MEREKA yang dijemput Ilahi pasti akan melalui fasa pengurusan jenazah untuk dikebumikan, sebelum menuju perjalanan terakhir untuk menghadap Pencipta. Berdepan fasa ini, pengurusan jenazah yang dipermudahkan amat diharapkan oleh ahli keluarga si mati, termasuk pihak yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakannya sehingga dikebumikan. Pelbagai cerita mengenai jenazah sering diceritakan dalam kalangan masyarakat, seperti wajah tenang dan tersenyum, berseri-seri malah ada yang seperti bercahaya. ARTIKEL BERKAITAN: Rezeki urus 3 jenazah, punca kematian berbeza tapi semuanya tersenyum! Ustaz tercari-cari jawapan wajah tenang berdepan maut ARTIKEL BERKAITAN: Sumbang dana tertinggi projek urus jenazah, kongsi 'posting' persiapan ke kubur... tak lama kemudian lelaki ini meninggal dunia Menerusi satu kisah seumpamanya, satu jenazah lelaki dewasa telah disempurnakan oleh Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SJPM) di Hospital Serdang, Selangor, pagi Isnin. Jenazah diuruskan oleh SPJM bersama ahli keluarga arwah. Berkongsi pengalaman kepada mStar, Pengerusi SPJM, Muhammad Rafieudin Zainal Rasid berkata, arwah meninggal dunia akibat komplikasi jantung, awal pagi Isnin. Menurut beliau, berlaku satu kejadian terhadap jenazah yang dimandikan. "Sepanjang memandikan jenazah, jari telunjuknya sedikit pun tidak berubah seolah-olah sedang bersyahadah. "Alhamdulillah, jenazah diuruskan bersama ahli keluarga dan anak arwah sendiri," katanya mengenai antara tanda pengakhiran seorang manusia yang cukup mulia. Keadaan itu digambarkan seperti arwah mengangkat jari telunjuk ketika mengucap dua kalimah syahadah semasa solat. Waris sedang melihat jenazah buat kali terakhir. Tanpa mengulas terperinci mengenai latar belakang jenazah, beliau yang dikenali sebagai Ustaz Rafie memberitahu arwah merupakan bapa kepada seorang anak dan mudah mesra. "Menurut sumber, arwah memang seorang yang amat disenangi ramai," katanya. Alhamdulillah, jenazah diuruskan bersama ahli keluarga dan anak arwah sendiri. MUHAMMAD RAFIEUDIN ZAINAL RASID Beliau berkata, apa yang lebih menguntungkan adalah solat jenazah dipimpin oleh satu-satunya anak lelaki arwah. "Arwah ada anak lelaki itu sahaja, usianya mungkin sekitar 14 tahun. Memang sepatutnya anak lelaki yang menjadi imam solat jenazah ibu dan ayahnya. "Ini kerana inilah jasa terakhir kepada mereka di atas dunia ini," ujarnya yang berpengalaman dalam pengurusan jenazah selama 16 tahun. Jenazah dibawa ke Masjid Abu Hurairah untuk pengebumian. Menurut Ustaz Rafie, jenazah dibawa ke Masjid Abu Hurairah di Kampung Batu di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur dan selamat dikebumikan berdekatan kawasan itu, pagi Isnin. "Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Amin," katanya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!