suria

Pelajar tak merungut siapkan tugasan... bersenam di mana saja, termasuk di wad Covid-19! - “Pensyarah dah beri pelepasan”

(kanan) Adiib dimasukkan ke hospital akibat dijangkiti Covid-19. (kiri) Tangkapan skrin video tugasan yang dilakukan Adiib dari dalam wad.

PANDEMIK Covid-19 menyaksikan pelajar berdepan dengan cabaran menyiapkan tugasan dari rumah terutama dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tidak terkecuali, segelintir mereka mengeluh dengan norma baharu itu. Namun seorang pelajar universiti menjadi perhatian apabila menyiapkan tugasan dari wad Covid-19.

"Semalam punya cerita, pelajar Covid-19, kuarantin di hospital hantar video tugasan dan buat presentation tanpa complaint (keluhan). Siap pakai baju hospital lagi. Mencari ilmu itu jihad. Fikir positif dan kekal selamat. Well done (Bagus)." tulis seorang pensyarah di laman Instagram miliknya, Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Spot paling stabil 'bawah pokok'... disitulah calon pelajar medik ditemuduga, pensyarah asyik dengar kicauan burung - "Nasihat saya jangan panik, berterus terang..."

ARTIKEL BERKAITAN: Sanggup bermalam atas pokok, nyaris disengat tebuan demi akses Internet untuk jawab peperiksaan

Pelajar berkenaan, Muhammad Adiib Abdul Razak berkata, dia disahkan positif Covid-19 pada 27 Disember lalu selepas menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19.



Video yang dibentangkan dalam pembentangan tugasan berkumpulan.

Pemuda berusia 20 tahun itu berkata, dia kini mengikuti pengajian tahun dua Diploma Ketangkasan Pertahanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Kuala Lumpur.

"Sebelum disahkan positif Covid-19, saya terlebih dahulu menerima tugasan berkumpulan bagi subjek Instruktur Gimnasium di mana tarikh akhir serahan pada 5 Januari 2021.

"Saya telah memaklumkan kepada pensyarah mengenai keadaan saya dan diberikan pelepasan untuk menghantar tugasan sebaik sembuh dan discaj," kata kepada mStar.



Adiib dimasukkan ke Hospital Kuala Krai sebelum dipindahkan ke Hospital Tumpat.

Walaupun tugasan berkumpulan, dia yang lebih mesra disapa Adiib berkata, setiap ahli kumpulan perlu membuat video secara individu dan dihimpunkan sebagai video komplikasi.

Pemuda yang berasal dari Kok Lanas di Ketereh, Kelantan bersyukur apabila enam ahli kumpulannya yang lain memahami keadaan kesihatannya, malah sedia menawarkan bantuan.

"Ada antara rakan-rakan dalam kumpulan saya mahu membantu menyiapkan tugasan dengan membuat video bagi pihak saya dan saya hanya perlu melakukan presentation," ujarnya yang dimasukkan ke Hospital Kuala Krai sebelum dipindahkan ke Hospital Tumpat di Kelantan.



Adiib (belakang, tiga dari kanan) bersama pasukan bola sepaknya.

Bagaimanapun, anak kelima daripada lapan beradik itu berkata, dia lebih selesa untuk melakukannya sendiri kerana tugasan berkumpulan memerlukan komitmen semua pihak.

"Kalau saya tunggu discaj dan pulang ke rumah, nanti kerja rakan-rakan tertangguh kerana ia tugasan berkumpulan.

"Jadi, saya ada rasa tanggungjawab untuk melakukannya di hospital dan syukur keadaan saya stabil untuk membuat tugasan itu, iaitu membuat video berdurasi 30 saat mengenai latihan senaman yang melibatkan kekuatan otot," katanya sambil menambah senaman itu amat bersesuaian untuk dilakukan di rumah terutama ketika PKP.



Aktiviti keagamaan dan kerohanian yang dilakukan Adiib semasa menjalani rawatan di hospital.

Dari bilik yang dihuni empat pesakit Covid-19 pada 4 Januari lalu, Adiib yang aktif bermain bola sepak itu membuat rakaman mengenai dirinya melakukan latihan squat untuk ketahanan otot, mengekalkan postur dan keseimbangan badan.

Penyokong kelab Manchester United itu berkata, tempoh rawatan dan kuarantin di hospital turut diisi amalan gaya hidup sihat dan aktiviti kerohaniaan serta keagamaan bersama pesakit-pesakit lain.

Syukur alhamdulillah saya bukan sahaja dapat menyempurnakan tugasan, malah berpeluang untuk melakukan presentation bersama ahli kumpulan

MUHAMMAD ADIIB ABDUL RAZAK

"Saya sudah terbiasa ke gim untuk bersenam kerana perlu mengekalkan stamina dan kecergasan untuk bermain bola sepak di padang.

"Jadi, setiap pagi di hospital saya akan mengambil peluang untuk bersenam seperti lari setempat dan melakukan push up (tekan tubi) serta lompat bintang. Di mana saja di wad termasuk melakukannya di bilik mandi," katanya.



Adiib yang aktif bermain bola sepak bercita-cita untuk menjadi guru sukan.

Dalam pada itu, Adibb berharap agar semua pelajar yang mengikuti pembelajaran secara terbuka dan jarak jauh (ODL) bersemangat dan sentiasa berfikiran positif untuk menyiapkan setiap tugasan yang diberikan oleh pensyarah.

Bagi pensyarah pula, Adibb meminta mereka memahami situasi pelajar ketika pandemik ini, di mana saling memahami antara satu sama lain dapat mewujudkan situasi pembelajaran yang sempurna.

Bercita-cita untuk menjadi guru sukan mengikut jejak langkah bapanya, pemuda ini telah sembuh dan discaj dari hospital pada minggu lalu.

"Syukur Alhamdulillah saya bukan sahaja dapat menyempurnakan tugasan, malah berpeluang untuk melakukan presentation bersama ahli kumpulan pada Jumaat (15 Januari).

"Segalanya berlancar dengan lancar, saya lega dan berpuas hati dengan tugasan ini kerana masih dapat melakukannya sendiri dari dalam wad," katanya sambil menambah akan menghadapi peperiksaan akhir semenster minggu depan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain