BERKAHWIN pasangan yang berlainan negara semestinya berdepan dengan pelbagai cabaran memandangkan suami dan isteri mempunyai latar belakang yang berbeza. Pastinya aspek seperti budaya, adat resam dan bahasa pertuturan merupakan antara perkara yang menjadi cabaran utama dalam melayari bahtera perkahwinan. Namun itulah keunikan hubungan cinta antara dua negara, sebagaimana pasangan Malaysia-Afrika ini yang mencuri perhatian ramai gara-gara video TikTok 'cabaran' berbahasa Melayu menjadi tular sejak dua hari lalu. ARTIKEL BERKAITAN: Ramai terhibur tengok pasangan Malaysia - Amerika... bawang merah jadi ‘burung merah’, yang penting confident! - “Mula dating pun Rachel dah suka loghat saya” ARTIKEL BERKAITAN: Hati terpaut saat dipujuk ketika menangis, jejaka Guinea pilihan anak Kedah ini bukan biasa-biasa! Gelagat Noor Habibah Hairi yang menguji suami dan anak sulungnya dengan beberapa perkataan serta ayat dalam bahasa Melayu begitu mengkagumkan netizen apabila kedua-duanya 'lulus' cabaran berkenaan. Malah netizen juga memuji kedua-dua beranak berkenaan yang dilihat langsung tidak kekok apabila berbahasa kebangsaan. Sejak dimuat naik pada Isnin, video berkenaan setakat ini meraih lebih 600,000 jumlah tontonan. Klip video suami dan anak sulung Noor Habibah yang bertutur dalam bahasa Melayu mendapat perhatian netizen. Ketika berkongsi cerita dengan mStar, Noor Habibah berkata video berkenaan dikongsikan di aplikasi berkenaan selepas mendapat satu pertanyaan daripada netizen yang bertanyakan sama ada dia mendapat halangan daripada keluarga apabila memilih untuk berkahwin dengan lelaki asing. "Memandangkan sekarang ni pun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ada banyak masa terluang, jadi saya pun suka-suka buat video TikTok. Tak sangka viral dan ini kali pertama video jadi begitu hit," ujar wanita berusia 35 tahun ini yang mengahwini lelaki warga Nigeria, Adam Desmond. Menurut Noor Habibah, dia sememangnya melatih keempat-empat anaknya bertutur bahasa Melayu dalam perbualan seharian. Malah tiga anaknya dihantar bersekolah di sekolah kebangsaan biasa, bukan sekolah antarabangsa. Noor Habibah dan suaminya sepakat untuk menghantar tiga anak mereka ke sekolah kebangsaan untuk lebih mendalami bahasa Melayu. "Masa mula mendapat anak pertama, ramai yang cadangkan supaya kami hantar anak ke sekolah antarabangsa. Selepas berbincang dengan suami, kami putuskan untuk hantar anak ke sekolah kebangsaan. Lagipun kita di Malaysia kan. "Anak kedua dan ketiga pun sama, kami hantar ke sekolah kebangsaan. Kami tak mahu ada jurang komunikasi antara mereka dengan orang kita. "Anak sulung yang berusia 13 tahun malah beritahu adik-adiknya, kenapa nak kena bazirkan duit mama dan papa untuk ke sekolah antarabangsa? Dalam usia muda, dia sendiri sudah mengerti. "Kalau bertemu dengan opah dan adik beradik di sebelah saya, saya sendiri menyuruh mereka bertutur dalam bahasa Melayu dengan anak-anak saya," ujarnya yang menetap di Seri Kembangan, Selangor. Anak sulung yang berusia 13 tahun malah beritahu adik-adiknya, kenapa nak kena bazirkan duit mama dan papa untuk ke sekolah antarabangsa? NOOR HABIBAH HAIRI PENIAGA Begitu juga dengan makanan, Noor Habibah berkata anak-anaknya begitu menggemari hidangan Melayu malah tidak kekok untuk makan makanan berasaskan durian atau tempoyak. "Jika hari Isnin hingga Jumaat saya masak makanan Melayu, pada hari minggu bapa mereka pula akan masak makanan Nigeria. Anak-anak suka dua-dua jenis makanan," ujarnya yang baru menjalankan perniagaan berasaskan makanan ringan, Chin Chin. Tidak menafikan pernah menerima kata-kata kurang enak lantaran memilih lelaki asing sebagai pasangan, Noor Habibah bagaimanapun berkata situasi itu semakin kurang dirasai pada ketika ini disebabkan ramai yang sudah berfikiran terbuka. "Awal-awal tu biasa dah. Tapi sekarang ni mungkin dah ramai yang berfikiran terbuka. Contohnya apabila kami menerima komen-komen positif daripada netizen mengenai video yang viral baru-baru ni. "Saya tunjukkan komen-komen tu kepada anak dan suami... mereka gembira sangat sampai siap ajak buat video lagi," ujarnya. Noor Habibah dan suami saling menghormati dan tidak melihat perbezaan budaya sebagai satu isu besar dalam perkahwinan mereka. Menurut Noor Habibah lagi, apa yang penting dalam sesebuah perkahwinan adalah sikap saling menghormati antara pasangan. "Macam kami contohnya, saya belajar budaya suami dan suami juga belajar budaya saya. Sebenarnya suami tiada masalah nak suaikan diri kerana dia dah tinggal di Malaysia selama 17 tahun. "Sebelum kami berkahwin lagi, suami dah terbiasa dengan budaya Malaysia. Malah dia juga ada ibu dan bapa angkat Melayu. Pokoknya, kita saling hormat menghormati," katanya lagi. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!