suria

Nak kurus punya pasal, pemuda buat research sendiri... makan ikan bakar hampir setiap hari selama lebih setahun - “Mula-mula saya tak ambil nasi langsung”

Transformasi Sapuwan yang berjaya menurunkan sehingga 45 kilogram begitu mengkagumkan ramai.

LELAKI mana yang tidak mahu mempunyai bentuk badan menarik dan tegap?

Selain memberi nilai tambah kepada penampilan serta keyakinan ketika berdepan dengan orang ramai, ia juga demi memelihara kesihatan diri untuk jangka panjang.

Disebabkan itulah Sapuwan Patrim nekad untuk menurunkan berat badannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan suami isteri obesiti berjaya turun berat badan kepada 2 digit, dulu beratus kilogram - “Faham kesusahan orang berbadan besar”

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Makan tak ingat’ sampai berat naik 120kg, jejaka ini bernasib baik berjaya kurus selepas hati terdetik ‘nak ada buah hati’

Memuat naik video dan gambar transformasi dirinya di Twitter, nyata perkongsian tersebut mengundang perhatian netizen sehingga ia meraih 3,500 retweet.

Berkongsi cerita dengan mStar, pemuda berusia 22 tahun itu berkata dia serius untuk menurunkan berat badan bermula Oktober 2019, ketika berat badannya mencecah 130 kilogram (kg).

"Mula-mula fikir nak kurus sahaja, tapi bila dah start diet dan workout, saya fikir ia demi kesihatan kerana secara tak langsung, ia mendorong saya menjaga pemakanan," kata pemuda yang berasal dari Kuala Selangor ini.

Bercerita mengenai rutin yang diamalkannya, Sapuwan berkata dia menyeimbangkan antara kepentingan menjaga pemakanan dan senaman.



Sapuwan menyeimbangkan rutinnya dengan menjaga pemakanan dan juga melakukan senaman.

"Saya hanya buat research sendiri dan tak ikut mana-mana coach. Pada mulanya saya tak ambil nasi langsung dan hanya ambil lauk sahaja. Tapi badan saya rasa tak sedap dan tak sihat. Kemudian saya ubah dan tetap makan nasi cuma dalam kuantiti yang sedikit.

"Setiap pagi selepas bangun tidur, mesti workout sekejap... joging pula seminggu dalam dua atau tiga kali. Saya akan pastikan untuk mengambil sarapan setiap pagi.

"Gula memang kena cut (potong) dan saya ganti dengan makan banyak buah-buahan. Dan saya akan makan malam sebelum pukul 8.00 malam.

"Menu diet pula, boleh dikatakan setiap hari saya akan makan ikan bakar sebab saya dan keluarga peniaga ikan. Tapi setiap hari tukar-tukar ikan dan selang seli dengan ayam bakar juga," ujar anak bongsu daripada empat adik beradik ini.

Jika dulu saya segan nak masuk kedai atau butik pakaian sebab segan nak minta saiz... takut baju yang berkenan tu tak ada saiz badan saya.

SAPUWAN PATRIM

PENIAGA

Hasil kerja kerasnya selama lebih setahun, Sapuwan berjaya menurunkan berat badannya daripada 130kg kepada 85kg.

Walaupun mengambil masa yang agak lama namun ternyata hasilnya sangat berbaloi.

"Saya masih lagi diet kerana mahu capai berat badan yang ideal iaitu sekitar 78kg mengikut indeks BMI. Tak dinafikan, cabaran tu memang ada terutama ketika keluar lepak dengan kawan-kawan.

"Memang order ais suam sajalah... makan pula kena jaga-jaga portion. Yang paling penting elakkan gula. Namun dalam sebulan sekali, saya ada juga 'cheat day'," katanya.

Menurutnya lagi, selepas menurunkan berat badan, pelbagai perubahan dapat dirasai dan dia dapat melakukan perkara yang tidak dapat dilakukannya sebelum ini.



Sapuwan masih dalam proses menurunkan berat badan kerana mahu mencapai berat badan ideal.

"Antaranya, pelanggan kedai ramai tegur... siapa tak seronok bila kena puji. Tapi lebih daripada itu, saya seronok kerana badan terasa lebih ringan dan sihat. Dulu kalau berjalan sikit dah tercungap-cungap, sekarang tak lagi.

"Begitu juga dari segi pakaian. Jika dulu saya segan nak masuk kedai atau butik pakaian sebab segan nak minta saiz... takut baju yang berkenan tu tak ada saiz badan saya. Memang terasa malu sendiri. Sekarang ni lebih yakin, nak bergaya lebih mudah sebab banyak pilihan, tak macam dulu," katanya lagi.

Tidak menyangka perkongsiannya meraih perhatian ramai, Sapuwan dalam masa yang sama turut memberi nasihat kepada mana-mana individu yang mahu menurunkan berat badan.

"Jangan putus asa... biar lambat asalkan dilakukan dengan cara yang sihat. InsyaAllah pasti akan dapat lihat hasilnya," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain