suria

Jual air kelapa tengah panas, gadis akui sering terbayang rakan lain ‘bersejuk’ di rumah - “Seronoknya jadi mereka…”

Shaz bersama bapanya berniaga air kelapa di tepi jalan demi kelangsungan hidup. (gambar kecil) Shaz menerusi video TikTok.

KEHIDUPAN diri dan keluarganya terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac 2020 lalu, namun gadis ini masih belum kenal erti putus asa.

Intan Natasha Nor Azly berkata, masa terlalu pantas berlalu dan tidak menyangka dia bersama bapanya sudah hampir setahun mencari rezeki dengan berniaga air kelapa di tepi jalan.

Tiada istilah segan mahupun kekok berpanas menunggu pelanggan di tepi jalan, gadis berusia 19 tahun ini memberitahu bahawa dia sudah biasa hidup sederhana sejak kecil lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Bisnes sambil TikTok! 3 beradik tak kisah berpanas tepi jalan, buat kerja tak glamor - "Saya menari di gerai, orang pandang saya tak peduli"

ARTIKEL BERKAITAN: Nak ubah nasib famili, gadis tak kekok bantu ibu jual nasi lemak tepi jalan... impi miliki gerai sendiri, daftar Foodpanda - “Kurang adab, ada cakap sambal macam cair

"Demi sesuap nasi saya sanggup kerja walaupun tengah panas... ya, saya masih tersenyum," tulisnya pada kapsyen TikTok.



Video sayu Shaz yang tular di aplikasi TikTok.

Intan Natasha bersama bapanya, Nor Azly Ahmad, 55, menjual air kelapa di tepi jalan dari arah Alor Setar, Kedah menghala ke Kepala Batas, Seberang Perai.

Perkongsian video yang dibuat oleh Intan Natasha itu ternyata mendapat perhatian ramai sehingga meraih lebih kurang 33,000 likes dan 1,000 komen.

Menurut gadis yang mesra disapa Shaz ini, walaupun mempunyai keluarga besar dan kehidupan mereka tidak begitu senang, dia sama sekali tidak mahu dikaitkan dengan kemiskinan atau hidup serba daif kerana ingin sentiasa menerapkan sifat bersyukur dalam diri.

"Video tu saya buat untuk suka-suka. Bukan nak minta simpati apa pun tapi kalau ramai yang baik hati nak support, Alhamdulillah saya terima dan ucapkan terima kasih," ujarnya.

Shaz berkata, sebagai manusia biasa dia juga pernah membandingkan kehidupannya dengan kehidupan orang lain yang lebih selesa tanpa perlu bersusah payah membantu keluarga mencari rezeki.

Namun, dia lebih suka menganggap apa yang dilaluinya sebagai ujian dan dalam masa yang sama berbangga memiliki ibu bapa penyayang serta sentiasa berusaha untuk memberikan kehidupan terbaik untuk mereka sekeluarga.

"Kadang-kadang seronok tengok kehidupan orang lain yang, ada banyak masa duduk di rumah sejuk-sejuk.

"Saya cuma luahkan apa saya rasa. Mestilah ada terdetik seronoknya kalau jadi mereka yang boleh duduk di rumah senang lenang. Saya manusia biasa, kadang tu terbanding kehidupan dengan orang lain terutamanya kawan terdekat," katanya.



Pengorbanan seorang bapa mencari rezeki untuk membesarkan enam anak.

Bercerita lanjut, Shaz berkata, dia mempunyai enam adik beradik. Bapanya dulu bekerja sebagai pemotong rumput tetapi beralih kepada bisnes menjual air kelapa sejak PKP manakala ibunya tidak bekerja.

"Boleh kata dah setahun kami berniaga air kelapa di tepi jalan ni. Alhamdulillah, ada hari OK ada hari tak, lumrah dalam perniagaan.

"Nak kata kehidupan kami susah sangat tu tidakah. Mungkin ada yang jauh lebih susah. Apa yang saya boleh kata, kami hidup cukup makan saja," katanya.

Biar tak kaya harta tetapi kaya budi. Kata-kata mak ayah saya pegang sehingga hari ini

INTAN NATASHA NOR AZLY

Mengenai kemahirannya membelah buah kelapa muda seperti mana dapat dilihat dalam video tular itu, gadis kelahiran Alor Setar, Kedah ini berkata dia sebenarnya melakukannya untuk tujuan rakaman semata-mata.

"Video tu saya yang rakam sendiri dan edit sikit. Saya tak pandai pun belah buah kelapa tu sebab dari dulu ayah tak izinkan. Anak perempuan tak elok buat kerja tu katanya, mungkin dia takut saya cedera.

"Selama ini ayah saya yang banyak berkorban untuk kami semua. Saya hanya bantu mana mampu sahaja," katanya.



Shaz pertama kali cuba mengupas buah kelapa.

Bercerita mengenai pengalaman keluarganya suatu ketika dulu, anak keempat itu berkata, ibu dan bapanya pernah meminjam wang daripada orang luar untuk membeli barang dapur.

"Dulu masa ayah kerja mesin rumput, kami pernah lalui detik sukar yang mana ayah dan ibu saya terpaksa meminjam duit daripada orang luar.

"Tetapi sampai sekarang mak ayah selalu ingatkan kami enam beradik ini erti bersyukur.

"Biar tak kaya harta tetapi kaya budi. Kata-kata mak ayah saya pegang sehingga hari ini," ujarnya.

Rata-rata di ruangan komen memberi kata-kata semangat kepada gadis ini dan berharap dia tidak berputus asa dalam kehidupan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain