suria

Tertidur ketika kelas online, bapa pula buat ‘onar’ sampai kena perli... yang pasti minta maaf pada guru - “Dugaan duduk rumah memang banyak...”

Zaim menjadi bahan usikan keluarga selepas bapanya menghantar gambarnya yang tertidur ketika kelas online di dalam Whatsapp Group.

SEJAK pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia bermula penghujung tahun lalu, pelbagai aktiviti dalam kehidupan seharian turut berubah 360 darjah.

Contohnya dalam bidang pendidikan, di mana pada ketika ini sesi pembelajaran dilaksanakan secara dalam talian (online).

Pastinya kaedah ini sedikit sebanyak mempunyai cabaran tersendiri baik daripada pihak tenaga pengajar mahupun pelajar sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Tugasan kelas online je tapi siswi UiTM cabar diri edit video ala-ala filem Enola Holmes, hasilnya memang wow! - “Keseronokan belajar dah tak ada, degree life juga...”

ARTIKEL BERKAITAN: Geramnya! Pelajar ‘pasrah’ dapat kucing minat laptop, digigit-gigitnya skrin sewaktu kelas online

Bagi pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Zaim, dia mengakui antara cabaran terbesar yang dihadapinya adalah 'diri sendiri'.

Terdahulu, Zaim berkongsi sekeping gambar memaparkan perbualan WhatsApp Group keluarganya di Twitter, di mana dia menjadi bahan usikan gara-gara bapanya menghantar gambar dirinya tertidur ketika sedang mengikuti kelas online.



Bapa Zaim bergurau dengan menangkap gambarnya tertidur ketika sedang mengikuti kelas online dan menghantarnya ke dalam Whatsapp Group keluarga.

Sehingga kini perkongsian tersebut meraih sehingga 11,500 retweet dan 30,900 likes.

Menurut Zaim yang merupakan pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah berasrama penuh di Selangor, ketika itu dia sedang mengikuti kelas online untuk mata pelajaran Biologi.

"Sebenarnya, malam sebelum itu saya tidur agak lewat... selalu kalau dekat asrama, pukul 12 malam dah tidur. Kebetulan keesokannya kelas Biologi yang bermula pukul 8.30 pagi.

"Saya masuk kelas tapi sekejap saja dah ke 'alam lain'. Sedar-sedar, dah masuk kepada kelas seterusnya iaitu Matematik Tambahan pada pukul 9.30 pagi.



Zaim (kanan) merupakan seorang pelajar di sebuah sekolah berasrama penuh di Selangor.

"Bila duduk di rumah, suasana lain sikit. Ada hari terasa segar, tapi hari itu rasa susah sangat nak buka mata. Tak sangka pula ayah saya ambil gambar dan post dekat WhatsApp Group famili, siap buat lawak lagi nak perli," katanya.

Anak sulung daripada tiga beradik ini berkata, tindakannya memuat naik posting berkenaan hanya bertujuan untuk berkongsi kisah lucu dengan rakan-rakan serta pengikutnya.

Ayah tahu kami belajar, hanya ada ketikanya saja terlalu mengantuk. Itu pun ayah bergurau, selepas itu dia kejutkan saya.

ZAIM

PELAJAR

"Tak sangka pula viral... ayah pun cakap, ini silap hari bulan ada yang nak interview (wawancara). Ramai yang bagi komen lucu-lucu.

"Tapi ada yang salah faham perbualan ibu saya dekat WhatsApp Group tu, mereka sangka panggilan 'Baby' untuk saya, padahal ibu tujukan kepada adik saya. Saya dah jelaskan di Twitter tapi ada yang usik lagi.

"Ada juga yang kata, kalau ayah dia, dah lama kena rotan sebab tidur masa belajar. Bagi saya, setiap bapa ada cara masing-masing. Bapa saya seorang yang sangat cool, memahami anak-anak, sporting dan suka bergurau.

"Ayah tahu kami belajar, hanya ada ketikanya saja terlalu mengantuk. Itu pun ayah bergurau, selepas itu dia kejutkan saya," ujarnya yang merupakan pelajar jurusan Sains Tulen.



Tangkap layar perbualan Whatsapp keluarga Zaim (kiri), dan tangkap layar perbualan Zaim yang meminta maaf daripada gurunya (kanan).

Tambah Zaim, dia juga mengambil pendekatan memohon maaf kepada gurunya kerana tidak sengaja tertidur ketika kelas berlangsung.

"Dah setengah tahun belajar online, dugaan duduk rumah memang banyak, ada saja benda yang mengganggu tumpuan. Suasana pun lain... bila tak 'face to face', senang saja 'lepaskan diri' sebab guru tak nampak.

"Pendek kata, atas diri kita sendiri... kena bersemangat. Kalau tak, memang tertidurlah jawabnya.

"Tapi kalau tertidur, pandai-pandai la 'catch-up' semula dengan bertanya kawan-kawan. Lagi satu, minta maaf kepada guru, jangan buat tak tahu saja," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain