suria

Nate aye! Cikgu alami ‘gangguan’ hari pertama sesi PdPR, ayam hutan kena marah - “Kali ketiga tekan ‘on record’ masa itulah nak buat hal”

Video Cikgu Sohailawati yang berdepan 'gangguan' ketika sedang menjalankan PdPR menjadi tular di media sosial, baru-baru ini.

SITUASI pandemik Covid-19 yang masih belum pulih sehingga kini menyaksikan sesi pengajaran dan pembelajaran terpaksa dilakukan dalam norma baharu.

Ketika ini pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Keadaan ini pastinya menimbulkan pelbagai cabaran bukan sahaja kepada para pelajar dan ibu bapa, malah turut dialami oleh guru-guru yang bertungkus lumus dalam memastikan ilmu dapat disampaikan walau apa jua keadaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Guru bawa anak nak ambil SPM keluar, rupa-rupanya ada kisah di sebalik printer baru beli - “Masa PKP ni kalau kita mampu, bantulah”

ARTIKEL BERKAITAN: Guru gigih buat kelas online tapi ‘0 kehadiran’, anak dedah bapanya kecewa sampai tahap nak pencen - “Abi bersangka baik pada student dia, salahkan link saya buat”

Baru-baru ini tular satu klip video menunjukkan seorang guru wanita berdepan 'gangguan' ketika sedang membuat rakaman pengajaran di rumahnya.

Menerusi video tersebut, kedengaran bunyi kokokan ayam yang nyaring sewaktu guru berkenaan sedang membuat rakaman, sehingga dia akhirnya tidak dapat menahan ketawa lantas secara spontan mengeluarkan perkataan lucu dalam dialek Kelantan.

Berkongsi cerita dengan mStar, Sohailawati Ibrahim berkata, kejadian lucu itu berlaku pada hari pertama sesi PdPR iaitu pada 20 Januari.



Ayam-ayam hutan peliharaan Cikgu Sohailawati yang menjadi punca videonya viral, baru-baru ini.

"Ketika itu waktu pagi kira-kira pukul 9... sedang saya buat rakaman untuk sesi orientasi murid prasekolah, tiba-tiba terdengar bunyi kokokan nyaring.

"Entah dari mana datangnya ayam-ayam ni... sebelum itu saya dah dua kali 'take', tak ada pula bunyi ayam. Tiba-tiba masa tekan butang 'on record' kali ketiga, ayam pun berkokok.

"Masa itulah mereka buat hal... Itu yang terkeluar secara spontan perkataan 'nate aye' (binatang ayam) tu. Bunyi itu nyaring sebab 'meja kerja' saya tempatkan di ruang tamu," katanya sambil ketawa kecil.

Menurut guru berusia 41 tahun ini, rakaman berjalan lancar selepas dia menghalau ayam-ayam berkenaan.



'Pejabat' Cikgu Sohailawati untuk menjalankan PdPR yang terletak di ruang tamu rumahnya.

"Ayam-ayam tu ayam hutan peliharaan kami. Memang nyaring sikit bunyinya. Lepas dah halau tu baru saya rakam semula.

"Sebenarnya saya tak tahu ia boleh jadi viral sebab saya tak muat naik di media sosial. Selepas buat rakaman, kami para guru prasekolah berkongsi video masing-masing di Group WhatsApp untuk kongsi pandangan dan sebagainya.

"Masa itu saya berseloroh jangan share di mana-mana, nanti viral. Pada mulanya dikongsi di group sekolah dan keluarga saja... entah macam mana viral baru-baru ini.

"Masa dapat tahu viral, terkejut campur takut... bimbang juga sebab saya cikgu, takut bagi kesan kepada imej sekolah dan pendidik. Tapi pihak sekolah okay saja. Malah dapat kata-kata positif yang hargai usaha para guru untuk sampaikan ilmu walaupun berdepan cabaran," ujarnya yang menetap di Pengkalan Chepa, Kelantan.

Ayam-ayam tu ayam hutan peliharaan kami. Memang nyaring sikit bunyinya. Lepas dah halau tu baru saya rakam semula.

SOHAILAWATI IBRAHIM

GURU

Bercerita lebih lanjut, Sohailawati yang merupakan guru di Prasekolah Pelangi, SK Pulau Kundor, Kota Bharu, berkata antara cabaran lain sesi PdPR adalah masalah liputan internet.

"Liputan internet di rumah saya okay tapi cabarannya adalah anak-anak murid saya sebab sekolah kami walaupun di Kota Bharu, lokasinya sedikit pedalaman. Jadi ada masalah dari segi liputan internet.



Untuk mengatasi masalah liputan internet, Sohailawati dan guru yang lain akan mengaturkan perjumpaan mingguan dengan ibu bapa bagi mengagihkan bahan pembelajaran kepada anak murid.

"Dalam pada itu, tak semua anak murid saya ada akses internet kerana sebahagian besarnya bukan orang senang... ibu bapa mereka adalah golongan nelayan dan pencanting batik.

"Jadi untuk atasi masalah ini, kami akan adakan perjumpaan mingguan dengan ibu bapa untuk menghantar dan mengambil bahan pembelajaran murid. Ia dilakukan mengikut masa yang ditetapkan guru untuk elakkan perkumpulan.

"Itulah inisiatif yang kami lakukan untuk pastikan ilmu sampai kepada murid. Yang penting, kami cuba lakukan sehabis baik untuk murid-murid," ujarnya.



Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Kundor, tempat Cikgu Sohailawati mengajar murid prasekolah.

Tidak menyangka sama sekali videonya tular, Sohailawati bagaimanapun gembira kerana ramai yang terhibur malah turut menzahirkan pujian kerana kagum dengan kesungguhan golongan pendidik.

"Itulah.... kerana ayam, tak sangka pula tuannya viral. Saya okay saja jika ia menghiburkan ramai orang.

"Dalam pada itu, saya nak ucapkan tahniah kepada semua guru yang gigih untuk memastikan PdPR berjalan seperti biasa walaupun kini dalam norma baharu," ujar anak jati Kelantan ini lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain