DUA bulan ditugaskan ke Sabah, antara negeri yang paling terjejas teruk gara-gara pandemik Covid-19, kini doktor wanita ini akhirnya kembali ke pangkuan keluarga. Apa yang pasti, kepulangan tersebut turut membawa 1001 pengalaman yang tidak dapat dilupakan olehnya sepanjang 10 tahun berkecimpung dalam bidang perubatan. Merangkumkan serba ringkas kisah suka dukanya di Facebook, perkongsian tersebut sehingga kini meraih lebih 1,100 shares selain dibanjiri ratusan komen. ARTIKEL BERKAITAN: Ditugaskan ke Semporna, doktor berpengalaman kini bertahan... tidak mahu tumbang di ‘TheLittleWuhan’- “Saya tak setanding doktor-doktor muda di sini” ARTIKEL BERKAITAN: “Kami ni buta, jika Covid besar bangunan tetap tak nampak” - Doktor terdiam ditanya saiz Covid-19 dalam satu majlis, cemburu mata hati OKU penglihatan Menurut Dr Atfina Ibrahim yang ditugaskan di Jabatan Kecemasan Hospital Semporna, rutin hariannya bersama petugas kesihatan yang lain begitu padat sejak tiba di pekan itu pada 25 September lalu, apatah lagi ketika itu musim pilihan raya negeri (PRN). "Penduduk penuh di mana mana. Penjarakkan sosial? Maaf laa. Oh baru aku sedar apabila melihat poster di tampal merata-rata, bendera di mana-mana. Kereta di jalan penuh. Jem sepanjang perjalanan pulang ke bilik. Bertahan la. Anda tahu apa yang bakal terjadi seterusnya. "Bermula la episod #thelittleWuhan dalam rutin harian aku. Oncall di hari minggu. 24 jam active call di kecemasan. Full set PPE sepanjang masa," demikian antara coretan doktor berkenaan. Dr Atfina ditugaskan di Jabatan Kecemasan Hospital Semporna, Sabah. Dr Atfina merupakan salah seorang doktor yang diterbangkan ke Sabah untuk pasukan bantuan Covid-19. Dia sebelum ini pernah berkongsi pengalamannya bertugas di Semporna atau digelar #thelittlewuhan, merujuk kepada pusat bermulanya pandemik Covid-19 di China, penghujung tahun lalu. Berdepan pesakit yang datang silih berganti, doktor ini berkata dia paling tidak boleh melupakan perngalaman merawat pesakit kanak-kanak yang dijangkiti virus berkenaan. "Pengalaman yang terkesan apabila melihat kanak kanak positif Covid-19 datang pada tahap 4 dan 5. Mereka hanya insan kecil yang tidak berdosa," katanya kepada mStar. Sebahagian perkongsian Dr Atfina mengenai suka duka pengalamannya sewaktu ditugaskan ke Sabah, bermula hujung September lalu. Mengakui cabaran yang dihadapinya dan petugas kesihatan lain bukanlah calang-calang, bagaimanapun doktor ini berkata dia meletakkan keutamaan pesakit di tangga teratas, sekalipun ada kalanya semangat turun merudum. "Alhamdulillah sepanjang tempoh mobilisasi saya tiada simptom Covid-19. Tipu saya katakan jika kesihatan emosi tidak terjejas langsung. Apabila berjauhan dari keluarga dan rakan-rakan akan ada pada satu ketika saya agak rasa down. "Tapi yang membuatkan saya terus kuat adalah niat untuk membantu. Rawatlah mereka seperti ibu bapa sendiri. Buat yang terhabis baik yang kita mampu," ujarnya yang kini baharu selesai menjalani kuarantin selepas tiba di Semenanjung. Pengalaman yang terkesan apabila melihat kanak kanak positif Covid-19 datang pada tahap 4 dan 5. Mereka hanya insan kecil yang tidak berdosa. DR ATFINA IBRAHIM DOKTOR Tambah Dr Atfina, ketika bertugas di Sabah, dia bukan sahaja merawat pesakit Covid-19, malahan kes-kes kecemasan bukan berkaitan virus itu yang juga tidak kurang bilangannya. "Termasuk merawat pesakit bukan warga negara. Peringatan dan pengajaran untuk diri saya sendiri, rawatlah mereka sebaik mungkin. Mungkin ada satu waktu kita terlalu penat tapi ingatlah itu adalah tanggungjawab. Kerja kita adalah satu ibadah," katanya. Dalam pada itu, Dr Atfina tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewa apabila wujud segelintir pihak yang mengambil ringan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang menyaksikan pertambahan kes saban hari. Imej sinar-x seorang pesakit Covid-19 tahap 5 yang dikongsikan Dr Atfina di Facebook. "Sangat kecewa dengan sikap beberapa pihak yang ambil mudah SOP baru. Saya sendiri tidak sanggup sekiranya perkara yang sama berlaku lagi seperti di Sabah. "Tolong jangan sia-siakan usaha kami selama ini. Cukup la untuk menidakkan kewujudan Covid-19 ini. Cukuplah dengan spekulasi agenda Yahudi dan kini isu vaksin. "Terapkan norma baru dalam hidup kita. Bukan hanya untuk diri sendiri tapi untuk keluarga kita. Untuk masyarakat dan komuniti. Jangan sudah terhantuk baru terngadah," katanya lagi. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!