TIADA mana-mana individu yang mahu terkena penyakit, apatah lagi penyakit yang boleh membawa maut. Namun ketentuan Tuhan tiada siapa mampu melawan. Begitulah situasi yang dialami wanita ini apabila dia disahkan dijangkiti Covid-19 pada Oktober lalu, ketika sedang berada dalam trimester ketiga kehamilan sulungnya. ARTIKEL BERKAITAN: Bapa 2 anak akui mental breakdown, tak tidur malam tunggu result ujian Covid-19... akhirnya sah positif 5 hari lepas rakan pejabat - “Anak, isteri negatif... sujud syukur saya!” ARTIKEL BERKAITAN: Pengalaman terburuk... mangsa Covid-19 kongsi pengalaman dikuarantin, paling cemas sukar tarik nafas panjang Memang perit untuk menerima hakikat bahawa diri sedang berdepan dengan virus maut, namun apa yang lebih menyakitkan adalah persepsi dan penerimaan orang sekeliling terhadap dirinya. Terpanggil untuk berkongsi pengalamannya, wanita ini menulis luahan di laman Twitter baru-baru ini bagi menceritakan situasi yang dihadapinya dua bulan lalu, sehingga ia meraih 6,700 retweet. Berkongsi cerita dengan mStar, Hazwani Hani berkata dia sendiri tidak mengetahui punca jangkitan virus berkenaan, tambahan pula dia hanya berulang alik antara rumah dan tempat kerja sahaja. Laporan makmal yang mengesahkan Hazwani positif Covid-19, pada Oktober lalu. Segala-galanya bermula pada pagi 17 Oktober lalu apabila dia mengalami selesema teruk ketika bangun tidur, selain turut mengalami sakit-sakit sendi. "Saya buat pemeriksaan di sebuah hospital dan doktor cadangkan saya untuk dimasukkan dalam wad, supaya senang nak buat pemantauan. Disebabkan musim pandemik, memang kena buat ujian swab dan saya ditempatkan dalam bilik isolasi. "Pelawat tak dibenarkan sepanjang tempoh menunggu keputusan ujian. Dan waktu yang ditunggu pun tiba. Seorang jururawat masuk wad dan berikan keputusan... memberitahu saya positif Covid-19. "Dari hospital itu, saya dihantar menaiki ambulans ke Hospital Sungai Buloh. Maka bermulalah tempoh kuarantin di sana. Tiada apa yang merisaukan selain daripada kandungan saya dan keluarga. Ketika ini, saya dah tiada apa-apa simptom dan sakit sendi pun dah tiada," ceritanya mengimbas kembali saat duka itu. Hazwani menerima layanan yang sungguh baik ketika ditempatkan di Hospital Sungai Buloh. Menurut wanita berusia 27 tahun ini, layanan yang diterimanya sepanjang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh begitu baik membuatkannya terharu, namun dalam masa yang sama, perkara yang sebaliknya berlaku di kawasan kejiranannya. "Saya faham, virus ni pembunuh tapi mana-mana pesakit pun tak minta. Saya sendiri tak tahu dari mana dapat jangkitan ini. Masa inilah mereka pula sibuk menyebar mesej dan bergosip. Benda ini sangat tak patut lebih-lebih lagi pesakit sedang dirawat di hospital. "Macam mana kalau pesakit tu meninggal dunia? Sempat ke nak minta maaf? Sebenarnya pesakit ni bukanlah nak simpati, tapi lebih kepada sokongan, pemahaman dan ruang," katanya. Masa inilah mereka pula sibuk menyebar mesej dan bergosip. Benda ini sangat tak patut lebih-lebih lagi pesakit sedang dirawat di hospital. HAZWANI HANI BEKAS PESAKIT COVID-19 Bercerita lebih lanjut, Hazwani berkata dia akhirnya bebas Covid-19 selepas dua minggu menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh. Dalam tempoh dua minggu selepas dibenarkan pulang ke rumah, Hazwani dimasukkan ke sebuah hospital untuk melahirkan bayi sulungnya. Tambahnya, ketika di hospital tersebut, dia sekali lagi berdepan dengan situasi yang tidak dijangka. "Ada sesetengah staf di hospital itu masih ada stigma negatif, walaupun saya bekas pesakit Covid-19. Sedangkan laporan telah dikeluarkan menyatakan saya bebas Covid-19 dan boleh bersalin di mana-mana, tapi penerimaan staf di situ berlainan dari Hospital Sungai Buloh. "Ini memang pengalaman yang takkan saya lupakan seumur hidup," katanya yang merupakan seorang pekerja di sebuah syarikat swasta. Tangkapan skrin antara perbualan jiran Hazwani ketika dia disahkan Covid-19. Selamat melahirkan bayi pada November, Hazwani bersyukur kerana dia dan anak sulungnya itu berada dalam keadaan yang sihat dan selamat. "Hari ini (Sabtu) adalah hari ke-38 saya berpantang. Saya hanya terpanggil untuk kongsi pengalaman sebagai bekas pesakit Covid-19 pada ketika ini, kerana tak mahu ada persepsi negatif jika berkongsi awal. "Tak sangka ia viral. Kalau saya tak bersuara, orang masih terus ada stigma. Mereka tak sedar, tindakan mereka itu beri kesan bukan hanya pada pesakit, tetapi ahli keluarga juga. Apa yang saya harapkan, perkara negatif sebegini tak lagi berlaku," katanya lagi. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!