suria

Aduhai! Hormon hamil anak sulung... isteri menangis teresak-esak di restoran Korea, soalan ditanya selepas itu bagai menguji si suami

(gambar kiri) Zahin (kiri) bersama isterinya yang hamil. (gambar kanan) Isterinya tiba-tiba menangis di kedai makan.

SEORANG suami sama sekali tidak menyangka isterinya secara tiba-tiba menangis di tempat awam.

"Punyalah power hormon masa hamil ni, isteri aku boleh nangis kat kedai makan sebab diorang (mereka) pasang lagu sedih," tulisnya menerusi satu ciapan sehingga menjadi tular.

Ketika kejadian, suami berkenaan, Amir Zahin Azham berkata, dia membawa isterinya menikmati makan tengah hari di sebuah restoran yang menyajikan makanan Korea.

ARTIKEL BERKAITAN: Sengaja lupa birthday sebab nak buat prank, bagi hadiah pun kotak je gempak... suami tak sangka isteri menangis - "Dia marah saya sebab lain"

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda Malaysia rindu 'famili' di Korea Selatan, video kejutan ubat kerinduan - "Ada yang mahu jodohkan dengan anak mereka"

Sementara menunggu pesanan, pemuda berusia 27 tahun itu memberitahu, satu lagu nyanyian kumpulan dari Korea Selatan yang dimainkan di restoran itu menarik perhatian isterinya.



Perkongsian Zahin mengenai isteri di laman Twitter menjadi tular.

"Isteri kata lagu 'Because I am A Girl' oleh kumpulan Kiss adalah kesukaannya. Tapi video muzik lagu berkenaan membuatkan dia rasa sedih.

"Tiba-tiba isteri kata dia nak menangis sebab teringat jalan cerita video muzik tu. Bila separuh lagu tu dimainkan, isteri dah tak tahan dan terus menangis teresak-esak," katanya kepada mStar.

Lebih mesra disapa Zahin, katanya, reaksi isterinya yang hamil anak pertama yang memasuki usia tujuh bulan itu mengejutkannya kerana benar-benar tidak pernah isterinya menangis di tempat awam.



Isteri Zahin kembali bertenang sebelum pesanan tiba.

"Isteri saya memang hati tisu, sensitif orangnya. Tapi tak pernah pula dia menangis secara tiba-tiba macam tu. Begitu hebat impak video muzik tu pada diri dia.

"Sebenarnya, pernah terjadi sebelum ni isteri menangis kerana lagu yang sama. Tapi ini pertama kali dia menangis di tempat awam sebab lagu tu," ujarnya yang berasal dari Sungai Petani, Kedah.

Mendirikan rumah tangga sejak 2018, dia menjelaskan bahawa video muzik itu membuatkan isterinya mengemukakan satu soalan yang tidak pernah difikirkannya selama ini.

Menurut Zahin, video muzik itu mengisahkan seorang jurugambar yang meminati seorang gadis cantik dalam pertemuan yang tidak disengajakan ketika sesi fotografi.



Salah satu babak dalam video muzik lagu 'Because I Am A Girl nyanyian kumpulan Kiss. sumber YouTube

"Mereka kemudian bercinta tetapi kemalangan berlaku apabila mata gadis itu terkena bahan kimia yang digunakan untuk fotografi, sehingga merosakkan penglihatannya.

"Jurugambar itu kemudian mendermakan kedua-dua matanya bagi membolehkan kekasihnya itu melihat semula sebelum menjauhkan diri, sehingga sanggup meninggalkan kerjaya jurugambar dan minatnya dalam sukan permotoran.

Kami tak follow mana-mana cerita Korea pun, cuma lagu K-Pop yang satu tu je buat isteri saya terlebih emosi

AMIR ZAHIN AZHAM

"Jadi, isteri bertanya saya sekiranya perkara yang sama berlaku kepada kami seperti video muzik tu, adakah saya akan meninggalkan dia selepas mendermakan mata saya?

"Walaupun saya minta perkara yang berlaku di dalam video muzik itu dijauhkan dan semoga hubungan kami sentiasa diberi perlindungan, tapi jawapan saya mudah saja. Saya kata saya hanya mendermakan sebelah mata supaya kami sama-sama dapat melihat antara satu sama lain dan hidup bahagia," katanya yang mula mengenali isterinya sejak berusia 10 tahun.



Zahin (kanan) mula mengenali isterinya sejak berusia 10 tahun.

Dalam pada itu, Zahin turut menegaskan bahawa kedua-dua mereka juga bukanlah pengikut drama, filem atau lagu dari Korea Selatan.

"Kami tak follow mana-mana cerita Korea pun, cuma lagu K-Pop yang satu tu je buat isteri saya terlebih emosi. Memang tak sangka emosi dia terlebih masa mengandung ni.

"Tapi kami suka makan makanan Korea, kalau lagu tu dimainkan lagi bila datang ke restoran Korea, mungkin saya cepat-cepat beritahu pekerja untuk tukar lagu sebelum isteri menangis dan buat kejutan lagi," ujarnya secara berseloroh.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain