PELBAGAI ragam dan gelagat penumpang yang menggunakan perkhidmatan e-hailing, Grab. Seorang pemandu Grab berkongsi pengalamannya yang terkejut apabila membawa seorang penumpang yang secara tiba-tiba ketawa mengilai di dalam kereta yang dipandunya. Menerusi klip video di aplikasi TikTok, pemuda berkenaan melakonkan semula suara penumpang wanita itu ketawa mengilai sehingga menimbulkan rasa seram. ARTIKEL BERKAITAN: Seram! Dapat tambang daun kering, isteri pemandu Grab dedah,"Wanita tu pelik, sikit-sikit gelak" ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh 'kaki story' tak sengaja rakam 'cik ponti' jam 4 pagi,"Ramai kata ada orang bela, bersepah kat sini" Berkongsi pengalaman kepada mStar, pemuda berkenaan, Mohamad Abidin Abd Halim berkata, kejadian itu berlaku selepas mengambil seorang penumpang wanita di Putrajaya Sentral di Putrajaya pada lewat petang Rabu. Berpengalaman sebagai pemandu Grab sejak setahun lalu. Pemandu berusia 23 tahun itu bagaimanapun tidak mengesyaki sesuatu yang mencurigakan sepanjang perjalanan bagi menghantar penumpang tersebut di rumahnya, juga di Putrajaya. "Saya beri salam kat akak tu, tapi dia senyap je. Mungkin dia bad mood sebab waktu orang pulang dari tempat kerja, jadi mungkin dia stres dengan kerja. "Masa tu dekat waktu Maghrib, sunyi je dalam kereta. Tiba-tiba saya dengar bunyi ketawa mengilai dari belakang. Jantung rasa nak jatuh masa tu," katanya ketika dihubungi. Menoleh ke tempat duduk belakang, pemuda yang lebih mesra disapa Abidin itu terus melihat penumpang wanita itu yang kemudian meminta maaf kepadanya. Abidin terkejut dengan penumpangnya yang ketawa mengilai. "Akak tu minta maaf berkali-kali sebab dia tak dapat tahan ketawa masa borak dengan kawan dia menerusi panggilan telefon. Masa tu barulah nampak dia pakai earphone (fon telinga). "Patutlah sunyi sepi dan akak tu tak jawab salam. Rupa-rupanya dari sebelum masuk kereta lagi akak tu berbual dengan kawan dia, dan mungkin fokus dengan apa yang kawan dia cerita sampai kelakar tu yang mengilai macam cik ponti (pontianak)," ujarnya. Bayangkan kalau penumpang tiba-tiba mengilai dalam kereta, mungkin ada pemandu tertekan brek sebab terkejut dan ia sangat membahayakan. MOHAMAD ABIDIN ABD HALIM Bagaimanapun, pemuda yang berasal dari Kajang, Selangor itu berkata, ini bukanlah pertama kali dia mengalami situasi menyeramkan semasa bertugas sebagai pemandu Grab. "Sebelum ini pernah beberapa kali saya nampak cik ponti masa bawa kereta sampai tengah malam. Tak ada penumpang masa tu, tapi saya nampak ada kelibat wanita berambut panjang menerusi cermin pandang belakang. "Bila saya toleh, tak ada siapa kat tempat duduk belakang. Memang seram, tapi tak pasti yang saya nampak tu betul-betul cik ponti atau halusinasi saya saja," kata Abidin yang berkhidmat sebagai pemandu Grab kira-kira setahun lalu. Abidin berkongsi pengalaman memandu ketika tengah malam. Menurut anak sulung daripada lapan beradik itu, perkongsian video tersebut mungkin dianggap lucu, tapi turut memberi mesej kepada penumpang untuk berkelakuan sopan. "Bukan pemandu saja yang kena beri tumpuan kepada pemanduan, tetapi penumpang juga kena behave (berkelakuan sopan). Kadang-kadang kami kena juga bercakap dengan penumpang untuk bertanya tentang laluan atau arah yang boleh dicadangkan mereka. "Apa yang saya bimbang kalau ada pakcik-pakcik Grab atau mereka yang lemah semangat. Bayangkan kalau penumpang tiba-tiba mengilai dalam kereta, mungkin ada pemandu tertekan brek sebab terkejut dan ia sangat membahayakan," katanya yang turut mengusahakan kedai makan di Banting. Namun kata Abidin, kejadian 'penumpang mengilai' dan 'cik ponti' tidak mematahkan semangatnya untuk terus mencari rezeki sebagai pemandu Grab. "Walau bagaimanapun, kejadian nampak cik ponti dalam kereta tengah malam dan akak yang ketawa mengilai tu tu dua-dua sama seram," ujarnya secara berseloroh. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!