak habis. Daripada 80 pasang, masih ada baki 30 pasang. Hendak diikutkan, saya target habis jual semua dalam tempoh setahun.

"Tahun ini ada pandemik Covid-19 yang beri kesan kepada peniaga, dan tahun lalu pula saya banyak memberi tumpuan untuk menjaga ibu yang sakit," katanya kepada mStar.



Lambakan stok baju kurung yang dijual Nurul. Foto ihsan Nurul Sabrina Abdul Rahim

Lebih mesra disapa Nurul, katanya, ibunya dimasukkan ke hospital selama dua bulan dan sepanjang tempoh itu dia berulang-alik dari rumah untuk menjaga ibunya.

"Pada masa sama, saya kena jaga adik-adik yang masih bersekolah. Saya ambil dan hantar mereka dan sediakan persiapan untuk keluarga sebab ibu sakit.

"Jadi, saya tak ada masa untuk berniaga ketika itu. Ibu dan keluarga lebih memerlukan perhatian saya," ujar anak sulung daripada lima beradik itu.

Namun, lepasan graduan Diploma Pengurusan Perniagaan itu memberitahu, ibunya dijemput Ilahi pada usia 49 tahun, April 2019 akibat penyakit berkaitan jangkitan kuman.



Kenangan... Nurul (kanan) bersama arwah ibu pada majlis konvokesyennya.

Walaupun bersedih dengan pemergian itu, Nurul berpegang dengan nasihat arwah ibu yang selama ini banyak memberi sokongannya untuk berniaga.

"Sebelum ibu sakit, arwah yang banyak sokong saya. Malah, ibu juga membantu saya dengan memperkenalkan baju-baju kurung itu kerana rakan-rakannya.

"Arwah ibu berpesan, walau apa keadaan sekalipun, jangan sesekali berputus asa. Teruskan berniaga, insyaAllah ada rezeki menanti," kata anak kelahiran Kuantan, Pahang itu.

Arwah ibu berpesan, walau apa keadaan sekalipun, jangan sesekali berputus asa. Teruskan berniaga, insyaAllah ada rezeki menanti

NURUL SABRINA ABDUL RAHIM

Disebabkan nasihat arwah ibu, dia sanggup bertahan sehingga kini meskipun mempunyai rancangan untuk berniaga pakaian bundle (terpakai).

"Saya berhasrat untuk jual baju bundle sebab harganya lebih murah dan ada banyak permintaan di pasaran. Tapi saya perlu habiskan stok baju kurung untuk modal pusingan.

"Nak tak nak, saya kena teruskan jual baju kurung ni sampai habis stok. Macam arwah ibu kata, jangan putus asa," tambahnya.



Nurul mahu menjadi usahawan yang berjaya.

Nurul yang baru bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat di Kuantan berkata, bisnes merupakan bidang yang amat diminatinya sejak kecil.

"Dari sekolah rendah, saya dah jual macam-macam coklat, alat tulis dan kawan-kawan sekolah jadi pelanggan saya. Masuk sekolah menengah, saya jual top up prepaid.

"Alhamdulillah, selepas posting saya yang tular tu sudah ada yang mahu membeli baki baju kurung dalam simpanan. Saya tak sabar untuk berniaga baju bundle selepas ini," katanya yang berharap untuk menjadi usahawan yang berjaya pada masa akan datang.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain