TAHUN 2020 merupakan tahun duka buat seluruh dunia apabila pandemik Covid-19 melanda yang menyaksikan lebih 67 juta penduduk dijangkiti virus berkenaan, dengan angka kematian pula melebihi 1.5 juta. Sehingga kini, penularan Covid-19 nampaknya masih belum reda malah mencatatkan peningkatan kes saban hari membuatkan orang ramai amat berharap agar vaksin yang dihasilkan mampu 'melawan' virus yang membawa maut itu. Sejak beberapa minggu lalu, beberapa negara sudah mula melakukan suntikan pemberian vaksin kepada rakyat mereka. ARTIKEL BERKAITAN: Lincah! Bukan sahaja di bilik bedah, Dr Amalina tak mahu ketinggalan terlibat ujian vaksin Covid-19... ramai harap usaha cari penawar wabak sukses! ARTIKEL BERKAITAN: Pakar imunologi kelahiran Malaysia terlibat ujian vaksin Covid-19 di Australia Namun dalam pada ramai yang menyambut berita penemuan vaksin itu dengan gembira dan penuh harapan, masih terdapat segelintir yang berasa was-was apatah lagi selepas media melaporkan tentang kesan sampingan terhadap individu yang sudah menerima suntikan. Di tengah-tengah kebimbangan ramai, pakar bedah kelahiran Malaysia yang berpangkalan di London, United Kingdom (UK), Dr Amalina Che Bakri tampil berkongsi pengalamannya yang sudah mendapatkan suntikan vaksin Pfizer, di laman sosialnya. "Sudah terima dos vaksin Pfizer Covid pertama saya hari ini! Mari kita semua terus mematuhi panduan Covid, kes semakin meningkat, makin ramai yang dimasukkan ke hospital, katil semakin penuh, ini bukan masa untuk leka. Berharap tahun depan akan menjadi tahun yang lebih baik!" tulis Dr Amalina. Malah beliau turut berkongsi beberapa fakta mengenai vaksin Covid-19 bagi memudahkan orang ramai lebih memahami mengenainya. Dr Amalina berkongsi maklumat dan fakta mengenai vaksin Covid-19 untuk memudahkan pemahaman orang ramai. Menjengah ke ruangan komen, ternyata perkongsian tersebut dibanjiri dengan soalan netizen yang mengambil kesempatan untuk bertanya lebih lanjut kepada doktor berusia 33 tahun itu. Salah seorang pelayar turut menampilkan petikan satu laporan media yang menyatakan seorang jururawat disahkan positif Covid-19 selepas seminggu mengambil suntikan vaksin Pfizer. Menjawab persoalan berkenaan, Dr Amalina menerangkan lebih lanjut pada ruangan komen, yang antaranya menerangkan bahawa setiap individu perlu disuntik dua dos vaksin Pfizer untuk mencapai imuniti penuh. Rasanya seperti gigitan semut kecil dan lengan saya terasa sedikit sakit selepas itu, tetapi itu normal setelah suntikan vaksin. DR AMALINA CHE BAKRI DOKTOR "Anda perlu faham dulu bagaimana vaksin bertindak. Vaksin Pfizer memerlukan dua dos untuk mencapai full immunity dan akan mengambil masa beberapa minggu untuk mencapai tahap tersebut. Jururawat tersebut hanya mendapat satu dos dan kemudian disahkan dapat Covid-19. "Antibodi beliau belum lagi mencapai tahap full immunity. Kemungkinan juga beliau sudah dijangkiti sebelum dapat vaksin tetapi asymptomatic (tidak bergejala) pada awalnya," terang doktor tersebut. Dalam pada itu, ada juga yang bertanya sama ada bekas pesakit Covid-19 selamat untuk mendapatkan suntikan vaksin berkenaan. "Ya, sebenarnya disyorkan untuk anda mengambilnya. Jangkitan semula mungkin berlaku. Kami masih tidak tahu berapa lama seseorang dilindungi daripada dijangkiti lagi setelah pulih dari Covid-19. Kekebalan semula jadi dari jangkitan Covid-19 berbeza setiap orang. "Bincangkan dengan doktor anda sendiri mengenai risiko dan faedah mengambil vaksin," terang Dr Amalina. Dr Amalina sebelum ini turut terlibat merekrut sukarelawan dalam ujian percubaan vaksin Covid-19. Namun paling mencuri tumpuan adalah soalan yang bertanyakan sama ada suntikan berkenaan menyakitkan. "Rasanya seperti gigitan semut kecil dan lengan saya terasa sedikit sakit selepas itu, tetapi itu normal setelah suntikan vaksin," jawab Dr Amalina. Dalam pada itu, ramai pelayar turut memuji pendekatan doktor berkenaan dalam memberikan penerangan berhubung suntikan vaksin yang lengkap dengan pautan bersabit kajian yang dijalankan bagi memudahkan pemahaman ramai. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!