suria

Indah khabar dari rupa! Kek hantaran majlis tunang cetus rasa geram... bentuk lain, rasa tak sama – “Ikutkan hati nak tampar muka penjual”

(kiri) Gambar kek sebagai contoh. -foto instagram (kanan) Kek yang dihasilkan oleh seorang penjual di Kelantan. -foto Ainaa

INDAH khabar dari rupa, seorang gadis hampa apabila kek yang ditempahnya dengan seorang peniaga untuk majlis pertunangannya tidak seperti yang diharapkan.

"Kepada penjual kek, tolonglah jangan aniaya orang macam ni. Request lain, dapat lain. Dahlah untuk hari penting. Buat malu je. Awak buat pelanggan macam ni, tak kasihan ke?" luah seorang gadis menerusi satu ciapan di laman twitter sehingga menjadi tular.

Ciapan yang diulang kicau lebih 8,000 kali itu turut memuat naik gambar kek yang diingini dan foto kek yang dihasilkan untuk hari istimewanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan sekadar ucapan, pelanggan minta tulis karangan atas kek! Baker habiskan masa hampir sejam - "Kalau salah eja, memang habis!"

ARTIKEL BERKAITAN: Penangan sentuhan berseni... dari Perak pelanggan sanggup ke Shah Alam cari gadis Secret Recipe - "Niat saya nak pelanggan gembira"

Berkongsi pengalaman, gadis yang hanya mahu dikenali sebagai Ainaa berkata, kek tersebut merupakan salah satu hantaran bagi majlis pertunangannya pada 2 Januari lalu.



Rundingan antara pelanggan dan penjual.

Gadis berusia 24 tahun itu memberitahu, dia pertama kali menghubungi penjual kek dari Kelantan itu pada 9 Disember 2020 dan membuat tempahan awal pada 23 Disember 2020.

"Gambar kek yang saya inginkan untuk majlis tunang tu saya ambil daripada penjual kek lain untuk dijadikan contoh seperti yang saya nak.

"Masa saya tanya penjual tu untuk buat kek seperti dalam gambar contoh, dia cakap boleh. Tapi bila dah siap, lain daripada apa yang saya minta," katanya kepada mStar.



Hantaran tunang kedua-dua belah pihak termasuk kek yang ditempah Ainaa.

Ainaa yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan berkata, selain hiasan seperti kalendar, dia turut memilih warna ungu terang, hiasan sprinkle di tepi kek serta kek berperisa coklat.

"Tapi bila dapat, kek untuk hantaran tunang tu berwarna putih, kek span bukannya perisa coklat dan tiada hiasan sprinkle di tepi kek.

"Paling menyedihkan adalah lakaran di atas kek tidak mengikut kalendar Januari 2021 yang sebenar. Lebih kepada letak nombor-nombor tanpa mengikut aturan kalendar.

"Saya order kek coklat, yang sampai kek span warna-warni... dalam hati saya tanya kek apa ni?! Memang sedih sangat," ujarnya dengan nada kesal.



Bukan kek coklat yang ditempah, sebaliknya menerima kek span berwarna-warni.

Menurut anak keempat daripada lima beradik itu, ia adalah pertama kali dia membuat pesanan dan pembelian dengan penjual kek berkenaan.

"Tak ada sesiapa yang recommend (mengesyorkan) penjual kek ni. Tapi berdasarkan semakan nama akaun instagram untuk penjual kek di Kelantan, nama akaun dia antara yang teratas.

“Tapi tak sangka pula ini yang jadi. Masa majlis tunang tu sudah tentu saya antara yang paling sibuk, dan bila tengok kek yang tak seperti yang saya nak tu rasa geram sangat.

Tak ada sesiapa yang recommend (mengesyorkan) penjual kek ni. Tapi berdasarkan semakan nama akaun instagram untuk penjual kek di Kelantan, nama akaun dia antara yang teratas

AINAA

"Ikutkan hati nak je tampar muka penjual kek tu. Bukan setakat kek yang dibuat tidak seperti yang digambarkan, tetapi cara dia berkomunikasi dengan pelanggan.

"Hanya mahu nak mempertahankan diri dan tak nak mengaku. Kalau dia minta maaf elok-elok tak adalah saya geram macam ni," tambah Ainaa.



Permohonan maaf daripada penjual kek.

Walaupun kecewa dengan sikap penjual dan kek yang ditempah, jurutera itu bagaimanapun syukur kedua-dua familinya dan keluarga tunang menerima kekurangan kek tersebut.

Susulan perkongsiannya menjadi tular meskipun tidak mendedahkan identiti penjual tersebut, Ainaa berkata, peniaga terbabit kemudian tampil membuat permohonan maaf.

"Kuasa netizen boleh cari penjual tu di Kelantan sampai dia kena kecam. Dia dah minta maaf dan mengaku kesilapannya, serta dah bagi refund (bayaran balik).

"Saya berharap perkongsian ini menjadi iktibar kepada semua peniaga untuk ikhlas mengambil tempahan dan memberikan servis yang terbaik di atas permintaan pelanggan. Paling penting adalah sikap dan cara berkomunikasi yang profesional," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain