suria

Usia 28 tahun, tiada masalah kesihatan tapi dikejarkan ke zon merah... yang pasti 14 batang rokok sehari! - “Seolah-olah faham, anak yang diriba tiba-tiba menangis”

Keadaan pesakit yang dirawat di hospital. -gambar hiasan/Foto AP

WALAUPUN usia muda dan tidak mempunyai masalah kesihatan, tak bermakna seseorang itu sihat sepenuhnya.

Benarlah kata pepatah bahawa mencegah itu lebih baik daripada mengubati.

Berusia 28 tahun, seorang pesakit terpaksa dikejarkan ke zon merah di sebuah hospital selepas mengalami sakit dada sebelum tidak sedarkan diri.

ARTIKEL BERKAITAN: Semasa cucuk jarum doktor tak rasa apa pun, sampailah ada garam di wad bersalin... terbongkar kisah 'ulek mayang' pesakit - "Terbayang mata terbeliak, kain kuning di perut"

ARTIKEL BERKAITAN: Anak pesakit datang hospital buat kejutan, doktor semakin sedar kematian sangat dekat dengan manusia

Di zon merah, dada pesakit lelaki itu ditekan dengan kaedah cardiopulmonary resuscitation (CPR).

"Masing-masing sudah tahu apa patut buat. Bagaikan refleksi, nyawa pesakit perlu diselamatkan dalam masa yang singkat. Bagi saya ETT (Tiub Endotrakeal)," tulis Dr Ahmad Samhan Awang di laman Facebook beliau.



Dr Ahmad Samhan.

Menurut doktor berusia 34 tahun itu, nadi pesakit berkenaan diperiksa dan CPR dilakukan berulang kali.

"Selang setiap dua minit, nadi akan diperiksa dan penekan dada bertukar," ujar Dr Ahmad Samhan yang berpengalaman bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Tambah Dr Ahmad Samhan, pesakit yang terbaring di katil zon merah itu tidak mempunyai masalah kesihatan.

"Dia seorang perokok, sehari 14 batang."

Pesakit masih tidak sedarkan diri setelah diberi rawatan dan keadaan itu berlarutan hampir setengah jam selepas diberikan resusitasi (kaedah rawatan untuk memulihkan seseorang yang hampir maut kerana lemas atau serangan jantung).



Seorang pesakit menemui ajalnya. fot Facebook Ahmad Samhan

Bagaimanapun, tiada tanda-tanda respons yang ditunjukkan pesakit sehingga pakar mengarahkan beliau memaklumkan kepada keluarga pesakit.

Seorang wanita sedang duduk di ruang menunggu bersama seorang anak yang diribanya, manakala seorang lagi tertidur dengan kepala di paha wanita itu.

"Puan isteri kepada En A? Ya, saya.

"Saya Dr Samhan. Kami dah cuba sebaik mungkin tapi Allah lebih menyayangi suami puan. Kami minta maaf," kata Dr Ahmad Samhan.

Ingat, kita ada isteri yang perlu kasih sayang seorang suami, ada anak kecil yang dahagakan kasih sayang seorang ayah dan ada ibu ayah yang rindukan kehadiran seorang anak.

DR AHMAD SAMHAN AWANG

Menurut beliau, wanita itu kelu tidak terkata ketika menerima perkhabaran sedih mengenai suaminya.

"Anak yang diriba tiba-tiba menangis seolah-olah faham apa yang telah terjadi pada ayahnya," katanya.



Perkongsian Dr Ahmad Samhan di Facebook.

Sehubungan itu katanya, jika dahulu, serangan sakit jantung sinonim dengan orang tua tapi kini orang muda pula semakin ramai diserang penyakit itu.

"Malahan, yang diserang tak pernah ada sakit jantung dan aktif bersukan. Mungkin cara hidup, pemakanan dan tabiat merokok menjadi punca utama.

"Benar, untuk ubah cara hidup dan berhenti merokok bukan sesuatu yang mudah. Bukan tak mahu berhenti. Dah berkali cuba tapi gagal. Terus kecewa dan berhenti untuk cuba lagi.

"Tapi ingat, kita ada isteri yang perlu kasih sayang seorang suami, ada anak kecil yang dahagakan kasih sayang seorang ayah dan ada ibu ayah yang rindukan kehadiran seorang anak.

"Kita perlu korbankan rasa kecewa untuk cuba terus berhenti merokok. Kita perlu korbankan rasa ketagih pada rokok. Kita perlu berkorban demi mereka. Berkorbanlah sebelum kita terkorban!" katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain