suria

Pesakit strok enggan lepas genggaman tangan, siapa sangka soalan yang ditanya buat doktor menyesal – “Lebih baik makcik tak ingat”

Seorang doktor berkongsi kisah di sebalik genggaman tangan seorang pesakit warga emas. -gambar hiasan

BUKAN mudah untuk menjaga pesakit, terutama yang sudah memasuki kategori warga emas.

Banyak yang perlu diberi perhatian, termasuk menjaga hati dan perasaan mereka.

Begitulah yang dialami oleh seorang doktor mengenai seorang pesakit berusia 60an yang diserang strok, menyebabkan sebelah badannya menjadi lemah.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak jadi balik awal sebab nampak wanita kendong anak ketuk cermin klinik, rupa-rupanya ada sesuatu Allah nak tunjuk selepas doktor ini tolak jumpa jurujual susu formula

ARTIKEL BERKAITAN: Doktor bingung pesakit tanya soalan cepu emas, tapi jawapan yang diberikan lebih sukar nak 'hadam' - "Ada orang lebih banyak pahala daripada saya"

"Genggam tangan saya, arah aku sambil meletakkan tangan di telapak tangannya. Aku perlu periksa dan pantau kekuatan tangannya.

"Jari-jemari tangan kiri pesakit aku itu hanya terkatup lemah di atas tangan kanan aku, manakala tangan kanannya menggenggam erat tangan kiri aku. Sebelah kiri ni boleh cuba genggam kuat lagi sikit," tulis Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan di laman Facebook beliau.



Tangan pesakit warga emas diperiksa. -gambar hiasan

Namun, secara tiba-tiba pesakit warga emas yang duduk di atas katil tersebut mengalirkan airmata sebelum beliau meminta maaf sekiranya bercakap kasar.

"Berurusan dengan orang tua bukan mudah, tambahan pula jika mereka sedang sakit. Emosi mereka sangat mudah terganggu. Mudah terkilan Tak ada apalah, ujarnya," kata Dr Kamarul mengimbas kembali perbualannya bersama pesakit itu.

Melihatkan perkembangan positif pada tangan kiri pesakit itu, beliau menasihatkan wanita itu meneruskan senaman fisioterapi seperti yang diajarnya untuk segera sembuh.

Menurut Dr Kamarul, genggaman tangan kanan pesakit itu tidak dilepaskan ketika dia mahu beredar selepas membuat pemeriksaan.

"Makcik dah tak ingat apa-apa yang jadi sebelum strok tu. Makcik tak ingat sesiapa, tapi... makcik teringat anak makcik. Makcik teringat setiap hari makcik tanya khabar dia setiap kali ambil dia dari sekolah.

"Makcik teringat makcik pesan supaya pegang tangan makcik kuat-kuat masa lintas jalan. Cuma makcik tak ingat muka dia macam mana.

"Makcik cuma ingat genggaman tangan dia pada jari makcik. Bila pegang tangan dia, dada makcik rasa hangat. Perasaan itu sahaja yang makcik ingat," ujar wanita itu mengalirkan air mata.



Seorang pesakit mengimbas kembali kisah lampau bersama anaknya. -foto facebook Kamarul Ariffin Nor Sadan

Soalan mengenai sama ada anaknya melawat di hospital membuatkan riak wajah pesakit itu berubah sebelum bersuara dengan perasaan sayu sambil merenung ke luar tingkap.

"Sebenarnya, lebih baik makcik tak ingat. Lebih baik makcik tak tahu apa terjadi. Lebih elok. Sebab bila teringat, hati makcik ni pedih.

"Makcik panggillah dia melawat, makcik. Takkan dia tak mahu tengok keadaan emak dia di hospital, kata ku memberi cadangan," kata Dr Kamarul.

Serangan strok menjejaskan memori silam dia sehingga tak ingat sesiapa, kecuali seorang insan. Insan yang dia cuba untuk lupakan

DR KAMARUL ARIFFIN NOR SADAN

Luahan wanita tersebut kemudian menimbulkan penyesalan dalam diri beliau kerana menyuarakan cadangan berkenaan.

"Timbul rasa menyesal dalam diri aku kerana beri cadangan tadi.

"Dia dah tak ada. Kemalangan masa lintas jalan. Hari tu makcik dah pesan pada dia pegang tangan makcik.

"Bercucuran air mata makcik. Aku pun dah tak tertahan sedih. Teringat emak sendiri yang sampai sekarang, kalau lintas jalan masih pimpin tangan anak-anak," ujar Dr Kamarul yang meminta maaf kerana mengingatkan wanita itu kepada tragedi yang mengguris hati.



Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan.

Dr Kamarul mengakui sukar bagi pesakit warga emas itu untuk menempuh ujian dan dugaan, lebih-lebih lagi dengan serangan strok dialaminya.

"Serangan strok yang dia alami dan menjejaskan memori silam dia sehingga tak ingat sesiapa, kecuali seorang insan. Insan yang dia cuba untuk lupakan.

"Dunia ini tidak adil buatnya, namun aku yakin anaknya itu sedang menunggunya di pintu syurga. Semoga mereka bersatu kembali di dunia yang kekal abadi.

"Bila kali terakhir kalian genggam erat tangan emak? Erat sehingga terasa hangat dada kerana dipenuhi kasih sayang," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain