suria

Suami dipanggil bekerja ketika usia perkahwinan genap setahun, usia anak 44 hari! Selat Tebrau saksi ‘pertemuan emosi’ dengan isteri - “Tiga kali ‘hujan’ petang tu”

Aisya bersama anak 'bertemu' suaminya di tepi Selat Tebrau. -foto ihsan Aisya Khayrul

BUKAN mudah menjalinkan hubungan jarak jauh, hanya orang yang kuat semangat sahaja yang mampu mengharungi dugaan itu.

Sukarnya rasa apabila rindu mula menebal kerana berjauhan, terutama dengan penutupan pintu sempadan Malaysia-Singapura sejak pandemik Covid-19.

Menerusi satu video, dapat dilihat satu 'pertemuan' yang menyentuh emosi selepas Selat Terbrau sebelum ini menjadi pemisah kepada sepasang suami isteri.

ARTIKEL BERKAITAN: "Mana awak?" - Terkandas di Singapura, ramai beremosi lihat kegigihan lelaki ini nak 'bertemu' anak isteri di Malaysia... terima kasih adik beri idea!

ARTIKEL BERKAITAN: Langsung tak cam! Momen selepas ibu tak kenal anak datang beli nasi lemak digerainya gara-gara 9 bulan terpisah buat ramai emosi

Si isteri melihat baju putih yang dikibarkan suaminya dari jauh di satu lokasi di Singapura, manakala panggilan video membolehkan suami menyaksikan isteri dan anaknya yang berusia lima bulan yang berada di Johor Bahru, Johor.



Aisya (kiri) dan suami berkahwin selama satu tahun empat bulan.

Wanita berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Aisya Khayrul memberitahu, 'pertemuan' itu dibuat pada Selasa, selepas empat bulan suaminya kembali bertugas di Singapura.

Wanita berusia 26 tahun itu berkata, suaminya, Shah Fardaus, 27, bekerja di negara Republik itu sejak lima tahun lalu dengan berulang-alik dari Johor Bahru setiap hari.

"Namun, pintu sempadan negara terutama Malaysia-Singapura ditutup sejak Mac lalu akibat pandemik Covid-19. Ketika itu saya sedang hamil anak pertama.

"Jadi, suami ambil keputusan untuk mengambil cuti tanpa gaji menjaga dan berada di sisi saya sehingga bersalin kerana bimbang sukar untuk bertemu kerana tempoh dan kos kuarantin yang perlu ditanggung," katanya kepada mStar.



Suami Aisya (kanan) ketika berangkat ke Singapura pada 18 Ogos 2020.

Aisya yang berasal dari Johor Bahru berkata, dia bersalin pada awal Julai lalu sebelum suaminya diminta untuk kembali bertugas di Singapura pada Ogos.

"Masa suami dapat panggilan yang memintanya masuk bekerja di Singapura, genap ulang tahun perkahwinan kami yang pertama dan bayi berusia 44 hari pada 17 Ogos lalu.

Hati saya berbunga-bunga macam first date dengan suami, cuma kali ini bersama anak. Saya nervous!

AISYA KHAYRUL

"Betul-betul genap 44 hari saya selesai berpantang. Esoknya suami ke Singapura untuk mula bekerja dan tempat tinggal disediakan oleh majikan," katanya sambil menambah suaminya bekerja sebagai pemandu lori.

Menurut wanita itu, pada awalnya suaminya tinggal di rumah sewa di Punggol di tengah Singapura sebelum berpindah ke lokasi baharu dekat Woodlands, baru-baru ini.



Suami membantu menjaga anak sepanjang tempoh Aisya berpantang.

"Lokasi Woodlands menghadap Johor Bahru, sementara tempat kerja lama saya pula di Johor Bahru dekat Stulang yang menghadap Singapura.

"Sejak suami berpindah ke Woodlands, dia akan ke tepi Selat Tebrau untuk buat panggilan video dengan saya dan anak. Sebab itulah kami merancang untuk 'bertemu' di tepi Selat Tebrau, saya di Johor Baharu dan suami di Woodlands," tambahnya.

Pada mulanya, Aisya mengakui berasa amat teruja saat tiba di lokasi yang dirancang untuk membuat panggilan video bersama suaminya, kira-kira pukul 4 petang.

"Hati saya berbunga-bunga macam first date dengan suami, cuma kali ini bersama anak. Saya nervous! Bila nampak baju putih yang dikibarkan suami dari jauh, saya sebak.

"Terbayangkan anak yang masih kecil tak ada ayah di sisi, dan fikirkan suami yang berjauhan tidak dapat melihat anak membesar depan mata," katanya.



Aisya berharap pandemik segera berakhir bagi menjalani kehidupan berkeluarga seperti biasa.

Tambah Aisya, selepas 'pertemuan' itu hujan mula turun membuatkannya bergegas masuk ke dalam kereta untuk berteduh.

"Masa buat video call tu saya okay lagi, dah masuk kereta tu saya menangis. Anak pula kemudian meragam dan menangis. Memang tiga kali 'hujan' petang tu.

"Semoga pandemik Covid-19 ini berakhir dengan segera untuk mempertemukan semula saya, suami dan anak. Suami kata balik nanti nak saya masak kari kambing untuk dia," katanya sambil menambah suaminya merancang untuk pulang bercuti pada April tahun depan.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain