suria

Dituduh minta bayaran urus jenazah pesakit Covid-19, Abam Botak kata waris juga dapat video dan gambar - “Semua percuma, minta sediakan tanah kubur saja”

Abam Botak menawarkan perkhidmatan pengurusan jenazah secara percuma sejak 2018.

DI saat keluarga waris pesakit Covid-19 sedang berduka, ada pula pihak tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan atas kesedihan itu.

Pihak terbabit dipercayai memaklumkan kepada waris salah seorang pesakit Covid-19 di Sandakan, Sabah bahawa mereka perlu membayar sebanyak RM2,000 untuk proses pengebumian jenazah.

Perkara itu bagaimanapun mendapat perhatian seorang aktivis masyarakat, Abam Botak yang lantas menepis dakwaan tidak berasas itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Baru nak solat sunat Aidilfitri, diminta urus jenazah... Abam Botak terkilan kenang mayat dibungkus dengan plastik, disirami hujan

ARTIKEL BERKAITAN: Menangis urus jenazah pesakit Covid-19 di Sabah, dalam bersedih tak boleh sikit pun silap langkah - “Kalau tak buat, siapa lagi nak bantu?”

"Sebaik mengetahui perkara itu memang saya terkejut dan terkilan. Tiba-tiba ada orang tuduh kita ambil duit sedangkan kita sanggup bahayakan diri dan berpanas pakai pakaian pelindung diri (PPE).

"Dakwaan itu tidak benar sama sekali dan agak keterlaluan. Saya tidak ada menerima atau mengambil wang sedikit pun daripada waris. Inilah kerja orang tengah yang cuba ambil kesempatan atas kesedihan waris, ” katanya kepada mStar.



Yunizam sedia membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira batas agama.

Menurut Abam Botak atau nama sebenarnya Yunizam Yusop, mereka menyediakan perkhidmatan pengurusan jenazah kepada sesiapa saja secara percuma.

"Umum mengetahui saya menyediakan perkhidmatan ini sejak sebelum wabak Covid-19 lagi. Semuanya kami urus secara percuma daripada proses tayamum, kafan, pengangkutan dan bacaan tahlil di tanah perkuburan.

Sebaik mengetahui perkara itu memang saya terkejut dan terkilan. Tiba-tiba ada orang tuduh kita ambil duit sedangkan kita sanggup bahayakan diri dan berpanas pakai pakaian pelindung diri (PPE).

YUNIZAM YUSOP

Pemilik van jenazah percuma Abam Botak

"Begitu juga kematian melibatkan pesakit Covid-19, sama ada mereka rakyat Malaysia atau sebaliknya, tidak ada bayaran sesen pun yang dikenakan kepada waris. Kami hanya minta waris sediakan tanah perkuburan saja," katanya.

Justeru Abam Botak menggesa orang ramai supaya tidak terpedaya dengan modus operandi itu.

"Sekiranya terdapat pihak yang mengenakan bayaran terhadap pihak waris sila buat laporan polis dengan segera. Saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk siasat perkara ini.



Yunizam dan anak buahnya perlu berhati-hati untuk mengelakkan risiko dijangkiti.



"Saya juga ingin menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan berita, cerita ataupun maklumat yang tidak sahih agar tidak timbul kekeliruan dalam kalangan masyarakat," katanya.

Mengenai pengebumian jenazah pesakit Covid-19, Abam Botak mengakui proses tersebut amat mencabar.

"Memang lebih mencabar, bila salah step boleh kecundang iaitu berisiko dijangkiti. Jadi kami perlu lebih berhati-hati dalam setiap langkah.

“Walaupun bentuk muka bumi di Sabah berbeza, ada tanah perkuburan diatas bukit, niat kami hanya satu... selesaikan jenazah dengan segera, ” katanya.

Dalam pada itu, Abam Botak berkata pihaknya turut mengambil video dan gambar jenazah untuk titipan waris keluarga.



Yunizam dan anak buahnya menguruskan jenazah 55 pesakit Covid-19 setakat ini.

"Kalau saya ditempat famili terbabit, pasti nak jadi orang yang uruskan jenazah tapi prosedur operasi standard (SOP) tidak membenarkan waris terlibat.

"Jadi sebagai tatapan waris kami sediakan video dan gambar dari A to Z secara percuma. Idea itu timbul sebab pernah sekali waris merayu minta ambil gambar dan video kerana sudah lama tidak bertemu arwah.

“Kami akan buat ikut permintaan waris. Alhamdulillah semua mahu. Jadi bila saya post di media sosial, satu saya suka... orang ramai akan mendoakan kesejahteraan arwah," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain