DI sebalik setiap karya lukisan yang dihasilkan, tersimpan 1001 kisah duka yang dihadapi remaja perempuan ini. Nurul Afifah atau lebih dikenali sebagai Pipo, 18, mengalami masalah pendengaran sejak kecil sehingga dia menjadi mangsa buli dan terpaksa berhenti sekolah. Bapanya, Mohd Rizal Ismail, 49, ketika dihubungi mStar sempat mengimbas semula perjalanan seni anak keduanya itu yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) sehingga hasil seni yang dihasilkan berjaya menarik perhatian kerabat Diraja Kedah. ARTIKEL BERKAITAN: Wow! Nak tengok lukisan atau pelukisnya dulu? - “Cantik itu subjektif” ARTIKEL BERKAITAN: Pelukis luah hasrat jadikan Neelofa pemilik lukisan Kaabah ini - “Ada perasaan istimewa bila hasilkan lukisan tu...” "Pipo mula alami masalah pendengaran ketika umur lima tahun. Sejak sekolah rendah dia menjadi mangsa buli. Bila masuk sekolah menengah jadi makin teruk. "Saya juga ada buat laporan kepada guru dan pihak pendidikan negeri. Ketika tingkatan dua Pipo kata dia dah tak nak sekolah. "Saya tanya, dia nak buat apa kalau tak sekolah? Pipo kata dia nak melukis di rumah. Jadi saya beli kelengkapan untuknya. Tapi sebenarnya bakat lukisan Pipo kami sedari sejak dia tadika lagi. Pipo (tengah) bersama koleksi lukisan yang dihasilkannya. "Sebelum ini sembilan keping lukisan doodle Pipo sudah diserahkan kepada pihak Istana Kedah. Hari ini (Ahad) kami serahkan lima keping lagi. Jadi ada lagi tujuh keping lukisan Pipo yang belum siap untuk diserahkan," ujarnya. Bercerita mengenai kisah itu yang disifatkan seperti penghargaan tertinggi buat keluarganya, Mohd Rizal berkata semuanya bermula apabila dia mempamerkan hasil fotografi sendiri serta lukisan Pipo menerusi satu pameran di Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok pada awal tahun lalu. Walaupun tak sekolah, dia ada pendapatan sendiri dengan lukisan yang dihasilkan. MOHD RIZAL BAPA Dalam pameran itu, karya Pipo mencuri tumpuan Tunku Laksamana Kedah, Datuk Seri Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin yang meluahkan hasrat untuk memilikinya. "Minat fotografi saya sekadar hobi sahaja. Ketika satu perasmian di UUM, karya fotografi saya dan lukisan Pipo turut dipamerkan. Lukisan oleh Pipo (dua dari kiri) turut mendapat perhatian Tunku Laksamana Kedah, Datuk Seri Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin (tiga dari kiri) ketika ia dipamerkan di UUM. "Tunku Laksamana Kedah hadir ketika itu dan mengakui berminat dengan lukisan Pipo. Saya rasa sangat bangga dengan bakat anak saya walaupun dia OKU. "Dia juga tak pernah ada pendidikan formal dalam bidang seni. Walaupun tak sekolah, dia ada pendapatan sendiri dengan lukisan yang dihasilkan," ujarnya yang berkhidmat dengan Padiberas Nasional Bhd (Bernas) Perlis. Galeri seni di kediaman Pipo. Mohd Rizal yang memegang jawatan sebagai Yang Dipertua Kelab Kamera Kedah turut mempunyai galeri sendiri di kediamannya di Jitra yang menempatkan koleksi fotografi miliknya serta karya doodle Pipo. Untuk rekod, penceramah bebas terkenal, Ustaz Azhar Idrus juga pernah melawat galeri di kediaman mereka. Dalam pada itu, Mohd Rizal berkata, sebagai bapa, dia menyokong penuh minat anaknya dan tidak pernah menghalang Pipo untuk terjun ke bidang seni. Ustaz Azhar Idrus juga pernah melawat galeri seni Pipo dan bapanya. "Apa anak suka, dia minat ke arah mana, kita kena pupuk. "Bila macam tu, anak-anak akan jadi lebih ikhlas untuk buat benda yang mereka minat. Kita tak boleh paksa. "Kalau dipaksa, nanti mereka yang seksa," ujarnya lagi. Bagi mereka yang berminat menyaksikan karya Pipo, gadis itu sering berkongsi lukisan yang dihasilkannya menerusi Facebook Pipo Onye Doodle Art dan Instagram pipo_onye_. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!