suria

16 ahli keluarga bergelar frontliners, doktor ini tegur sikap alpa dan pentingkan diri masyarakat - “Kalian dah penat, kami dah penat... semua tak daya”

Dr Kamarul Ariffin meluahkan rasa kecewa dengan sikap segelintir masyarakat yang meengabaikan SOP sehingga menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19. Foto: FB Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan

SUDAH hampir setahun negara dibelenggu wabak Covid-19, sejak kes pertama dicatatkan pada penghujung Januari 2020.

Dalam tempoh tersebut, waktu yang paling mencabar bagi petugas barisan hadapan (frontliners) bermula sejak September lalu, ketika mana gelombang ketiga mulai mengganas dengan ratusan kes dicatatkan.

Lelah para frontliners semakin berlipat kali ganda apabila memasuki Disember lalu, di mana kes Covid-19 semakin menunjukkan peningkatan dengan empat digit kes direkodkan saban hari.

ARTIKEL BERKAITAN: Ditugaskan ke Semporna, doktor berpengalaman kini bertahan... tidak mahu tumbang di ‘TheLittleWuhan’- “Saya tak setanding doktor-doktor muda di sini”

ARTIKEL BERKAITAN: Kini doktor faham perasaan dikuarantin, lebih letih daripada bekerja - “Macam duduk dalam kubur tapi hidup”

Perkembangan ini sudah tentunya menimbulkan rasa kecewa frontliners yang bertungkus lumus siang dan malam, sementara masyarakat pula semakin alpa malah tanpa rasa bersalah bersuka ria mengunjungi tempat percutian dan mengadakan majlis keramaian seperti tiada apa-apa yang berlaku.

Terpanggil untuk mengulas perkembangan terbaharu ketika ini, seorang doktor menulis coretan di Facebook bagi meluahkan rasa kecewa dan dalam masa yang sama menegur sikap alpa masyarakat yang menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19.

"Saya kasihankan keluarga saya. Keluarga saya ni boleh kata semuanya doktor. Ibubapa saya doktor, adik beradik saya semua doktor, malah adik ipar saya semua pun doktor. Sembilan doktor semuanya. Jika termasuk biras dan sepupu-sepupu saya, 16 orang.

"Sepanjang tahun 2020 ni macam-macam dugaan kami dah harungi. Saya dan isteri, serta adik saya dah pernah buat ujian swab PCR beberapa kali serta jalani kuarantin 14 hari kerana kami ni frontliners. Terdedah kepada pesakit positif.



Ibu dan bapa kepada Dr Kamarul Ariffin, masing-masing berusia dalam lingkungan 60an, masih berkhidmat sebagai doktor.

"Ibubapa saya, umur dah pertengahan 60-an, masih lagi ambil risiko untuk berkhidmat sebagai frontliners. Adik beradik saya yang lain juga masih lagi berkhidmat di hospital, kerja siang malam.

"Setiap kali melangkah keluar, berdoa agar dapat menyelamatkan nyawa, dan dalam masa yang sama mempertaruhkan keselamatan dan kesihatan diri sendiri," tulis Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan di Facebook.

Lebih mengecewakan kata Dr Kamarul Ariffin, adalah wujudnya segelintir golongan yang mendakwa virus Covid-19 hanya konspirasi semata-mata.

"Sejujurnya, pedih hati saya ini bila ada orang kata wabak Covid-19 ni hanya pandemik dan konspirasi. Mudahlah mereka tuduh begitu kerana mereka atau ahli keluarga mereka tidak terlibat menjadi frontliners, atau dijangkiti wabak Covid-19 ni.

"Kami ni hari-hari risau terbawa penyakit balik ke rumah, kepada anak-anak. Kami risau sebab dah lihat dengan mata sendiri, telinga sendiri dengar ada pesakit Covid-19 yang kritikal, serta ada yang terkorban kerananya.

Kalian dah penat. Kami dah penat. Semua orang dah tak daya nak hadapi benda ni. Namun, selagi wabak ini belum terkawal, selagi itu kita masih perlu teruskan usaha ini.

DR KAMARUL ARIFFIN NOR SADAN

DOKTOR

"Mana tak risau. Ada pesakit yang menyembunyikan gejala, ada bohong tentang sejarah perjalanan, ada yang tak tahu ikut SOP, dan macam-macam lagi karenah yang kami perlu hadapi.

"Paling penat sekali, jika di maki hamun dan dituduh ejen propaganda. Ancaman wabak Covid-19 ni nyata. Real!" ujarnya lagi.

Dengan peningkatan ketara kes Covid-19 yang dicatatkan sejak sebulan kebelakangan ini, doktor berkenaan meminta kerjasama pelbagai pihak agar mengenepikan terlebih dahulu kepentingan masing-masing.

"Mohon gunakan kebebasan dan kelonggaran yang diberikan oleh MKN (Majlis Keselamatan Negara) dengan berhemah. Tak usahlah salah guna. Peraturan dan syarat yang dilaksanakan ni semua bukan untuk sekat kalian, tetapi lebih kepada nak lindungi kalian daripada musibah.



Isteri (kiri) dan adik Dr Kamarul yang pernah dikuarantin gara-gara pesakit yang mendapatkan rawatan disahkan positif Covid-19.

"Harapan kami juga agar persengketaan dan perebutan yang berlaku dalam landskap politik ni diketepikan dahulu. Ia sedikit sebanyak mengganggu fokus dan tumpuan kita semua dalam menjaga maslahatan serta kebajikan orang ramai.

"Kalian dah penat. Kami dah penat. Semua orang dah tak daya nak hadapi benda ni. Namun, selagi wabak ini belum terkawal, selagi itu kita masih perlu teruskan usaha ini. Moga-moga tahun ini ada sentaja yang lebih ampuh untuk menentang wabak ini.

"Saya Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan. Saya, keluarga saya, dan seluruh warga kesihatan akan terus berkhidmat kepada masyarakat. Kami mohon kalian semua beri kerjasama dan memahami situasi negara kita pada waktu ini," tulisnya lagi.

Sehingga kini perkongsian tersebut meraih 7,800 shares di Facebook.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain