suria

Alamak kantoi pula! Pelukis gabra Remy Ishak hantar DM, nak beli foto ‘hadiah sendiri’ - “Saya bincang dengan kelab peminatnya...”

Mir tidak menyangka lukisannya menerima pujian daripada Remy Ishak.

GADIS manis ini pernah mencuri tumpuan netizen selepas menghasilkan satu karya lukisan stensil yang memaparkan wajah penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Terbaharu, dia sekali lagi membuatkan mata netizen terpana apabila menghasilkan karya stensil potret hero filem popular, Remy Ishak.

Berkongsi klip video pendek proses penghasilan lukisan stensil potret pelakon itu di Twitter, ternyata ia meraih perhatian ramai apabila sehingga kini video tersebut mencatatkan hampir 300,000 tontonan dan lebih 10,000 retweet.

ARTIKEL BERKAITAN: Dapat satu tempahan lukisan stensil Tokti, tapi gadis ini sanggup hasilkan dua karya demi penyanyi kesayangan- “Saya berbesar hati nak hadiahkan... beliau legenda”

ARTIKEL BERKAITAN: “Penat saya buat, dia senang-senang ambil” - Lukis potret wajah pelakon 7 Hari Mencintaiku, pelukis kesal ada yang selamba buat macam karya sendiri

Selain dibanjiri dengan komen positif netizen, lebih manis lagi karya gadis ini turut mendapat pujian daripada tuan punya badan sendiri.

Ketika berkongsi cerita dengan mStar, Mir Amelyn Saffiya Hazil Azran berkata dia sendiri terkejut bercampur terharu apabila Remy memberikan pujian di ruangan komen.

Malah menurut gadis yang senang disapa sebagai Mir ini, pelakon yang popular dengan drama Lelaki Kiriman Tuhan itu turut menghantar pesanan melalui Direct Message (DM) di Twitter dan meluahkan hasrat mahu membeli lukisan tersebut.



Remy kagum dengan lukisan potret wajahnya yang dihasilkan oleh Mir.

"Lukisan Remy saya buat minggu lalu, ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru saja dikuatkuasa. Ia sebenarnya adalah permintaan daripada kelab peminat Remy sendiri yang mahu hadiahkan kepadanya sewaktu majlis 'Meet and Greet' yang dijadualkan hujung bulan ini.

"Saya post di Twitter tanpa jangka apa-apa maklum balas tapi tak sangka ia viral sehinggakan Remy sendiri komen dan DM. Dia mahu beli lukisan tu tanpa mengetahui sebenarnya ia bakal dihadiahkan kepadanya oleh kelab peminatnya.

"Saya kemudian beritahu dan bincang dengan kelab peminatnya mengenai perkara tersebut dan semuanya dah dijelaskan kepada Remy semula. Kantoi pula bila Remy nak beli hadiah sendiri," cerita gadis manis berusia 20 tahun ini sambil ketawa kecil.



Proses menghasilkan lukisan stensil yang dikongsikan Mir menerusi aplikasi TikTok.

Bercerita mengenai lukisan stensil yang dihasilkannya, Mir berkata dia lazimnya mengambil masa dua hari untuk menyiapkan satu lukisan, bergantung kepada saiz.

Mengakui lukisan stensil adalah karya yang rumit untuk dihasilkan, Mir berkata dia banyak mempelajari sendiri teknik tersebut untuk menajamkan lagi kemahirannya.

"Sebenarnya masa sekolah dulu dah belajar basic... kemudian saya banyak belajar sendiri, kebanyakan menerusi internet. Lima tahun juga dah ceburi teknik ini.

"Ada juga masanya lukisan tak menjadi seperti potret subjek yang nak dihasilkan. Tapi lama-lama, tingkatkan kemahiran. Penting sekali, teknik ini bergantung kepada proses menggunting. Bahagian ini kena tepat sebab lukisan bergantung kepada pattern.

Remy mahu beli lukisan tu tanpa mengetahui sebenarnya ia bakal dihadiahkan kepadanya oleh kelab peminatnya.

MIR AMELYN SAFFIYA HAZIL AZRAN

PELUKIS

"Selepas itu, proses mengecat dah jadi mudah. Mungkin lukisan stensil ini masih lagi baharu dan kurang didedahkan, jadi sebab itu ramai yang kagum tengok hasilnya," terang Mir yang pernah menuntut dalam bidang Rekabentuk Dalaman dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini.

Gadis ini turut mengakui menerima tempahan yang menggalakkan daripada pelanggan untuk menghasilkan lukisan stensil, sehingga dia boleh menjana pendapatan sampingan.

Malah, anak kedua daripada tiga beradik yang mempunyai studio sendiri ini berhasrat untuk terus mengorak langkah meneruskan kerjaya di dalam bidang seni kelak.

"Tak dinafikan, bagi sesetengah orang, mereka melihat bidang seni ini tiada masa depan. Tambahan pula, barang seperti cat dan sebagainya bukan murah.



Antara karya Mir yang menggunakan teknik stensil.

"Justeru karya pun perlu sepadan dengan harga dan idea yang dicurahkan... sebab itu ada yang anggap tak ramai orang nak beli mahal-mahal, jadi tak mendatangkan keuntungan buat mereka yang terlibat dalam bidang seni.

"Tapi Alhamdulillah, sepanjang hampir setahun terlibat secara serius dalam bidang ini, setakat ini boleh dikatakan ia sangat berbaloi untuk saya. Pelanggan sangat menghargai dan sanggup melabur untuk karya seni.

"Saya akan teruskan kerjaya dalam bidang ni, tambahan pula dapat sokongan padu daripada keluarga. Perancangan selepas ini, nak buka kelas untuk lukisan stensil tapi ada kekangan sebab PKP. InsyaAllah, satu hari nanti nak juga buka kelas untuk kembangkan lagi teknik ini agar lebih dikenali," ujarnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain