suria

Pendakwah beri teguran, saran admin tutup terus grup FB ajak manusia riyak... pamer kekayaan, pakaian dalam pun nak tayang!

Pendakwah bebas terkenal, Ustazah Asma Harun pada Selasa tampil menegur pengendali serta pengikut grup Facebook itu.

SELAIN menjadi medium komunikasi orang ramai, laman Facebook juga menjadi platform untuk kita berkongsi informasi dan perkembangan terkini.

Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac tahun lalu misalnya, tular sebuah grup Facebook yang dikenali sebagai Masak Apa Tak Jadi Hari Ni.

Malah, grup Facebook itu menjadi 'penghibur' rakyat Malaysia sepanjang PKP sehingga ia turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

ARTIKEL BERKAITAN: Kuasa tular ketika PKP, FB ‘Masak Apa Tak jadi Hari Ni’ tarik perhatian PM

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai sertai grup FB ‘Suami Masak Apa Hari Ini?’ Kaum isteri jangan tercabar... resipinya bukan calang-calang!

Kali ini, tular pula sebuah grup Facebook dikenali sebagai Riak Apa Ini yang menjadi tempat netizen berkongsi 'bermegah' dengan kehidupan mereka.

Rata-rata perkongsian dalam grup itu memaparkan pelbagai foto gaya hidup mewah seperti koleksi wang, barang kemas dan sebagainya.

Antara foto yang dikongsi dalam grup itu.

Malah, ada yang turut berjenaka dengan memakaikan gelang emas mereka di leher kucing peliharaan.

Lebih parah, ada juga yang meletakkan barang kemas di atas dahi, kononnya sebagai pengganti kepada Cool Fever.

Jangan indahkan perkataan keji riyak atas nama guruan.

USTAZAH ASMA HARUN

Rata-rata netizen dan pengikut grup itu mengakui terhibur dengan segala perkongsian yang dibuat.

Dalam jenaka yang dikongsi, ada yang turut bertindak melampau berkongsi gambar pakaian dalam menerusi grup itu sehingga mengundang kecaman ramai.

Susulan itu, pendakwah bebas terkenal, Ustazah Asma Harun pada Selasa tampil menegur pengendali serta pengikut grup Facebook itu.

"Mohon Admin Group "Riak Apa Hari Ni" boleh tukar tajuk atau tutup terus. Pelbagai kemungkaran dan dosa sedang dihalalkan atas nama gurauan.

"Perbualan bebas gurau senda lelaki perempuan, dedah aurat sebab nak tunjuk putih melepak dan emas sampai lengan, tunjuk harta dengan caption riyak tapi kata gurau, share pakaian dalam dan lain-lain yang aib sangat.

Foto pakaian dalam yang dimuat naik ke grup Facebook itu.

"Jangan indahkan perkataan keji 'riyak' atas nama gurauan," tulisnya di Facebook.

Dalam tempoh enam jam sahaja, posting teguran itu menerima lebih 25,000 tanda suka (likes) dan turut dihujani lebih 2,500 komen.

Malah, ramai yang turut bersetuju dengan apa yang diperkatakan pendakwah itu dan berharap tiada lagi perkongsian sedemikian dilakukan selepas ini.

"Saya sangat setuju ustazah. Sedih sangat ramai sahabat join grup itu.

Ramai pelayar Facebook turut menyertai grup itu.

"Macam-macam cara syaitan beri idea pada kita untuk terus bergelumang dengan dosa dan maksiat.

"Semoga kita dijauhkan dari sifat keji ini," tulis netizen.

Pemerhatian mStar mendapati terdapat beberapa grup Facebook yang menggunakan nama Riak Apa Hari Ini, dengan penyertaan lebih 100,000 pengikut.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain