suria

Anak dapat Anugerah Dekan, ibu teruja bikin ‘kecoh’ depan kedai makan sebelum akhirnya ‘banjir’ – “Mak tahu betapa saya struggle belajar online”

(gambar kiri, tengah) Seorang ibu menyaksikan penganugerahan Dekan secara maya buat anaknya menerusi tablet. (gambar kanan) Yusri (kanan) bersama ibunya.

IBU mana yang tak bangga kalau anak mencapai keputusan yang cemerlang dalam pelajaran.

Keterujaan seorang ibu terserlah ketika menyaksikan majlis penganugerahan secara maya oleh pihak universiti yang memaparkan wajah dan nama anaknya sebagai salah seorang penerima Anugerah Dekan.

"Bangga!" demikian reaksi spontannya selepas menyaksikan detik bersejarah itu menerusi sebuah tablet, yang dirakam oleh anak lelakinya dan dikongsikan di laman TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: Pernah buat 2 kerja sambil belajar, pelajar tak datang konvo hanya sebab gagal dapat anugerah dekan kini raih jualan RM40,000 sebulan - "Pendidikan tetap penting"

ARTIKEL BERKAITAN: Siswa dapat dekan 9 semester hampir mengalah, ayah tak pernah ucap tahniah... selepas 5 bulan meninggal dunia rahsia terbongkar!

Berkongsi momen manis itu, Muhammad Yusri Azpansyah Irwansyah berkata, dia memperoleh Anugerah Dekan bagi semester lalu dan penganugerahan itu dilakukan dalam norma baharu iaitu secara maya pada petang Sabtu lalu, berikutan pandemik Covid-19.



Ibu Yusri (kiri) bersama rakan menyaksikan penganugerahan Dekan secara maya di hadapan kedai makan.

Pelajar Universiti Multimedia Malaysia (MMU) itu berkata, ketika itu dia membantu ibunya berniaga di sebuah kedai makan di medan selera di Behrang Stesen di Muallim, Perak.

"Masa tu saya tolong mak kat kedai. Saya kemudian panggil mak untuk duduk di meja depan kedai makan, bagi menonton penganugerahan itu secara langsung di Facebook yang bermula pada pukul 2.30 petang.

"Mak yang teruja sebab tahu saya akan penganugerahan ini, mak siap panggil kawan dia di medan selera untuk tengok sekali," katanya yang berusia 22 tahun kepada mStar.



Pencapaian Anugerah Dekan yang diperoleh Yusri bagi semester lalu di MMU.

Lebih mesra disapa Yusri, dia perlu menjelaskan kepada ibunya yang kurang fasih berbahasa Inggeris mengenai perjalanan majlis berikutan pengumuman dibuat dalam bahasa itu.

"Mulanya mak gembira sangat bila gambar saya terpampang dan nama diumumkan di skrin. Tapi tak lama selepas itu mak sebak sampai mengalirkan air mata.

"Saya pun turut sebak sebab mak sebenarnya di sebalik pencapaian Dekan, mak tahu betapa struggle (sukar) saya tempuhi sepanjang menjalani kelas online (secara dalam talian) disebabkan pandemik," ujarnya yang juga berasal dari Muallim.



Yusri mengikuti pengajian Kejuruteraan Elektronik (Telekomunikasi).

Mengulas lanjut, pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik (Telekomunikasi) itu menjelaskan bahawa ibunya antara individu yang memberi semangat kepadanya untuk tidak berputus asa dalam pengajian meskipun berhadapan dengan waktu sukar.

"Jujurnya, saya memang stres sangat untuk belajar online, ada banyak kekangan. Tapi saya teringat pesanan mak supaya belajar rajin-rajin dan jangan tinggal solat.

Masa tengok penganugerahan secara virtual (maya) hari tu, mak punya gembira sampai jerit kuat kat kawan-kawan dia 'meh sini cepat, tengok anak aku ni'... mak teruja, saya terharu

MUHAMMAD YUSRI AZPANSYAH IRWANSYAH

"Kata-kata sokongan mak membuatkan saya untuk bertahan dan belajar sehabis baik yang mungkin. Syukur saya memperoleh keputusan dengan pencapaian Dekan," katanya sambil menambah telah memperoleh Anugerah Dekan untuk lima semester sepanjang mengikuti pengajian sejak dua tahun lalu.

Yusri yang merupakan penerima biasiswa Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera dan Yayasan Telekom Malaysia yang masih mengikut pengajian di MMU berkata, momen indah itu berlaku sehari selepas dia pulang ke kampung halaman, bagi menyambung pengajian secara dalam talian, dengan mendapat kebenaran untuk merentas negeri.



Yusri (kiri) yang berpengalaman mengajar bercita-cita untuk menjadi pendidik.

"Selain tak boleh rentas negeri sebab PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan kes Covid-19 yang sangat tinggi di Selangor sebelum ini, jadi saya tunggu dulu sebelum pulang ke kampung. Kali terakhir saya balik pada Ogos lalu.

"Kebanggaan mak menambah semangat kepada saya. Masih ingat lagi masa tengok penganugerahan secara virtual (maya) hari tu, mak punya gembira sampai jerit kuat kat kawan-kawan dia 'meh sini cepat, tengok anak aku ni'... mak teruja, saya terharu," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain