suria

Mengadu telefon rosak di grup WhatsApp, gadis kena ‘prank dengan niat baik’ oleh rakan sekelas - “Kami ‘pancing’ dia kononnya boleh hutang”

Tangkapan skrin video TikTok menunjukkan seorang gadis yang mengalami kerosakan telefon dibantu oleh rakan-rakan sekelas.

LUAHAN seorang gadis mengenai telefon bimbitnya mengalami kerosakan menerusi grup WhatsApp, nampaknya mendapat perhatian rakan-rakan sekelas.

Dalam diam-diam dua daripada pelajar sekelas membuat gurauan atau prank dengan membawanya ke sebuah kedai gajet sebelum mempengaruhinya untuk membaiki telefon yang rosak itu.

Menerusi video yang dikongsikan di aplikasi TikTok, dua rakannya kemudian mendedahkan bahawa kos membaik pulih telefon dibayar menggunakan hasil sumbangan rakan-rakan sekelas.

ARTIKEL BERKAITAN: "Saya tak suka rakan-rakan buat macam ni" - Ramai harapkan bayaran, tapi Aiman tak kisah kawan tumpang keretanya tak hulur duit minyak

ARTIKEL BERKAITAN: Suami isteri sanggup gadai nyawa bantu sahabat parah kemalangan disangka pencuri,"Cepat nanti tak pasal-pasal kena langgar lori laju"

Salah seorang pelajar berkenaan, Muhammad Faris Mohd Jailani berkata, rakan mereka yang diberi kejutan itu, Suriani Arjunaidi mengalami masalah telefon sejak sebulan lalu.



Luahan seorang rakan di grup WhatsApp kelas.

Remaja berusia 19 tahun itu memberitahu, masalah yang dihadapi rakannya itu bertambah buruk sehingga terpaksa menggunakan komputer riba untuk aplikasi WhatsApp.

"Telefon dia ada masalah skrin dan butang 'home' selepas beberapa kali jatuh. Sampai satu tahap, hanya panggilan telefon saja.

"Dua minggu lepas dia beritahu kami mengenai masalah telefonnya dan minta bantuan untuk maklumkan tentang kelas online (dalam talian) sehari lebih awal kerana WhatsApp dia hanya bergantung pada laptop buat sementara waktu," katanya kepada mStar.



Faris (kiri) dan Adam (kanan) membawa Suriani ke kedai gajet untuk membaiki telefon.

Lebih mesra disapa Faris, dia bersama seorang lagi rakan sekelasnya, Muhammad Adam Bukhari Mohd Nazri, 19, mengambil inisiatif untuk mendapatkan bantuan rakan-rakan lain.

"Kami hantar mesej kepada seorang demi seorang dan bertanyakan kepada mereka sama ada sudi untuk membantu Suriani untuk berkongsi membiayai kos membaiki telefonnya yang rosak.

"Sebagai pelajar, kos membaiki tu berharga hampir RM300 itu bukannya murah bagi kami. Tambahan pula, dia bukannya orang senang. Jadi, kami cuba membantu apa yang boleh," ujar pelajar Tingkatan 6 dari Sekolah Menengah Tinggi Klang di Klang, Selangor itu.

Menurut pelajar aliran sains sosial itu, rakan-rakan boleh menyalurkan sumbangan ikhlas mengikut kesediaan dan kemampuan mereka walaupun RM1.



Suriani bersama telefonnya yang telah dibaiki.

"Alhamdulillah, jumlah kutipan melebihi sasaran daripada kos repair telefon tu. Tak sangka rakan-rakan sekelas bermurah hati nak bantu Suriani.

"Seperti yang dirancang, kami berdua pun ajak dia teman untuk baiki telefon kami di Shah Alam, petang Jumaat lalu. Kami 'pancing' dia kononnya boleh hutang untuk baiki telefon.

"Dia pun percaya. Duit deposit tu kami dahulukan, tapi sebenarnya kami bayar sepenuhnya guna sumbangan rakan-rakan," tambahnya.

Mungkin bantuan itu nampak kecil bagi kita tapi amat besar dan bermakna bagi penerima bantuan tu.

MUHAMMAD FARIS MOHD JAILANI

Faris berkata, mereka mendedahkan perkara sebenar pada petang yang sama dan tunjuk senarai nama rakan-rakan yang membuat sumbangan sebagai bukti.

"Dia macam tak percaya kerana tak sangka rakan-rakan sekelas begitu mengambil berat sampai dia nak menangis.

"Sekarang telefon dia dah okay. Kalau dulu bila saya WhatsApp petang, pukul 1 pagi baru balas guna laptop tapi sekarang balas on time," katanya sambil menambah rakannya yang dibantu itu kemudian membuat video penghargaan sebagai tanda terima kasih kepada rakan-rakan sekelas.



Faris (hadapan, kiri) bersama guru dan rakan-rakan sekelas.

Jelas Faris, perkongsiannya di TikTok bertujuan untuk memberi mesej kepada masyarakat terutama anak-anak muda supaya bersikap prihatin terhadap orang lain dalam kesusahan.

"Saya berharap video TikTok tu dapat membuka mata masyarakat di luar sana terutama dalam membantu orang yang lebih susah daripada kita.

"Tak kisahlah kita membuat kutipan seorang RM5 ke, RM1 pun tak apa. Mungkin bantuan itu nampak kecil bagi kita tapi amat besar dan bermakna bagi penerima bantuan tu. InsyaAllah, suatu hari Tuhan akan balas kebaikan yang kita buat," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain