suria

Setahun PKP, suami cari rezeki di Singapura beri ‘kredit’ sepenuhnya kepada isteri... sayu lihat air mata ibu 2 anaknya tumpah – “Maafkan honey sebab dah tak cantik”

Gambar kanan menunjukkan Shahruddin (kiri) dan isteri bersama anak-anak, sementara foto kiri Selat Tebrau yang memisahkan mereka akibat penutupan pintu sempadan Malaysia-Singapura. foto Eddie Dieana/ THOMAS YONG/The Star

TARIKH keramat 18 Mac 2020 pasti tidak akan dilupakan oleh rakyat Malaysia, bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Namun, bagi sebahagian rakyat Malaysia yang mencari rezeki di negara jiran Singapura, mereka terpaksa menempuhinya sehari lebih awal sebelum pintu sempadan ditutup.

Genap setahun, seorang lelaki yang tersadai di negara jiran meluahkan isi hatinya berikutan dugaan yang sebenarnya tidak rela ditempuhinya tetapi mengakui terpaksa melaluinya.

ARTIKEL BERKAITAN: 3 sekawan dari Malaysia terkedu! Berlaku sesuatu tak dijangka selepas tegur petugas saman parkir di Singapura - "Cashier tunjuk kertas nombor telefon dia"

ARTIKEL BERKAITAN: Suami dipanggil bekerja ketika usia perkahwinan genap setahun, usia anak 44 hari! Selat Tebrau saksi 'pertemuan emosi' dengan isteri - "Tiga kali 'hujan' petang tu"

"Orang luar akan nampak seperti saya sedang berjuang demi masa depan keluarga yang lebih sempurna. Banyak juga kata-kata sokongan daripada sahabat-sahabat supaya saya terus kuat demi keluarga.

"Tapi yang sebenarnya, kredit perjuangan dan pengorbanan sebenar harus saya berikan kepada isteri saya sepenuhnya. Tanpa sokongan dia saya takkan kuat di sini.

"Tanpa pengorbanan dia menjaga dan menguruskan anak, saya juga takkan mampu nak hadap semua ni," tulis Shahruddin Haeal Helmy Mohd Noh di Facebook miliknya.



Rakyat Malaysia memasuki Singapura sebelum penutupan pintu sempadan negara. sumber Wei Ern

Shahruddin yang mendirikan rumah tangga selama kira-kira 10 tahun berkata, dia selesa berada di Singapura kerana dia sedar dan yakin isterinya mampu menggalas tugas menguruskan anak-anak mereka dengan baik.

"Kalau tak, saya pun tak senang hati bila memikirkan tentang anak-anak dekat sana. Tugas saya di sini hanya perlu mencari rezeki lebih untuk dikirimkan ke kampung halaman, untuk perbelanjaan anak-anak, perbelanjaan isteri, keperluan harian dan simpanan kami.

"Pulang dari tempat kerja, saya masih banyak masa untuk berehat dan membuat segala aktiviti yang saya mahukan," katanya yang merujuk kampung halaman di Johor Bahru.

Lelaki berusia 35 tahun itu bagaimanapun mengakui tugas isterinya jauh lebih berat.

"Celik je mata isteri saya, dia dikira bekerja. Perlu basuh semua botol susu anak, sediakan air untuk anak nak mandi. Sedia baju-baju yang nak dipakai.

"Bersihkan apa yang patut di rumah sebelum anak bangun. Harus memastikan keselamatan anak semasa bermain, memastikan perkembangan otak anak seiring dengan umur.

"Memastikan rumah sentiasa dalam keadaan teratur demi keselesaan semua, perlu menyediakan makan minum anak," ujar Shahruddin.



Anak-anak Shahruddin yang berusia lebih setahun. foto FB Eddie Dieana

Menurut bapa dua anak itu, waktu rehat isteri hanyalah ketika anak-anak tidur, sambil menambah bahawa rehat belum tentu dapat dilakukan sepenuhnya.

"Sebab masa anak tidurlah waktu yang sesuai nak lipat baju, nak bersihkan apa yang patut. Nak kemas-kemas apa yang patut.

"Kalau nak tidurkan anak, kena tidurkan serentak. Kalau tak, bila seorang tidur nanti yang lagi seorang pergi kejut ajak main," katanya mengenai dua anaknya yang berusia lebih setahun.

Meskipun Singapura dan Malaysia hanya dipisahkan oleh Selat Tebrau, jauh di sudut hati, dia memahami betapa penatnya insan tersayang bergelar isteri.

Hanya mampu berharap isteri sentiasa bersabar dengan dugaan ini, diberi kekuatan untuk mengharungi semua ini. Terima kasih isteriku. Terima kasih yang tak terhingga

SHAHRUDDIN HAEAL HELMY MOHD NOH

"Saya faham isteri saya penat sangat sampai terkadang dia call saya. Terkadang saya sedih. Bukanlah dia mengeluh jaga anak, cuma dia nak kita sebagai suami faham apa yang dia rasa dan apa yang dia hadap di rumah.

"Kita pun janganlah marah kalau dia nak mengadu. Luangkan masa sikit untuk dengar, biar dia rasa puas. Lepas dia dah mengadu tu dia okaylah. Sekurang-kurangnya hilang kejap rasa stres dia tu walaupun hakikatnya stres tu takkan hilang.

"Yang paling buat saya sayu sangat bila isteri saya buat video call dan cakap 'Maafkan honey eh'. Maaf kenapa pula? 'Sebab dah tak cantik macam dulu. Mesti Hubby malu tengok honey sekarang kan macam orang tak terurus' dengan nada teresak-esak.

"Tak apa, nanti B (panggilan suami) balik, biar B cuti dan jaga anak-anak. You nak pergi bersenam ke, buat rambut, pergi spa ke, pergilah. B paham you tak ada masa untuk diri sendiri," katanya yang berpeluang pulang bertemu keluarga sekali sejak penutupan sempadan Malaysia-Singapura, menerusi skim Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA).



Shahruddin (kiri) dan isteri mendirikan rumah tangga kira-kira 10 tahun. foto FB Eddie Dieana

Menyaksikan isteri mengesat air mata menerusi video call membuatkan Shahruddin lebih memahami apa yang terbuku di hati isterinya.

"Dia tertekan besarkan dua anak sebaya tanpa saya di sisi. Dia tak cukup tidur, tak cukup rehat, tak cukup masa. Semuanya tak cukup.

"Sampaikan nak mandi dan berak pun terpaksa bawa anak sebab takut anak-anak dah pandai panjat dan cabut semua plag yang ada. Tiada apa yang mampu saya ungkapkan.

"Hanya mampu berharap isteri akan sentiasa bersabar dengan dugaan ini, diberi kekuatan untuk mengharungi semua ini sehinggalah saya dapat pulang dan sama-sama membantu menjaga anak nanti.

"Terima kasih isteriku. Terima kasih yang tak terhingga. Salam sayang penuh kerinduan, peluk cium untuk dirimu dan anak-anak," katanya.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain