suria

Wanita hilang mood, kawan selamba tanya soalan tentang ‘tak lekat zuriat’ ketika keluar sambut anniversary dengan suami

Seorang wanita berkongsi kisahnya yang 'diterja'h soalan mengenai zuriat oleh seorang kenalan, ketika sedang meraikan ulang tahun perkahwinannya yang ke-2. Gambar hiasan

PERIBAHASA ada mengatakan 'terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya'.

Disebabkan itu, kita dinasihatkan untuk sentiasa berfikir terlebih dahulu sebelum melontarkan kata-kata dibimbangi mengguris perasaan orang lain, terutamanya membabitkan hal-hal yang sensitif.

Itulah yang dirasai oleh seorang wanita ini apabila seorang kenalan secara tiba-tiba melontarkan pertanyaan berkenaan zuriat di laman sosialnya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Terlalu harap untuk lekat” - Wanita mengaku sedih setiap kali datang haid, benci lihat semua perkongsian tentang kehamilan

ARTIKEL BERKAITAN: Zuriat hadir selepas 20 tahun berendam air mata, perkongsian wanita ini saat disahkan hamil umur 41 tahun buat ramai rasa nak menangis syukur - “Saya mula terfikir nak culik anak orang”

Lebih mengejutkan, pertanyaan tersebut diterima ketika dia sedang meraikan ulang tahun perkahwinannya bersama suami.

"Babe dah jumpa doktor tak, tanya kenapa tak lekat lagi? Officemate aku pernah cakap, kalau enam bulan kahwin dan usaha untuk baby tapi tak lekat, jumpa doktor," demikian pertanyaan tersebut sebagaimana yang dikongsikannya di laman Twitter sehingga meraih 5,700 retweet.

Ketika mengimbas kembali insiden tersebut, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Amira berkata ketika itu dia dan suami sedang keluar makan untuk meraikan ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-2.



Amira berkongsi kisahnya yang 'diterjah' seorang kenalan mengenai isu zuriat.

"Saya ada ambil video ketika di restoran dan kongsi di laman sosial. Selepas makan, jalan-jalan nak cari hadiah untuk adik. Masa itu saya dapat reply menerusi Direct Message (DM) dan saya baca kejap.

"Tersentak sekejap bila baca.... terus rasa lain. Tak ada mood. Saya rasa sedih sangat. Saya cerita pada suami dan kami terus balik rumah," katanya kepada mStar.

Wanita berusia 28 tahun ini berkata, individu yang bertanyakan soalan tersebut bukanlah kenalan rapatnya.

Mungkin tak salah nak tanya, tapi masa tak kena. Lainlah kalau tweet saya tu tengah minta pendapat macam mana nak dapatkan anak.

AMIRA

"Apa yang ditanya itu sangat tak kena masa dan situasi. Soalan itu ditanya ketika tengah raikan hari ulang tahun perkahwinan. Sudah la rasa sakit 'kehilangan' kerana keguguran belum habis, tiba-tiba dapat pula DM macam tu.

"Mungkin tak salah nak tanya, tapi masa tak kena. Lainlah kalau tweet saya tu tengah minta pendapat macam mana nak dapatkan anak... ini masa orang tengah raikan anniversary, masa itu pula nak tanya.

"Sebenarnya saya sudah dua kali alami keguguran. Mungkin Allah kata belum lagi rezeki kami. Mungkin nak kami suami isteri enjoy hidup berdua dulu. Tak apa, kami ada dua anak syurga yang menanti di sana," katanya lagi.



Bagi kebanyakan individu, soal zuriat adalah perkara yang sensitif. Gambar hiasan

Menurut Amira, perkongsian mengenai perkara tersebut dibuat di laman sosial supaya menjadi pengajaran kepada orang lain agar jangan suka 'terjah' ataupun cakap lepas terutama membabitkan isu sensitif.

"Sebelum nak cakap apa-apa, letakkan dulu diri sendiri dalam situasi orang. Bayangkan kalau orang lain yang cakap macam tu dekat kita, mesti kita rasa sedih. Tengok juga situasi dan masa, sesuai ke tidak.

"Bab anak, jodoh ni sensitif bagi kebanyakan orang. Kita tak tahu macam mana usaha yang orang tu lakukan, kemudian tiba-tiba main terjah pula.



Antara komen kata-kata semangat yang diterima Amira.

"Tak sangka selepas perkongsian tu, ramai juga yang DM dan kongsi pengalaman. Ada yang dekat 10 tahun kahwin tapi belum ada anak. Terharu sangat dapat doa dan sokongan daripada orang yang kita tak kenal pun.

"Doakan saya dan suami dikurniakan zuriat nanti, dan saya juga doakan agar pasangan yang sedang berusaha dapatkan anak agar dikurniakan juga rezeki cahaya mata kelak," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain