suria

Tayar motor pecah, remaja terpaksa tolak sendirian sampai 10km... tak sangka tiba-tiba 'uncle' muncul - “Dia tak mahu walau berkali-kali nak bagi sagu hati”

Perkongsian seorang remaja mengenai kisahnya dibantu lelaki India ketika tayar motosikalnya pecah, menjadi tular di Twitter.

BAGI penunggang motosikal, situasi kehabisan minyak petrol atau motosikal mengalami kerosakan ketika sedang menunggang di lebuh raya adalah antara perkara yang menakutkan mereka.

Begitu jugalah halnya dengan remaja ini apabila tayar belakang motosikalnya pecah ketika menunggang berseorangan di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).

Bayangkan, lokasi kejadian ketika itu berjauhan dengan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) manakala susur tol paling hampir pula terletak kira-kira 10 kilometer jauhnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pagi tayar meletup di jalan lengang, sebelah petang wanita terkejut dapat panggilan daripada lelaki beri bantuan - “Saya nak hulur sagu hati, dia tolak”

ARTIKEL BERKAITAN: Rasa lain macam... Pemuda terkenang mak ayah patah balik bantu warga emas terkandas, satu tayar pecah tapi kesemua 4 dah uzur - “Tak tanya banyak takut menangis”

Namun siapa sangka, kehadiran seorang pemandu lori berbangsa India membuatkan remaja ini terhutang budi dengan pertolongan ikhlasnya.

Mengimbas kembali peristiwa itu, remaja yang hanya mahu dikenali sebagai Danish berkata ketika itu dia dalam perjalanan dari Tapah ke Ipoh bagi mengambil tayar motosikalnya yang ditinggalkan di rumah sahabatnya.

"Rancangannya, saya ke rumah abang dulu di Ipoh untuk pinjam keretanya dan kemudian ke rumah rakan untuk ambil tayar. Tak sangka tayar motor yang saya naik tu pecah. Ironi pula.



Seorang lelaki India menawarkan bantuan untuk menghantar Danish ke bengkel dengan menaiki lorinya.

"Ketika menunggang, saya rasa goyang-goyang tapi bawak perlahan-lahan. Tapi makin tak boleh dikawal dan saya berhenti di lorong kecemasan. Rupa-rupanya getah tayar dah terkeluar rim.

"Saya terus telefon polis peronda PLUS... 10 minit kemudian mereka tiba, tapi tak dapat bantu kerana di luar kemampuan mereka. Tiada pilihan, saya terpaksa tolak motor perlahan-lahan untuk ke susur Plaza Tol Gopeng yang terletak kira-kira 10 kilometer dari situ," ujar remaja berusia 18 tahun ini.

Menurut Danish, kira-kira 10 minit menolak motosikalnya seorang diri, tiba-tiba sebuah lori berhenti di lorong kecemasan sejauh kira-kira 50 meter di hadapannya.

"Saya ingatkan lori tu rosak... tapi pemandu dia tak keluar pun. Bila motor saya hampir, barulah pemandunya keluar. Dia tengok tayar motor saya dan offer untuk tolong hantarkan.

"Saya beritahu nak ke Ipoh. Dia pun beritahu nak ke lokasi sama. Saya mulanya segan sebab takut menyusahkan tapi dia tetap nak tolong.



Danish membuat ciapan di Twitter kerana mahu berkongsi kisah kemanisan perpaduan sebagai rakyat Malaysia.

"Uncle tu walaupun dah berusia, tapi tenaganya memang kuat. Dia yang tolong angkat motor ke atas lori, saya pula jaga bahagian belakang.

"Syukur sangat uncle ni berhentikan lori dan offer bantuan. Sebelum tu saya tak tahan mana-mana kenderaan pun sebab tak nak menyusahkan orang," katanya yang juga pelajar sebuah Kolej Matrikulasi di Kedah.

Kata remaja ini lagi, lelaki berkenaan menghantarnya ke sebuah bengkel motosikal sebelum berlalu pergi kerana mempunyai urusan lain.

Saya sempat hulur sagu hati kerana terharu dengan bantuannya. Tapi Uncle menolak walau saya berkali-kali nak bagi.

DANISH

PELAJAR

"Masa sampai di bengkel dan motor diturunkan dari lori, uncle tu macam nak bergerak. Mungkin ada urusan lain kot. Saya sempat hulur sagu hati kerana terharu dengan bantuannya.

"Tapi Uncle menolak walau saya berkali-kali nak bagi. Dia kata 'saya nampak awak tengah susah, saya cuma tolong saja'. Saya pun minta nak bergambar dengannya, saya beritahu nak tunjuk pada keluarga.

"Tapi saya tak sempat pula nak minta nombor telefon dia. Saya memang terhutang budi sangat dengan uncle tu," kata Danish lagi.



Netizen turut sama melahirkan rasa terharu dengan kebaikan lelaki India yang membantu Danish.

Tambah remaja ini, perkongsiannya di laman Twitter baru-baru ini kerana mahu berkongsi kisah 'kemanisan perpaduan' berdasarkan pengalaman sendiri.

"Tak sangka pula viral... mudah-mudahan kisah ini menjadi inspirasi untuk kita saling tolong menolong tak kira bangsa.

"Dalam masa yang sama saya harap ia membuka mata orang ramai mengenai pentingnya nilai-nilai murni dalam kehidupan masyarakat berbilang bangsa," ujarnya lagi.

Sehingga kini, perkongsian Danish di Twitter meraih 6,500 retweet dan 11,600 likes.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain