suria

Dulu tampal tracking number di bilik, pelajar U mampu buka pusat kurier sendiri hasil buat 9 bisnes - “Nak senang tak perlu jadi orang senang”

Bermula membuat penghantaran untuk barang pelanggan, Shafiq kini mengusahakan bisnes kurier sendiri. foto ihsan Mohamad Alif Shafiq Abdul Hisham

SIAPA sangka bermula dengan tampalan salinan rujukan tracking number untuk penghantaran barang-barang yang dibeli pelanggan di dinding, seorang pemuda kini melangkah ke hadapan dengan mengusahakan bisnes perkhidmatan kuriernya sendiri.

Peniaga dalam talian itu pada tahun lalu tular di media sosial, kerana memberi semangat kepada adik lelakinya dengan membuka 'studio kasut' di dalam bilik tidur.

Awal tahun 2021 menyaksikan dia kembali tular apabila berjaya membuka francais perkhidmatan kurier J&T Express pada usia muda iaitu 24 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Niat tak nak susahkan mak ayah buka hati si abang... graduan kolej terus bangkit selepas bisnes tak laku, siap bilik jadi studio kasut - "Tingkap penuh tracking number..."

ARTIKEL BERKAITAN: Tak ada duit sambung belajar, pemuda balik kampung dan buka kedai kopi dalam bilik tidur... kini harapkan rezeki di lorong belakang

Pemuda berkenaan, Mohamad Alif Shafiq Abdul Hisham memberitahu, dia melihat terdapat prospek dalam servis penghantaran sejak berniaga secara dalam talian empat tahun lalu.



Salinan 'tracking number' yang ditampal di dinding bilik tidur.

Katanya, pandemik Covid-19 yang melanda negara tahun lalu membuatkan orang ramai lebih cenderung untuk membuat pembelian dalam talian, sekali gus merancakkan bisnesnya.

"Bila pelanggan beli dalam talian, saya kena guna khidmat kurier untuk penghantaran dan ia mempunyai kos. Bayangkan pernah sehari kos penghantaran sebanyak RM400.

"Jadi, satu malam saya terfikir alangkah bagusnya kalau saya ada bisnes servis penghantaran sendiri, mudah-mudahan ramai yang menyokong," katanya kepada mStar.



Antara bungkusan barang sebelum ini untuk penghantaran kepada pelanggan.

Lebih mesra disapa Shafiq, anak muda itu berkongsi mengenai kebiasaannya yang suka mengambil gambar termasuk foto dirinya setiap kali menghantar barang-barang pelanggan.

"Sama ada gambar bungkusan barang atau saya selfie di hadapan kedai (pusat kurier). Setiap kali saya buat postage, pasti saya akan kongsi di laman sosial saya.

"Ada sekeping gambar saya di hadapan kedai tu dimuat naik di Instagram story kerana terfikir nak buka servis kurier suatu hari nanti. Seorang kawan yang melihat foto berkenaan secara tiba-tiba turut memberi cadangan yang sama dalam fikiran saya," katanya yang kemudian menimba pengalaman daripada tiga pengusaha servis kurier.



Shafiq suka bergambar di pusat kurier setiap kali menguruskan penghantaran barang untuk para pelanggannya.

Pemuda yang berasal dari Ijok di Kuala Selangor, Selangor itu mengakui bukan mudah untuk mengusahakan bisnes berkenaan kerana banyak perkara dan proses yang perlu dipelajari.

"Bagi saya, kalau saya hendak mencapai sesuatu, saya perlu lakukannya sampai dapat. Macam sekarang, saya berniaga sambil belajar.

Tak perlu jadi orang senang untuk senang, tapi apa yang penting adalah kita berusaha untuk capai apa yang kita nak sampai berjaya.

MOHAMAD ALIF SHAFIQ ABDUL HISHAM

"Macam-macam bisnes yang saya buat, dari jual gajet, aksesori telefon hingga jual telefon, kasut dan cermin. Sejak empat tahun berniaga, kira-kira sembilan bisnes yang saya telah usahakan secara dalam talian," ujar pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Seni Bina Landskap di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak, Selangor.

Hasil simpanan dalam pelbagai bisnes sejak empat tahun itu juga membolehkan anak ketiga daripada lima beradik itu mempunyai modal sendiri untuk mengusahakan servis kurier.



Shafiq (kanan) bersama pelanggan pertama untuk bisnes kuriernya.

Menurut Shafiq, francais servis kurier yang diusahakannya di Ampang, Selangor itu mula beroperasi pada Isnin, menggunakan modal sebanyak RM100,000.

"Ayah saya merupakan mutawif yang bertugas mengiringi jemaah umrah serta haji tetapi pendapatannya terjejas berikutan pandemik Covid-19, manakala ibu bekerja sebagai guru tadika.

"Hanya 20 peratus simpanan keluarga menyumbang kepada modal bisnes kurier saya ini, selebihnya adalah hasil titik peluh saya buat sembilan bisnes.

"Saya bukan dari keluarga yang senang. Tak perlu jadi orang senang untuk senang, tapi apa yang penting adalah kita berusaha untuk capai apa yang kita nak sampai berjaya," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!