KECOH tular di media sosial mengenai dakwaan kesesakan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di Serdang, Selangor. Penyebaran video dan gambar di Maeps itu turut mendakwa mengenai kemudahan dan layanan yang diberikan kepada pesakit Covid-19 kurang memuaskan. Keadaan itu menimbulkan kebimbangan dan panik dalam kalangan netizen, terutama dengan peningkatan kes harian Covid-19 sehingga mencecah angka 3,000. ARTIKEL BERKAITAN: Kes Covid-19 libatkan warga asing naik mendadak, pusat kuarantin Maeps diaktifkan semula - Ismail Sabri ARTIKEL BERKAITAN: KKM jangka lonjakan kes Covid-19 susulan langkah wajibkan pekerja asing jalani ujian saringan Maeps kali pertama diaktifkan sebagai PKRC pada 16 April dan ditutup 15 Julai lalu. Pada 9 Disember lalu, kerajaan memutuskan untuk mengaktifkan semula Maeps sebagai PKRC. Tangkapan skrin video menunjukkan sejumlah orang sedang beratur di dalam dewan di Maeps. Namun, salah seorang pesakit Covid-19 yang ditempatkan di Maeps berkongsi mengenai pengalamannya yang jauh berbeza daripada apa yang didakwa netizen. Bercakap kepada mStar, Muhamad Afifie Chan berkata, dia dimasukkan ke Maeps pada Khamis selepas disahkan positif Covid-19, selepas melakukan ujian saringan susulan dimaklumkan merupakan kontak rapat kepada pesakit yang dijangkiti virus itu. "Video yang tular di media sosial menunjukkan ramai orang beratur tu sebenarnya bukan nak masuk ke dalam dewan, tetapi sebenarnya mereka discaj kerana dah sembuh dan dibenarkan pulang. Itu mereka beratur untuk keluar dari dewan. "Sebenarnya tak adalah sesak sampai dewan penuh. Banyak lagi katil yang kosong. Saya dan mereka yang lain ditempatkan di katil masing-masing. "Tiada yang menakutkan pun di dalam dewan Maeps ni. Keadaan di sini tenang, selesa dan bersih," katanya kepada mStar sambil menambah dirinya ditempatkan bersama pesakit warga tempatan dan dewan lain menempatkan pesakit warga asing bagi memudahkan pengurusan. Keadaan tandas yang bersih untuk digunakan pesakit. Pemuda berusia 30 tahun itu turut menjelaskan bahawa layanan daripada petugas barisan hadapan (frontliners) adalah baik dan keadaan terkawal. "Mereka (frontliners) sangat peramah dan antara kami sentiasa menceriakan keadaan di dalam dewan. Tiada tekanan pun, malah kadang-kadang rasa terhibur. "Makanan juga diberikan tiga kali sehari dan panas-panas bila dapat. Siap ada tempoh sah untuk dimakan bagi memastikan makanan elok dimakan. "Sedap-sedap juga makanan yang disediakan. Saya suka nasi ayam masak kurma, tapi ada yang kata nasi beriani pun sedap juga," ujarnya yang menetap di Putrajaya. Antara perkongsian Afifie di laman sosial mengenai penempatan di Maeps. Lebih mesra disapa Afifie, katanya, kemudahan seperti tandas dan ruang solat juga mencukupi dan dalam keadaan bersih serta memuaskan. "Setakat ini tak pernah lagi saya kena beratur atau terpaksa tunggu untuk masuk tandas. Memang bersih dan sentiasa dibersihkan. Selesa untuk buang air dan mandi, tapi janganlah anggap macam tandas kat hotel. Walaupun di dalam Maeps ni semua pesakit adalah positif Covid-19, tetapi mereka juga mempunyai sikap dan semangat yang positif MUHAMAD AFIFIE CHAN "Tak adalah panas pun seperti yang ramai sangka, tapi di sini sejuk sebab ada penyaman udara. Memang selesa keadaan di sini, sampaikan saya ada buat brisk walk (berjalan laju) di sekitar dewan," katanya. Bagi Afifie, apa yang paling ingin dikongsinya kepada orang luar adalah semangat positif pesakit Covid-19 yang ditempatkan di Maeps selain layanan baik oleh frontliners. Afifie menyukai makanan yang disajikan di Maeps. "Ada satu pintu yang akan dibuka dengan 'sound effect' (kesan bunyi) mantap, macam dalam filem sains fiksyen Maze Runner. Bila ada pesakit baru masuk, pintu akan dibuka dan kami yang di dalam akan bersorak bagi semangat supaya mereka yang baru masuk tidak rasa takut. "Walaupun di dalam Maeps ni semua pesakit adalah positif Covid-19, tetapi mereka juga mempunyai sikap dan semangat yang positif. Pengalaman ini yang amat dirindui saya bila discaj dan dibenarkan pulang. "Bukan sahaja tak perlu risau nak caj telefon secara terbuka sebab tak ada kecurian telefon tapi pada masa sama masih berhati-hati, dan mereka juga bekerjasama membantu meringankan beban frontliners dengan mengagihkan makanan bersama-sama. Sebab kami di sini macam kawan, dan berfikiran positif," katanya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!