suria

Mak dah tak jual cendol, anak buka kedai kopi depan rumah... sempoi sebab guna kabinet lama je! - “Hari pertama laku 11 cawan”

Gerai menjual kopi yang diusahakan 'Atiqah di depan rumah menggunakan kabinet kayu lama yang diubah suai dan dicat semula.

MUSIM Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini membuatkan lebih ramai berusaha menjana pendapatan dengan cara yang kreatif.

Ini termasuklah menjalankan bisnes secara kecil-kecilan dari rumah.

Walau hanya 'kedai biasa', tetapi gerai seorang wanita yang beroperasi di hadapan rumahnya kelihatan seperti sebuah kafe hipster.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak ada duit sambung belajar, pemuda balik kampung dan buka kedai kopi dalam bilik tidur... kini harapkan rezeki di lorong belakang

ARTIKEL BERKAITAN: Penangan nasi lemak PKPB, jual depan rumah pun boleh laku beratus bungkus... yang tak dapat datang beli selamba DM anak tauke minta resipi

Pengusaha gerai berkenaan, Nur 'Atiqah Bahirah Raidah Ahmad Zubaidi berkata, gerai tersebut dibuka di kediamannya di Seri Manjung, Perak.



Ruang hadapan rumah dijadikan tempat untuk berniaga.

Wanita berusia 36 tahun itu memberitahu, idea untuk menjalankan bisnes tersebut adalah inspirasi daripada perniagaan ibunya yang sebelum ini mengusahakan gerai minuman.

"Mak pernah buka gerai minuman selama lima tahun sehingga 2016. Mak jual cendol dan air Milo depan rumah, lokasi yang sama saya buka gerai jual kopi sekarang.

"Kebanyakan pelanggan mak adalah pelajar memandangkan rumah kami terletak berdekatan dengan sekolah dan menjadi laluan utama mereka," katanya kepada mStar.

Lebih mesra disapa 'Atiqah, katanya, gerai kopinya mula beroperasi sejak pertengahan Januari lalu ketika PKP 2.0 mula dilaksanakan di seluruh negara kecuali Sarawak.



Persiapan untuk mengecat semula kabinet kayu lama.

Tanpa perlu berbelanja besar, kabinet kayu lama di rumahnya telah diubah suai dan dan dicat semula, sebelum dijadikan sebagai kaunter yang beroperasi seawal pukul 8 pagi hingga 6.30 petang.

"Dulu kabinet kayu tu jadi tempat simpan barang-barang lama, diletakkan di luar rumah. Daripada terbiar, saya ubah suai jadi kaunter untuk ambil pesanan pelanggan," ujarnya.

Kalau saya tak cuba, saya tak tahu. Yang penting saya belajar untuk jadi seperti mereka yang berpengalaman

NUR 'ATIQAH BAHIRAH RAIDAH AHMAD ZUBAIDI

Menurut anak sulung daripada empat beradik itu, dia menghadapi cabaran kerana ketika PKP ini sebahagian besar pelajar masih menjalani kelas secara dalam talian dari rumah.

"Jadi, tak ramai pelanggan yang datang. Tapi syukur, ada 11 cawan yang terjual masa hari pertama gerai beroperasi.

"Bila ada rakan yang kongsi pasal gerai saya di laman Twitter dan menjadi viral, terus naik sebanyak 40 cawan pada hari ketiga dan pelanggan semakin bertambah," ujar 'Atiqah.



Membuat persiapan di 'dapur'.

Bekas eksekutif teknologi maklumat (IT) itu berkata, kedai biasa yang diusahakannya itu juga mempunyai kelebihan kerana menjual kopi pada harga 'biasa-biasa'.

"Bukan semua orang mampu nak rasa minuman kopi di kafe-kafe popular sebab harganya bukan murah. Jadi, saya tawarkan harga mampu beli antara RM4 hingga RM7.

"Dan percaya atau tidak, budak-budak yang ramai datang membeli," tambahnya.



Gerai dikunjungi ramai pelanggan.

Walaupun tidak mempunyai pengalaman berniaga mahupun menjadi barista sebelum ini, namun 'Atiqah menjadikan kegigihan ibunya mencari rezeki sebagai idolanya.

"Mak dulu jual cendol tengah panas bila orang nak pergi atau balik sekolah. Ramai masa tu yang datang membeli. Kepuasan mak berniaga tanpa kenal penat lelah tu membakar semangat saya.

"Kalau saya tak cuba, saya tak tahu. Sekurang-kurangnya mencuba dan banyak saya belajar dari laman YouTube.

"Tak ada ilmu atau tak pernah kerja sebagai barista tak apa, yang penting saya belajar untuk jadi seperti mereka yang berpengalaman," katanya yang mempunyai impian untuk mengusahakan kafe sendiri pada masa akan datang.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain