suria

Nak sambut anniversary ke-26 mak ayah, gadis ini buat kejutan hadiahkan Anugerah Dekan 5 Semester berturut-turut – “Dulu cuma 4A”

Ibu bapa Elle menerima kejutan 'hadiah' sempena hari ulang tahun perkahwinan. Gambar kecil menunjukkan Elle (tengah) bersama ibu bapanya.

AKHIRNYA selepas tiga tahun, seorang gadis berpeluang memberi kejutan buat ibu bapanya dengan pemberian hadiah yang cukup bermakna.

Namun, masa yang diambil bukan untuk mengumpul wang bagi membeli hadiah kejutan, sebaliknya ia adalah pencapaian Anugerah Dekan yang diperolehnya selama lima semester.

Menerusi video yang dikongsikan di aplikasi TikTok, gadis tersebut membuat kejutan tersebut dalam kotak 'hadiah' buat ibu bapanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak dapat Anugerah Dekan, ibu teruja bikin ‘kecoh’ depan kedai makan sebelum akhirnya 'banjir' - "Mak tahu betapa saya struggle belajar online"

ARTIKEL BERKAITAN: Dikagumi kerana 7 semester dapat 4 Flat, Neelofa pun offer hadiah... graduan dedah hampir tukar jurusan - "Saya pernah menangis, banyak kali"

Gadis berkenaan, Nur Elyana Shaheera Saiful Lizan memberitahu, kejutan itu dibuat sempena sambutan ulang tahun perkahwinan ibu bapanya yang ke-26 pada 12 Mac.



Ibu bapa Elle memberikan tanda bagus dengan pencapaian akademik Elle.

Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, Johor itu berkata, keputusan tersebut diterima lebih awal sebelum makan malam bersama keluarga sempena sambutan itu.

"Saya dapat keputusan peperiksaan semester kelima saya pada sebelah pagi, dengan pencapaian Anugerah Dekan selama lima semester berturut-turut, sekali gus melayakkan saya memperoleh Anugerah Naib Canselor.

"Mulanya nak beritahu keputusan dekat mak ayah pagi tu, tapi sebab ada makan malam sempena anniversary mereka, jadi saya buat persiapan untuk kejutan," katanya kepada mStar.



Elle (tengah) bersama keluarga.

Lebih mesra disapa Elle, katanya, dua kotak di dalam beg kertas jenama barangan wanita itu membuatkan ibu bapanya pada mulanya menyangka ia adalah wangian atau jam tangan.

"Saya siap print keputusan tu dan hias cantik-cantik dalam dua kotak berasingan untuk mak ayah. Mak ingat ada perfume atau jam tangan.

"Bila tengok beg kertas jenama barangan wanita, ayah ingatkan hadiah cuma untuk mak. Tapi saya beritahu ada dua kotak untuk masing-masing. Bila buka kotak tu, mak ayah terkejut yang saya dapat Anugerah Naib Canselor," ujar pelajar Diploma Analisis Pelaburan itu.



Elle mahu membuktikan yang terbaik kepada ibu bapanya.

Menurut anak kedua daripada tiga beradik itu, dia mengakui bukanlah pelajar yang cemerlang dengan keputusan semua A sejak di sekolah rendah.

"Dulu saya hanya dapat keputusan 4A masing-masing untuk peperiksaan UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Kejayaan saya perlu dikongsikan bersama mak ayah dan saya anggap ia sebagai kejutan hadiah ulang tahun perkahwinan mereka

NUR ELYANA SHAHEERA SAIFUL LIZAN

"Bila masuk universiti, saya tak putus asa dan kini cuba buktikan yang terbaik pada mak ayah dengan belajar bersungguh-sungguh. Bila semester pertama dapat keputusan dengan pencapaian Dekan, saya gembira sangat.

"Bila semester kedua, ketiga dan berikutnya saya kekalkan dengan keputusan Dekan, saya jadi nervous sebab fikir adakah saya mampu untuk kekalkan dengan pencapaian yang sama bagi melayakkan saya memperoleh Anugerah Naib Canselor," tambahnya.



Elle bertuah mendapat sokongan ibu bapanya.

Mengulas lanjut, gadis yang berasal dari Cheras, Selangor itu mengakui pada awalnya tidak yakin untuk mengekalkan prestasi tersebut berikutan terpaksa mengikuti pembelajaran terbuka dan jarak jauh (ODL) berikutan pandemik Covid-19.

"Saya akui bukan mudah untuk belajar online ni. Bila saya berjaya kekalkan keputusan Dekan memang buat saya terkejut dan gembira sangat.

"Saya pernah luahkan pada mak ayah betapa struggle saya nak harungi ODL. Jadi, kejayaan saya perlu dikongsikan bersama mak ayah dan saya anggap ia sebagai kejutan hadiah ulang tahun perkahwinan mereka.

"Selepas kejutan tersebut, mak ayah beri semangat kepada saya untuk terus mencatatkan prestasi yang lebih baik pada masa akan datang," katanya yang mahu bergelar YouTuber terkenal suatu hari nanti.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain