suria

“Berpuluh tahun saya hidup dengan lelaki ini” - Anak-anak jauh hati, isteri baharu ‘lari’ sejak kaki membusuk... hanya bekas isteri ziarah di ICU, esoknya pesakit koma temui ajal

Seorang doktor berkongsi pengalaman mengenai pesakitnya yang koma di ICU. -gambar hiasan foto AP

LAIN orang, lain dugaannya. Setiap kesulitan itu adalah satu ujian, malah kebahagiaan juga adalah ujian dalam kehidupan.

Begitulah pengalaman yang dilalui seorang doktor ketika berhadapan dengan wanita yang hadir menziarah pesakit lelaki yang dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

"Doktor, saya bukan isteri. Tapi saya bekas isteri. Wajah wanita itu sayu melihat lelaki yang terlantar di atas katil ICU.

ARTIKEL BERKAITAN: Doktor sebak lihat isteri minta maaf berkali-kali sebelum suaminya diintubasi - "Jika makin kritikal, terus pergi tanpa dapat berbicara lagi"

ARTIKEL BERKAITAN: Doktor 'musykil' hanya isteri yang setia lawat suami di wad, persoalan akhirnya terjawab di pintu lif... pesakit kahwin 4! - "Kami pernah susah bersama"

"Wanita itu diceraikan pada umur 50 tahun, setelah 25 tahun bersama lelaki yang terbaring koma diatas katil," tulis Dr Nur Ilyani Bujang di halaman Facebook yang kini tular.

Dr Nur Ilyani berkata, wanita itu kemudian memaklumkan mempunyai dua cahaya mata hasil perkahwinannya bersama pesakit.

"Anak semua dah besar. Mereka tak mahu datang melawat ayahnya. Sejak kami bercerai anak-anak jauh hati dari ayahnya," ujarnya yang memetik kata-kata wanita itu.

Pakar anaesthesiologi dan rawatan rapi itu kemudian bertanyakan mengenai waris pesakit, dan dimaklumkan pesakit telah berkahwin lagi selepas penceraian pertama.

"Dia dah kahwin setahun lepas. Ada isteri baru. Tapi setahu saya isterinya dah lama tinggalkan bekas suami saya sejak kakinya membusuk dua bulan lalu.

"Kepala aku makin pening. Namun, masih bersabar melayankan wanita di hadapan mataku ini. Di saat lelaki ini terdampar koma di atas katil ICU," tambah beliau.



Perkongsian seorang doktor mengundang sebak netizen.

Menurut Dr Nur Ilyani, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk mencari dan mengenal pasti waris pesakit, sambil menambah segala perihal pesakit, surat menyurat, kebenaran untuk rawatan perlu dibincangkan dengan waris.

"Bukan sekali aku jumpa keluarga yang berantakan di lanjut usia. Banyak. Kenapa? Kerana lupa diri.

"Ramai yang berkata 'wanita diuji sewaktu suaminya susah, lelaki pula diuji sewaktu dia sudahpun senang'. Itulah yang aku selalu lihat di depan mata.

"Wanita yang diceraikan kerana suaminya gelap mata. Bila anak sudah besar, rezeki pula makin mudah. Kerja dan syarikat semuanya sudah stabil, pekerja ramai.

"Hanya rileks dan kaut untung sahaja. Masa, duit banyak. Jadi, hati pun kembali muda," katanya sambil menambah ia sedikit-sebanyak mendorong kepada sikap curang.

Tua sepatutnya menjadikan kita lebih dekat dengan keluarga, lebih dekat dengan Tuhan

DR NUR ILYANI BUJANG

Pendedahan wanita itu benar-benar mengejutkan saat diajukan tentang keadaan bekas suaminya yang tenat di ICU.

"Mak mentua saya yang beritahu. Dia pun tak sihat, kena strok. Saya datang sebagai tanda hormat, saya pernah hidup dengan lelaki ini berpuluh tahun.

"Sedih saya lihat keadaannya doktor. Tapi saya ini bukan siapa pada dia. Hanya bekas isteri. Menjaga dia pun bukan tanggungjawab lagi. Apa lagi nak buat keputusan bagi pihak dia," ujar wanita itu sambil mengalirkan air mata.



Pesakit meninggal dunia sehari selepas bekas isteri datang melawat di ICU. -gambar hiasan

Dr Nur Ilyani berkata, pesakit itu meninggal dunia keesokan hari, tanpa dihadiri waris melainkan petugas kesihatan di hospital.

"Hanya kami yang mengajar kalimat suci di telinga. Tanpa keluarga, isteri... atau lebih elok disebut bekas isteri. Tanpa isteri muda yang sudah lari.

"Tanpa anak-anak yang menjauh hati, tanpa ibunya yang juga sakit, tidak boleh bergerak sendiri. Hanya dia dan kami.

"Kami kemas jenazah itu untuk dibawa pergi ke bilik mayat, tanpa waris yang mengiringi. Entah siapa yang tuntut kemudiannya, saya pun tak pasti. Tua sepatutnya menjadikan kita lebih dekat dengan keluarga, lebih dekat dengan Tuhan," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain