PEPATAH mengatakan, anak-anak ibarat kain putih dan ibu bapalah yang bertanggungjawab mencorakkannya. Bagaimanapun setiap ibu bapa pasti mempunyai cara tersendiri dalam mendidik anak masing-masing. Namun dalam menerapkan asuhan dan didikan, tidak ramai ibu bapa yang menyedari bahawa ada sesetengah perkara yang 'dinormalisasikan' sejak kecil sebenarnya boleh mengundang kesan negatif kepada anak-anak, sebagaimana perkongsian seorang doktor ini. ARTIKEL BERKAITAN: Selalu riuh di klinik ambil ubat, mesranya pasangan warga emas bagai baru semalam jatuh cinta... satu hari jenuh doktor mencari, tiada lagi kelibat si isteri - “Ubat habis, saya dah janji” ARTIKEL BERKAITAN: Dimaki bodoh kerana rujuk buku, ibu pesakit dapat jawapan padu doktor... sudahnya dapat surat tunjuk sebab! - “Jimat masa, kurangkan human error” "Jika anak terjatuh sendiri, kemudian menangis. Kadang-kadang kita (ibu bapa) pukul lantai tu untuk pujuk anak, seolah-olah lantai tu salah. 'Siapa buat? Lantai ni ye. Hah, pukul dia, berani dia buat kaki adik, ya'. "Anak pun ikut pukul kaki lantai tu. Memang mujarablah, anak akan terus berhenti menangis. Sebab itu ramai ibu bapa guna cara ni. Sebenarnya cara ni salah. "Cara ini akan ajar anak untuk fokus pada masalah dan salahkan masalah sepenuhnya. Dalam tidak sedar kita ajar dia mencari kambing hitam untuk dimarahi dan dipersalahkan," tulis Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan dalam satu perkongsian di Facebook. Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan banyak membuat perkongsian di Facebook mengenai hal ehwal semasa, kekeluargaan, kanak-kanak dan juga pengalamannya sebagai petugas kesihatan. Menghuraikan lebih lanjut, Dr Kamarul berkata amalan yang dibiasakan ini secara tidak langsung akan mendorong anak-anak untuk menyalahkan pihak lain walaupun ia adalah disebabkan kesalahan sendiri. "Bila dia buat kerja sekolah susah sikit, dia akan cepat mengalah dan salahkan kerja sekolah tu yang terlalu susah mahupun terlalu banyak. "Bila dia terjatuh basikal sekali, terus dia kata basikal yang tak betul. Jalan raya tak betul. Orang lain tolak dia. "Setiap kali dia gagal buat sesuatu, dia akan menyalahkan dan meletakkan tanggungjawab pada orang atau benda lain. Dia tak pernah salah. "Bila anak dah masuk sekolah nanti, kita akan nampak satu-satu kelemahan anak muncul ekoran dari didikan begini. Masa tu kita akan menyesal. Sukar nak ubah," terangnya. Ibu bapa dinasihatkan untuk mengubah kebiasaan ini dan mengajar anak mereka untuk fokus kepada solusi. Gambar hiasan Justeru doktor ini menyarankan agar ibu bapa mengubah sepenuhnya pendekatan tersebut dan mengajar anak-anak supaya tidak mencari kesalahan 'pihak lain'. "Macam mana anak nak berjaya dalam hidup jika dia tak pernah terima kelemahan diri, bertanggungjawab atas perbuatan dia dan usaha untuk perbaiki diri. Mohon jangan ulang cara itu. "Ajar anak supaya nampak kesilapan sendiri dan ajar cara yang betul untuk dia mengelakkan kesilapan itu daripada berulang. Ajar anak fokus pada solusi bukan masalah," tulisnya. Sehingga kini posting tersebut meraih 1,100 perkongsian di Facebook. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!