SUDAHLAH kebas duit pelajar, individu tidak bertanggungjawab ini juga mencuri gambar orang lain untuk mengkaburi kegiatan jijiknya. Perkara tersebut hanya disedari mangsa, selepas terlihat gambarnya sendiri menerusi laporan mStar beberapa hari lalu berhubung satu kes penipuan (scam) bilik sewa pelajar universiti. Menurut suami kepada mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Acap, isterinya terkejut apabila melihat gambar sendiri digunakan oleh individu berkenaan sebagai gambar profil WhatsApp yang mendakwa dirinya seorang ejen bilik sewa. ARTIKEL BERKAITAN: Lagi kes pelajar kena scam bilik sewa! Taktik licik sampai kebas deposit RM310... ‘Masyitah’ terus lesap - “Harap dia unblock dan minta maaf, itu dah cukup” "Ketika itu selepas Maghrib, isteri hantar artikel tersebut kepada saya menerusi WhatsApp. Kami terkejut bila lihat gambar isteri digunakan dan didakwa sebagai scammer bilik sewa. "Walaupun sudah dikaburkan pada bahagian wajah, namun kami masih dapat kenal kerana ia adalah gambar photoshoot pre-wedding kami pada 2016. Malah kawan terdekat dan ahli keluarga pun boleh tahu itu gambar isteri saya. "Bila lihat gambar itu, memang jadi marahlah. Tak pasal-pasal isteri saya dikatakan sebagai scammer bilik sewa padahal tak ada kena mengena langsung," kata lelaki berusia 28 tahun ini. Posting yang dimuat naik oleh seorang pelajar di Twitter mengenai taktik seorang scammer yang memperdaya rakannya. Pada Khamis, mStar melaporkan perkongsian seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang kerugian RM310 selepas terpedaya dengan seorang wanita yang mengiklankan bilik sewa di laman mudah.my. Pelajar wanita tersebut turut memviralkan wajah wanita yang didakwa sebagai ejen bilik sewa berkenaan, bertujuan agar orang ramai berwaspada sekiranya berurusan dengan individu tersebut. Dalam pada itu menurut Acap, disebabkan gambar tersebut dimuat naik di laman sosial dan diviralkan, isterinya mengalami gangguan emosi ekoran mendapat banyak mesej termasuk daripada kenalan yang bertanyakan mengenai perkara tersebut. Kami terkejut kerana ini pertama kali berlaku sehingga wajah diviralkan. Pasal scammer pulak tu, mujur individu tu kenalkan diri dengan nama 'Masyitah', bukan nama isteri. ACAP SUAMI "Isteri saya juga takut-takut untuk keluar rumah kerana bimbang keselamatan dirinya selepas gambarnya tersebar. Itu satu hal, malu pun satu hal juga kerana dikaitkan sebagai scammer," katanya yang menetap di Seremban, Negeri Sembilan. Menurut Acap, dia dan isterinya enggan menuduh mana-mana pihak yang mungkin menggunakan gambar tersebut untuk menganiaya mereka. Sehubungan dengan itu, Acap berkata mereka sudah pun membuat laporan polis pada hari yang sama atas faktor keselamatan. Individu tidak bertanggungjawab itu menggunakan wajah isteri Acap sebagai gambar profil Whatsapp. "Kami terkejut kerana ini pertama kali berlaku sehingga wajah diviralkan. Pasal scammer pulak tu, mujur individu tu kenalkan diri dengan nama 'Masyitah', bukan nama isteri. "Kami serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan. Mudah-mudahan ada tindakan untuk mereka yang menganiaya orang... menipu dan mengambil gambar orang tanpa kebenaran. "Bagi pelajar atau mereka yang nak mencari rumah sewa, eloklah pergi berjumpa dahulu dengan ejen atau individu yang berkenaan sebelum lakukan apa-apa pembayaran deposit agar tak jadi mangsa scam," ujarnya lagi. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!