suria

Kagum! Pelajar autistik pertama bakal ikuti pengajian ijazah sarjana di UiTM… Keluhan ibu bapa miliki anak syurga buat wanita ini kongsi rahsia - “Masa kecil dia tak boleh cakap, tak boleh baca”

Khairi bersama adiknya, Sakinah yang meraikan kejayaannya menamatkan pengajian peringkat ijazah sarjana muda.

BAKAT dan kebolehan anak-anak autisme saban hari ternyata sungguh membanggakan.

Wajarlah, anak austime ini perlu diberi lebih perhatian kerana terbukti keunikan mereka yang luar biasa mampu memperoleh kejayaan sama seperti individu normal bahkan lebih baik.

Begitulah yang dapat digambarkan mengenai kisah seorang ibu berusia 55 tahun sepanjang membesarkan anak autisme tanpa mengeluh sehingga saat ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Bapa tenang galas tanggungjawab besarkan 4 anak autisme, seorang sakit jantung berlubang... ilmu Sains anak lelaki sulung memang power!

ARTIKEL BERKAITAN: Tiap hari hidangannya perlu ikut tema, Aqif si remaja unik... bukan hiper tingkah laku tapi fikiran - “Tahu 'Exit' maksud keluar tapi tak kenal huruf”

Menerusi coretan di Facebook Autisme Malaysia, wanita bernama Rokiah Abd Kadir berkongsi pengalamannya membesarkan anak syurga itu sekaligus kejayaan yang diperoleh anaknya baru-baru ini.

Lebih mesra disapa Makcik Kiah, dia memberitahu sebenarnya perkongsian itu tercetus selepas terbaca beberapa keluhan ibu bapa yang ditakdirkan mempunyai anak autisme.



Perkongsian Rokiah di grup Facebook Autisme Malaysia.

“Ini hanya suara hati saya sahaja. Sebelum ini saya banyak baca komen dalam grup Autisme Malaysia tetapi jarang berkongsi mengenai anak saya sehinggalah baru-baru ini sekadar nak beri semangat dan inspirasi.

“Memang saya faham bukan mudah nak jaga anak autisme, sebab mereka mempunyai perwatakan lain-lain. Cuma pada pandangan saya, pertama sekali kena reda, barulah semua akan dipermudahkan," katanya mengimbas pengalaman dirinya hingga berjaya mendidik anak istimewanya yang baru sahaja menamatkan pengajian di peringkat ijazah.

Sehingga kini perkongsian di Facebook itu mendapat 3,000 likes dan 200 komen.

Makcik Kiah mempunyai dua cahaya mata iaitu Muhammad Khairi Mazlan, 30 yang disahkan insan autisme dan lagi seorang anak perempuan normal iaitu Sakinah yang berusia 28 tahun dan kini berkhidmat dalam bidang teknologi maklumat di Cyberjaya.



Khairi sewaktu hari graduasi Diploma Kulinari pada 2017.

Menetap di Bukit Beruntung, Selangor, kata surirumah sepenuh masa itu, Khairi mempunyai simptom awal autisme sejak di sekolah rendah lagi tetapi mula diagnosis pada 2008.

“Masa kecil dia memang tak bercakap sampai darjah empat, juga tak boleh baca.

“Sejak itu saya terus berhenti kerja dan menjaga dia sepenuhnya.

“Dia tidak alami apa-apa tantrum cumanya suka bersendirian. Hidup dalam dunia dia sahaja.

“Lama-kelamaan dia semakin pulih dan jalani kehidupan normal seperti orang lain tetapi ada masa juga dia macam menyorok nak tenangkan diri dan sebagainya, ” katanya.

Bercerita panjang mengenai perjalanan hidup membersarkan anak syurganya itu, isteri kepada Mazlan Mohamad, 52 ini meluahkan rasa syukur sentiasa dipermudahkan biarpun proses itu nampaknya sukar.

Hasil sabar dan tak putus asa, terbukti dia sekarang dah berjaya sama sahaja seperti orang normal.

ROKIAH ABD KADIR

IBU

Khairi adalah seorang pelajar autistik yang berjaya menamatkan pengajian di Kolej Matrikulasi Perak (KMP), seterusnya peringkat Diploma Kulinari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang dan kemudian baru-baru ini Ijazah Sarjana Muda dalam Pengurusan Perkhidmatan Makanan.

Tidak dinafikan sebelum ini Khairi pernah beberapa kali menarik diri ketika melanjutkan pengajian dalam bidang Sains di dua Institusi Pengajian Tinggi Awam.

“Ya, memang sejujurnya banyak yang makcik lalui sepanjang Khairi melanjutkan pengajiannya.

“Dia perlukan sokongan berterusan dan ambil masa sangat lama untuk sesuaikan diri di sesuatu tempat belajar, antaranya, dia tak mahu kongsi bilik di asrama, masa exam nak bilik seorang untuk fokus, perlukan masa yang lebih untuk jawab exam dan banyak lagi lah.



Khairi ditempatkan di bilik khas sewaktu menjalani peperiksaan.

“Berkat doa dan sabar Alhamdulillah... dia berjaya di mata saya. Tak terbalas juga jasa baik pensyarah, kawan-kawan semua kerana tanpa mereka dia tak akan berada di tahap ini, ” ujar wanita yang pernah bertugas sebagai jurukimia di sektor perkilangan ini.

Tambah Makcik Kiah lagi, dia sentiasa berusaha sehabis baik untuk menunaikan apa sahaja permintaan anak istimewanya itu.

“Tahu sahajalah, bukan kata anak saya sempurna tak buat perangai langsung. Ada juga kadang itu datang perangai pelik dia.



Khairi bersama rakan sekelas ketika menyambut hari jadinya.

“Contohnya, masa belajar dalam bidang Sains dulu banyak juga dia buat hal macam sembunyi bawah tangga, tak mahu pergi kelas, tak jawab exam dan sebagainya.

“Hasil sabar dan tak putus asa, terbukti dia sekarang dah berjaya sama sahaja seperti orang normal, ” katanya sambil menambah dia dan suaminya yang pernah bergelar pengurus syarikat kenderaan dan kini menawarkan khidmat sebagai pemandu Grab akan berusaha memberikan yang terbaik buat kedua anak mereka.

Terbaharu, Khairi yang baru sahaja menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda (Pengurusan Perkhidmatan Makanan) di UiTM kampus Puncak Alam bakal melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang dan tempat yang sama.

Katanya, mengikut pengurusan UiTM, Khairi bakal menjadi pelajar autistik pertama yang akan melanjutkan pengajian ke peringkat berkenaan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain