suria

Sering dikait cerita-cerita busuk, abe Kelate bangkit atur strategi... kini bukan sahaja hantar makanan, 50 rider gigih bantu beri kucing terbiar makan

Sebagai pencinta haiwan, Saifullah turut membela ular di kediamannya di Pengkalan Chepa, Kelantan.

JUPO kucing bui makey (jumpa kucing bagi makan).

Itulah tanda pagar (hashtag) yang digunakan oleh Saifullah Omar, 31, rider yang terlibat dalam aktiviti memberi makan kepada kucing terbiar di negeri Kelantan.

Terbaharu, dia yang juga Pengerusi Pet Lover Kelantan bersama hampir 50 rider penghantar makanan yang lain, turun padang untuk membantu kucing-kucing terbiar di sekitar negeri itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Dalam perjalanan hantar order, rider nak menitis air mata baca notifikasi di telefon... terus berhenti tepi

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai tersentuh hati tengok rider bawa anak ketika bertugas hantar makanan.

Mesra disapa Saifullah, dia sewaktu dihubungi mStar meluahkan rasa syukur apabila program itu berjaya direalisasikan pada malam Khamis lalu.

"Sebelum ini, sekitar dua tahun lepas saya sudah membuat kerja-kerja ini bersama isteri. Tapi aktiviti ini terhenti apabila adanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kemudiannya, saya baru sahaja menjadi rider sebulan yang lalu. Jadi saya ambil kesempatan dengan kerja saya untuk hidupkan semula aktiviti itu.

Program yang diadakan pada Khamis malam.

"Saya ajak 50 rider untuk buat program ini. InsyaAllah akan teruskan lagi pada masa akan datang.

"Pada masa sama, saya syorkan agar ia dilakukan setiap hari. Setiap rider boleh bawa satu botol makanan kucing, simpan dalam bakul motor. Kalau nampak kucing, boleh terus bagi makan," ujarnya.

Kata Saifullah yang menetap di Pengkalan Chepa, program itu juga dilaksanakan bagi membersihkan persepsi negatif yang sering dilemparkan terhadap golongan rider.

Bila ada tanggapan negatif, semua rider yang lain pun akan terpalit.

SAIFULLAH

"Rider, sering dikaitkan dengan cerita-cerita busuk. Bekas mat rempit? seludup dadah? samseng jalanan?

"Mungkin ada segelintir, tapi tak semua. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

"Jangan disebabkan adanya cerita yang tak elok, masyarakat dah tak nampak semua kerja amal yang rider buat.

"Bila ada tanggapan negatif, semua rider yang lain pun akan terpalit. Niat saya nak bagi persepsi positif sahaja," ujarnya lagi.

Saifullah baru sahaja menjadi rider sejak sebulan yang lalu.

Bercerita mengenai dirinya, Saifullah mendedahkan dia dan isteri juga merupakan peminat haiwan.

Di kediamannya, dia membela empat ular sawa burma, dua katak, seekor cicak geeko dan empat kucing.

Dalam pada itu, netizen di ruangan komen turut memuji usaha murni kumpulan rider berkenaan.

Malah, mereka turut mendoakan kumpulan itu agar terus berbakti kepada masyarakat dan pada masa sama, tidak lupa menjaga keselamatan diri.

Antara yang turut terlibat dalam program itu.

"Alhamdulillah. Semoga semua murah rezeki yang memberi anak-anak ini makan.

"Semoga semuanya dimurahkan rezeki, diberi kesihatan yang baik dan sentiasa dalam rahmat Allah.

"Semoga kalian semua diluaskan rezeki dan sentiasa dilindungi Illahi," tulis netizen.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain